Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-813: TEMPOH MEMBACA QUNUT NAZILAH

TEMPOH_MEMBACA_QUNUT_NAZILAH.jpg

 

Soalan:

Salam SS Mufti, mohon pencerahan berkait tempoh membaca qunut nazilah adakah ia dihadkan kepada tempoh tertentu atau selama musibah berlaku atau ia dilakukan berasas arahan pihak ulul amri

Jawapan Ringkas:

Qunut Nazilah tidak memiliki had tempoh tertentu untuk dibaca. Ia sunat untuk dibaca selagi musibah yang menimpa umat Islam itu belum berakhir. Namun suka kami mengingatkan bahawa urusan berkaitan agama Islam adalah berada di bawah ruang lingkup bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Sebarang arahan yang diputuskan di peringkat negeri pastinya telah mengambil kira maslahat dan keadaan semasa bagi negeri tersebut. Justeru umat Islam adalah dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berwajib di negeri masing-masing.

Jawapan:

Setiap kali berlakunya musibah yang menimpa umat Islam, maka umat dituntut untuk membaca doa Qunut Nazilah di dalam solat setelah rukuk pada rakaat yang terakhir. Nabi SAW pernah membaca Qunut Nazilah dalam solat subuh selama sebulan setelah berlakunya pengkhianatan dan pembunuhan ke atas 70 orang sahabat Nabi SAW dalam peristiwa telaga Ma‘unah. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, katanya:

أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya kabilah Ri’l, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan meminta bantuan kepada Rasulullah SAW berperang. Lalu Baginda menghantar 70 orang sahabat daripada kalangan Ansar. Kami menggelar mereka sebagai Qurra’ (orang yang mahir membaca al-Quran) di zaman mereka. Mereka ialah golongan yang mengutip kayu api di waktu siang hari dan menunaikan solat di waktu malam. Apabila mereka tiba di telaga Ma‘unah, kabilah-kabilah tersebut telah melakukan pengkhianatan dengan membunuh mereka. Berita tersebut sampai kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW membaca doa qunut (Nazilah) selama sebulan. Nabi SAW mendoakan kehancuran dalam solat Subuh bagi sebahagian kabilah-kabilah Arab iaitu Ri’l, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Selain itu, riwayat lain menyebutkan berkenaan doa Qunut Nazilah yang dibacakan oleh Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, katanya:

 بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الْعِشَاءَ إِذْ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ‏ ثُمَّ قَالَ قَبْلَ أَنْ يَسْجُدَ اللَّهُمَّ نَجِّ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ، اللَّهُمَّ نَجِّ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ، اللَّهُمَّ نَجِّ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ، اللَّهُمَّ نَجِّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ، اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ

Maksudnya: Tatkala Nabi SAW sedang menunaikan solat isyak apabila Baginda membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ sebelum sujud Baginda berdoa: “Ya Allah! Selamatkanlah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah. Ya Allah! Selamatkanlah Salamah bin Hisyam. Ya Allah! Selamatkanlah al-Walid bin al-Walid. Ya Allah! Selamatkanlah mereka yang lemah daripada kalangan orang beriman. Ya Allah! Kau keraskanlah azab-Mu ke atas kabilah Mudhar. Ya Allah! Jadikanlah ke atas mereka kemarau panjang seperti yang berlaku pada zaman Nabi Yusuf.”

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, para ulama menyatakan bahawa Qunut Nazilah sunat dibaca dalam solat fardu ketika berlaku sesuatu bencana yang menimpa umat Islam.

Imam al-Nawawi berkata:

)وَيُشْرَعُ( أَيْ يُسَنُّ (الْقُنُوت)ُ بَعْدَ التَّحْمِيدِ (فِي) اعْتِدَالِ أَخِيرَةٍ (سَائِرٍ) أَيْ بَاقِي (الْمَكْتُوبَاتِ لِلنَّازِلَةِ) الَّتِي نَزَلَتْ

Maksudnya: “Disunatkan membaca doa Qunut selepas memuji Allah pada iktidal rakaat terakhir dalam semua sembahyang fardu disebabkan oleh musibah yang menimpa[1].”

