Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-775: HARTA SEBAGAI WASILAH, BUKAN TUJUAN

HARTA SEBAGAI WASILAH BUKAN TUJUAN

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Adakah salah sekiranya saya menjadikan kekayaan sebagai pengukur kejayaan saya? Kekayaan tersebut adalah hasil daripada usaha keras saya. Adakah salah sekiranya kejayaan saya mendapat pengiktirafan? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan jawapan

Tujuan hidup manusia yang utama adalah untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Harta merupakan salah satu wasilah untuk mencapai tujuan tersebut. Oleh itu, kejayaan seorang manusia bukanlah terletak pada pemilikan harta dan kekayaan semata-mata, malah ia berdasarkan sejauh mana kita melaksanakan tugasan sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT. Islam menggalakkan manusia meletakkan dunia di tangannya tetapi bukan di hatinya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara asasnya, Allah SWT menciptakan alam semesta dan seisinya untuk dimanfaatkan oleh manusia. Seluruh alam ini diatur untuk kemaslahatan manusia agar mereka dapat menjalankan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini dengan mudah. Hakikatnya, manusia adalah makhluk istimewa yang diberi kelebihan oleh Allah SWT berbanding sekalian makhluk yang lain. Justeru, Allah SWT tidaklah menciptakan manusia kecuali dengan tujuan yang besar dan misi yang jelas.

Allah SWT telah menyangkal sangkaan yang salah daripada sebahagian manusia sebagaimana firman-Nya:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) secara main-main (dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu)? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Surah al-Mu’minun (115)

Penciptaan manusia bukanlah satu penciptaan yang sia-sia, malah ia didatangkan dengan sebuah tujuan yang agung.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”

Surah al-Zariyat (56)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa tujuan hidup manusia adalah untuk beribadat dan mentauhidkan Allah SWT. Ibadah yang dimaksudkan merangkumi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya[1], memurnikan agama hanya untuk-Nya, sabar atas ketetapan-Nya[2], bersyukur atas segala nikmat-Nya dan mentaati-Nya[3]. Ia menjangkaui semua aspek dalam kehidupan. Tujuan ini merupakan sebenar-benar misi yang membawa manusia kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Islam menggalakkan umatnya memperoleh dan memelihara harta. Menurut al-Syatibi, harta merupakan salah satu daripada lima maslahat yang diberikan perhatian dalam maqasid syariah selain daripada maslahat memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal fikiran (intelek), dan memelihara keturunan atau kehormatan. Ia dianggap sebagai al-dharuriyyat, yang mana ia merupakan keperluan wajib yang perlu ada untuk menjamin kemaslahatan agama dan kelangsungan hidup manusia di dunia. Jika kemaslahatan tersebut hilang, nescaya hidup manusia di dunia akan menjadi pincang dan akan membawa kepada kerosakan, permusuhan, dan fitnah yang membinasakan kehidupan manusia di dunia. Hilangnya harta juga akan menyebabkan manusia terlepas daripada kejayaan dan kenikmatan di akhirat dan kembali dengan kerugian yang amat nyata[4].

Namun begitu, harta bukanlah matlamat hidup secara hakiki yang mana segala usaha dan masa ditumpukan untuk mencari dan memperolehnya dengan mengetepikan segala kewajipan dan hak-hak yang perlu ditunaikan bersama dengannya. Malah, ia merupakan salah satu wasilah untuk melaksanakan kewajipan serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan umat manusia. Ia juga merupakan wasilah bagi mencapai tujuan asal penciptaan manusia iaitu penghambaan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT adalah pemilik mutlak bagi alam semesta dan segala isi kandungannya termasuk harta dan kekayaan yang dimiliki manusia. Firman Allah SWT:

لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ ٱلثَّرَىٰ

Maksudnya: “Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi”

Surah Taha (6)

Allah SWT mengurniakan rahmat-Nya kepada umat manusia untuk memakmurkan bumi ini dan menggunakan segala kemudahan untuk mereka menerokainya dan juga sebagai ujian daripada-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta mengkehendaki kamu memakmurkannya”

Surah Hud (61)

Selain itu, firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya”

Surah al-Jathiyah (13)

Harta yang dianugerahkan kepada manusia merupakan hak milik Allah SWT secara mutlak dan manusia hanyalah diberi amanah untuk mengurus, memelihara dan memanfaatkannya untuk diri sendiri, masyarakat dan agama demi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Dunia ini bersifat sementara, begitu juga pengukur kejayaan di dunia yang berubah mengikut peredaran zaman. Barangkali kayu ukur kejayaan manusia beberapa abad yang lalu adalah berdasarkan luasnya gua tempat tinggal mereka. Manakala ratusan tahun yang lalu pula, berkemungkinan ia berdasarkan keluasan tanah yang mereka miliki. Kemudian pada masa kini, ia berdasarkan harta yang diperolehi dan berkemungkinan berubah pada masa akan datang. Oleh itu, apa jua pengukur kejayaan akan berbalik kepada tujuan asal penciptaan manusia itu sendiri dan kejayaan di dunia merupakan wasilah bagi kejayaan di akhirat.

Kesimpulan

Tujuan hidup manusia yang utama adalah untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Harta merupakan salah satu wasilah untuk mencapai tujuan tersebut. Oleh itu, kejayaan seorang manusia bukanlah terletak pada pemilikan harta dan kekayaan semata-mata, malah ia berdasarkan sejauh mana kita melaksanakan tugasan sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT. Islam menggalakkan manusia meletakkan dunia di tangannya tetapi bukan di hatinya.

Wallahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Abdurrahman bin Nasir bin Abdullah al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, (Muassasah al-Risalah, cetakan 1, 1420H – 2000M) 313

هذه الغاية، التي خلق الله الجن والإنس لها، وبعث جميع الرسل يدعون إليها، وهي عبادته، المتضمنة لمعرفته ومحبته، والإنابة إليه والإقبال عليه، والإعراض عما سواه، وذلك يتضمن (١) معرفة الله تعالى، فإن تمام العبادة، متوقف على المعرفة بالله

[2] Abu Muhammad al-Hussain bin Mas’ud al-Baghawi, Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, (Dar Toyyibah, cetakan 4, 1417H – 1997M) 7/381

وقيل: معناه إلا ليخضعوا إلي ويتذللوا، ومعنى العبادة في اللغة: التذلل والانقياد، فكل مخلوق من الجن والإنس خاضع لقضاء الله، متذلل لمشيئته لا يملك أحد لنفسه خروجا عما خلق عليه

[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, (Dar Toyyibah, cetakan 2, 1420H – 1999M) 7/425

ومعنى الآية: أنه تعالى خلق العباد ليعبدوه وحده لا شريك له، فمن أطاعه جازاه أتم الجزاء، ومن عصاه عذبه أشد العذاب

[4] Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Syatibi, al-Muwafaqat, (Dar Ibn ‘Affan, cetakan 1, 1417H – 1997M) 2/17-18

فأما الضرورية، فمعناها أنها لا بد منها في قيام مصالح الدين والدنيا، حيث إذا فقدت لم تجر مصالح الدنيا على استقامة، بل على فساد وتهارج وفوت حياة، وفي الأخرى فوت النجاة والنعيم