Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-783: HUKUM WANITA ISTIHADAH MEMAKAI MENSTRUAL CUP KETIKA SOLAT TANPA MEMBERSIHKANNYA

HUKUM_WANITA_ISTIHADAH_MEMAKAI_MENSTRUAL_CUP_KETIKA_SOLAT_TANPA_MEMBERSIHKANNYA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Seperti yang diketahui, wanita yang sedang istihadah wajib membersihkan bahagian faraj kemudian membalutnya dengan kain atau tuala wanita sebelum menunaikan solat. Bagaimana pula jika seseorang wanita istihadah menggunakan menstrual cup dan tidak membersihkannya sebelum solat dengan tanggapan bahawa darah tersebut tidak keluar ke bahagian luar faraj? Adakah sah solat wanita tersebut? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Membersihkan diri merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Penggunaan menstrual cup dianggap seperti menanggung najis kerana kedudukan darah tersebut berada pada had yang wajib dibersihkan. Oleh itu, wanita yang sedang istihadah wajib membersihkan menstrual cup sebelum menunaikan solat dan tidak sah solat sekiranya tidak dibersihkan terlebih dahulu.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menstrual cup adalah sejenis alat kebersihan wanita yang berbentuk cawan kecil yang fleksibel, diperbuat daripada silikon dan bersifat tidak menyerap cairan. Ia digunakan sebagai alternatif kepada penggunaan tuala wanita, tampon dan lain-lain yang berfungsi menahan dan mengumpul cairan seperti darah haid.

Kaedah penggunaan menstrual cup ini adalah dengan memasukkannya ke dalam bahagian dinding faraj (vagina) wanita. Ia dimasukkan beberapa inci di bawah servik dan akan terbuka untuk membuat kedapan udara yang berfungsi dalam menghentikan kebocoran. Cecair yang keluar daripada servik wanita kemudiannya akan menitis masuk ke dalam cawan tersebut tanpa melepasi bahagian luar faraj.

Bagi sebahagian wanita yang kebiasaannya menggunakan menstrual cup ketika kedatangan haid, mereka lebih cenderung untuk terus menggunakannya ketika keluar darah istihadah atau keputihan yang banyak.

Dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah, penulis mendefinisikan istihadah sebagai[1]:

الدم الزائد على اكثر الحيض والنفاس او هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس

Maksudnya: Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa istihadah adalah hadas berterusan yang dihukumkan seperti penyakit kencing tidak lawas. Ia tidak menghalang kewajipan berpuasa dan solat seperti keluarnya darah haid. Justeru bagi wanita yang sedang istihadah, dia wajib membasuh farajnya dan membalutinya serta berwuduk pada waktu solat dan bersegera mengerjakannya[2].

Berdasarkan pernyataan ini, beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh wanita istihadah adalah seperti berikut:

  • Membasuh faraj daripada najis darah istihadah
  • Memakai alat kebersihan wanita seperti tuala wanita di permukaan faraj agar tidak mengalir keluar
  • Mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat
  • Wuduknya hanya sah untuk satu waktu solat fardu dan seberapa banyak solat sunat.

Sebahagian wanita istihadah menggunakan menstrual cup atas tujuan memudahkan mereka ketika hendak menunaikan solat. Oleh kerana darah yang keluar tidak melepasi bahagian luar faraj, maka ia dianggap tidak perlu dibersihkan.

Justeru perlu dijelaskan di sini bahawa menurut mazhab al-Syafi’i, bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib adalah pada had zahir faraj; iaitu kawasan yang terzahir sekiranya duduk dalam keadaan mencangkung[3]. Manakala had batin faraj ialah apa yang sebaliknya.

Terdapat perbahasan dalam bab puasa daripada kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab[4]:

فالذي يظهر من فرجها إذا قعدت لقضاء الحاجة له حكم الظاهر فيلزمها تطهيره ولا يلزمها مجاورته فإن جاوزته بإدخال أصبعها زيادة عليه بطل صومها 

Maksudnya:Maka bahagian faraj yang zahir ialah bahagian yang dapat dilihat apabila dia duduk (mencangkung) ketika membuang air, maka hendaklah dia membersihkannya dan jangan melebihi had tersebut. Sekiranya dia melepasi had tersebut dengan memasukkan jarinya (untuk membersihkannya), maka puasanya terbatal.”

Kedudukan had zahir dan had batin faraj wanita dapat disimpulkan seperti rajah berikut:

Had_Faraj_Wanita.jpg

Berdasarkan rajah di atas, didapati kedudukan pangkal menstrual cup telah memasuki had batin faraj wanita yang boleh menyebabkan batal puasa sekiranya dimasukkan di siang hari puasa, manakala bahagian hujung menstrual cup yang merupakan kawasan takungan darah kekal berada di had zahir faraj wanita.

Oleh yang demikian, penggunaan menstrual cup dianggap sebagai menanggung najis (darah istihadah) kerana kedudukan darah tersebut berada pada had yang wajib dibersihkan. Membersihkan diri merupakan syarat sah solat. Justeru, tidak sah solat wanita istihadah yang memakai menstrual cup tanpa membersihkannya terlebih dahulu. 

Wallahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah, (Tarim: Dar al-‘Ilm wa al-Dakwah, cetakan 1, 1423H – 2003M), 167

[2] Mahyuddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Dar al-Fikr, cetakan 1, 1425H – 2005M), 19

والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة فتغسل المستحاضة فرجها وتعصبه وتتوضأ وقت الصلاة وتبادر بها

[3] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairami, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj al-Tullab, (Matba’ah Halabi, 1369H – 1950M), 1/94

(وتعميم ظاهر بدنه) بالماء حتى الأظفار والشعر ومنبته وإن كثف وما يظهر من صماخ الأذنين ومن فرج المرأة عند قعودها لقضاء حاجتها

Muhammad bin Qasim al-Ghazi, Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, (Beirut: Dar Ibn Hazm, cetakan 1, 1425H – 2005M), 43

والمراد بالبشرة ظاهر الجلد؛ ويجب غسل ما ظهر من صماخي أذنيه، ومن أنف مجدع، ومن شقوق بدن؛ ويجب إيصال الماء إلى ما تحت القلفة من الأقلف، وإلى ما يبدو من فرج المرأة عند قعودها لقضاء حاجتها

[4] Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Beirut: Dar al-Fikr), 6/314