Menurut Syeikh Sa‘id Ba‘isyin, antara bentuk musibah yang disunatkan untuk dilaksanakan doa Qunut adalah seperti kemarau, ketakutan kepada pihak musuh, serangan belalang, hujan lebat yang boleh mendatangkan bahaya serta penawanan orang alim atau pejuang Islam yang berani dan kehilangannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada umat Islam[2]. Orang yang tidak ditimpa musibah juga disunatkan membaca doa Qunut Nazilah dengan mendoakan keselamatan bagi umat Islam yang terlibat dengan musibah. Dalam kitab ‘Ianah al-Talibin menyatakan bahawa:

فَيُسَنُّ لأَهْلِ نَاحِيَةٍ لَمْ تَنْزِلْ بِهِمْ فِعْلُ ذَلِكَ لِمَنْ نَزَلَتْ بِهِ.

Maksudnya: “Disunatkan bagi penduduk kawasan yang tidak ditimpa musibah untuk membaca Qunut Nazilah kepada mereka yang ditimpa musibah[3].”

Di sisi ulama mazhab Syafi’i, tiada tempoh yang tertentu untuk membaca doa Qunut. Selagi musibah yang menimpa umat Islam belum berakhir, disunatkan untuk terus membacanya. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Mawardi:

وَكَذَلِكَ إِنْ نَزَلَتْ بِالْمُسْلِمِينَ نَازِلَةٌ وَلَنْ يُزِيلَهَا اللَّهُ تَعَالَى فَلَا بَأْسَ أَنْ يَقْنُتَ الْإِمَامُ فِي سَائِرِ الصَّلَوَاتِ حَتَّى يَكْشِفَهَا اللَّهُ تَعَالَى كَمَا قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ - حِينَ أَسَرَتْ قُرَيْشٌ مَنْ أَسَرَتْ، وَقُتِلَ مِنَ الصَّحَابَةِ عِنْدَ بِئْرِ مَعُونَةَ مَنْ قُتِلَ

Maksudnya: “Begitu juga jika musibah menimpa umat Islam, maka seorang pemimpin boleh melaksanakan bacaan doa Qunut dalam semua solat sehinggalah Allah SWT mengangkat musibah tersebut, sebagaimana Rasulullah SAW melakukannya apabila Quraisy menawan beberapa tawanan dan sebahagian daripada sahabat terbunuh dalam tragedi B’ir al-Ma‘unah[4].”

Selain itu, Imam al-Tabari dalam kitab Tahzib al-Athar menjelaskan bahawa antara sunnah yang baik untuk diamalkan ketika umat Islam ditimpa musibah ialah membaca Qunut Nazilah pada setiap kali solat fardu sehingga Allah SWT memberikan kemenangan sama ada dengan mengalahkan musuh, atau mereka memeluk Islam atau mereka menyerah diri sebagaimana yang berlaku dalam tragedi Bi’r al-Mauunah[5].

Oleh itu, jelaslah bahawa pelaksanaan Qunut Nazilah tidak memiliki had tempoh yang tertentu. Dalam sebahagian riwayat menjelaskan bahawa Nabi SAW meninggalkan doa Qunut adalah disebabkan mereka telah pun pulang ke Madinah:

قال أبو هريرة: "ثم رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم ترك الدعاء بعدُ، فقلت: أُرى رسول الله صلى الله عليه وسلم قد ترك الدعاء لهم، قال: فقيل: وما تراهم قد قدموا

Maksudnya: “Abu Hurairah berkata: Lalu saya melihat Rasulullah SAW tidak lagi mendoakan untuk mereka dan saya berkata: Nabi SAW tidak lagi mendoakan mereka namun kemudian dijelaskan kepadaku: Tidakkah kamu melihat mereka telah kembali?”

(Riwayat Muslim)

Imam Ibn Qayyim berkata:

 إنما قنت عند النوازل للدعاء لقوم، وللدعاء على آخرين، ثم تركه لما قدم من دعا لهم، وتخلصوا من الأسر، وأسلم من دعا عليهم وجاؤوا تائبين، فكان قنوته لعارض، فلما زال ترك القنوت ".

Maksudnya: “Nabi SAW hanya membaca doa Qunut ketika ditimpa musibah untuk mendoakan sesuatu kaum dan untuk mendoakan yang lain, kemudian dia meninggalkannya apabila orang yang didoakan telah kembali, dibebaskan dari tawanan atau mereka yang didoakan keburukan oleh Nabi SAW telah memeluk Islam dan datang menyerah diri. Oleh yang demikian Qunut yang dibaca oleh Nabi SAW adalah kerana ada sebab tertentu, ketika sebab itu telah hilang Baginda meninggalkan membaca Qunut.”[6]

Kesimpulan

  1. Qunut Nazilah tidak memiliki had tempoh tertentu untuk dibaca. Ia sunat untuk dibaca selagi musibah yang menimpa umat Islam itu belum berakhir. Namun suka kami mengingatkan bahawa urusan berkaitan agama Islam adalah berada di bawah ruang lingkup bidang kuasa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.
  2. Sebarang arahan yang diputuskan di peringkat negeri pastinya telah mengambil kira maslahat dan keadaan semasa bagi negeri tersebut. Justeru umat Islam adalah dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berwajib di negeri masing-masing.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. (1994). Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah jld. 1, hlm. 370.

[2] Muhammad Said Ba’syin. (2004). Busyra Al-Karim bi Syarh Masail al-Ta’lim, Jeddah: Dar al-Minhaj, jld. 1, hlm. 175.

كَقَحْطٍ وَخَوْفٍ مِنْ عَدُوٍّ وَجَرَادٍ وَمَطَرٍ مُضِرٍّ بِنَحْوِ زَرْعٍ، وَالخْاَصَّة الَّتِى فِى مَعْنَى الْعَامَّةِ كَأَسْرِ عَالِمٍ وَشُجَاعٍ لِتَضَرُّرِ الْمُسْلِمِيْنَ بِفَقْدِهِمَا

[3] Usman bin Muhammad Syato, al-Bakri. (1997). I‘anah al-Talibin ala Hil Alfaz Fath al-Mu’in, Beirut: Dar al-Fikr, jld. 1, hlm. 257.

[4] Ali bin Muhammad, al-Mawardi. (1999). Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Syafi’ie. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, jld. 2,hlm. 152.

[5] Muhammad bin Jarir. (t.t). al-Tabari, Tahzib al-Athar wa Tafsil al-Thabit an Rasulillah min al-Akhbar, Kaherah: Matba’ah al-Madani, jld. 1, hlm. 385.

 فَالْقُنُوتُ إِذَا نَابَتِ الْمُسْلِمِينَ نَائِبَةٌ، أَوْ نَزَلَتْ بِهِمْ نَازِلَةٌ، نَظِيرَةُ النَّائِبَةِ وَالنَّازِلَةِ الَّتِي نَابَتْ وَنَزَلَتْ بِالْمُسْلِمِينَ بِمُصَابِهِمْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْ قُتِلَ مِنْهُمْ بِبِئْرِ مَعُونَةَ، عَلَى مَنْ قَتَلَهُمْ وَأَعَانَ قَاتِلِيهِمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ، فِي كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ، عَلَى مَا رُوِيَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فِعْلِهِ فِي ذَلِكَ، إِلَى أَنْ يَكْشِفَ اللَّهُ عَنْهُمُ النَّازِلَةَ الَّتِي نَزَلَتْ، إِمَّا بِالظَّفَرِ بِعَدُوِّهِمُ الَّذِي كَانَ مِنْ قِبَلِهِمُ النَّازِلَةُ، وَإِمَّا بِدُخُولِهِمْ فِي الْإِسْلَامِ ⦗٣٨٦⦘، أَوْ بِاسْتِسْلَامِهِمْ لِلْمُسْلِمِينَ،

[6] Ibn Qayyim, al-Jauziyyah. (1994). Zad al-Maad fi Hadyi Khair al-Ibad, Beirut: Muasasah al-Risalah, jld.1, hlm. 272.