Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-825: ADAKAH WANITA HAID PERLU MENUNGGU BEBERAPA TEMPOH WAKTU SEBELUM MANDI WAJIB?

ADAKAH_WANITA_HAID_PERLU_MENUNGGU_BEBERAPA_TEMPOH_WAKTU_SEBELUM_MANDI_WAJIB.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya pernah mendengar bahawa wanita yang sudah berhenti haidnya perlu menunggu beberapa tempoh waktu sebelum melaksanakan mandi wajib bagi memastikan darahnya benar-benar telah kering. Adakah kenyataan ini benar kerana kerap kali saya mendengarnya? Mohon Pandangan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Menurut pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi’i menyatakan bahawa apabila darah berhenti dalam tempoh haid, maka ia dianggap sebagai suci. Justeru, diwajibkan bagi wanita untuk melakukan mandi wajib. Akan tetapi apabila terdapat kesukaran untuk melakukan sedemikian sepertimana kebiasaan sesetengah wanita yang darahnya kerap berhenti dan timbul, maka dibenarkan untuk mengambil pandangan yang menganggap bahawa tempoh darah berhenti adalah haid.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi naqa’ adalah tempoh masa suci daripada haid atau nifas. Ia boleh dikenal pasti dengan cara memasukkan kapas ke dalam faraj sehingga jelas terbukti bahawa tiada kesan darah pada kapas. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh imam al-Nawawi[1]:

وَالنَّقَاءُ: أَنْ يَصِيرَ فَرْجُهَا بِحَيْثُ لَوْ أَدْخَلَتِ الْقُطْنَةَ، لَخَرَجَتْ بَيْضَاءَ

Maksudnya: “Naqa’ berlaku apabila wanita memasukkan kapas ke dalam farajnya dan warnanya putih ketika kapas dikeluarkan.”

Kupasan lanjut berkenaan kaedah mengenal pasti tanda suci daripada haid boleh dirujuk pada pautan berikut:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5787-al-kafi-1964-tanda-tanda-suci-daripada-haid?fbclid=IwAR1EA62ksPbajt9f60iUGrU77okHbOENkwsKwi4gMDbrO9TFnmkTiUPsAys

Menurut pandangan ulama mazhab al-Syafi’i, wanita mubtadaah (pertama kali haid) yang mendapati tanda suci haid tidak perlu menunggu untuk beberapa tempoh waktu sebelum melakukan mandi wajib. Hal ini kerana, jelas ketiadaan haidnya bahkan diwajibkan kepada mereka untuk melakukan ibadah-ibadah fardu seperti solat, puasa dan sebagainya. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi [2]:

إذَا رَأَتْ النَّقَاءَ فِي الْيَوْمِ الثَّانِي عَمِلَتْ عَمَلَ الطَّاهِرَاتِ بِلَا خِلَافٍ لِأَنَّا لَا نَعْلَمُ أَنَّهَا ذَاتُ تَلْفِيقٍ لِاحْتِمَالِ دَوَامِ الِانْقِطَاعِ

Maksudnya: “Apabila seorang wanita melihat naqa’ pada hari kedua, maka dia wajib melakukan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atas wanita suci tanpa khilaf. Hal ini kerana, kita tidak mengetahui sama ada dia termasuk dalam kategori wanita talfiq atau tidak, kerana terdapat kemungkinan darah akan berterusan berhenti.”

Bagi wanita mu’tadah (pernah mengalami haid dan suci), Ibn Hajar Al-Haitami menyatakan bahawa jika adat kebiasaan haid bulan-bulan sebelum itu darahnya terputus kemudian selang beberapa masa ia keluar semula, maka ulama Syafi‘iyyah berbeza pandangan dalam permasalahan ini[3]:

  1. Pendapat yang rajih dalam mazhab seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi bahawasanya wanita perlu melaksanakan mandi wajib setelah darahnya berhenti pada bulan terkini. Justeru, hukumnya sama seperti bulan sebelumnya iaitu mengambil hukum wanita suci pada tempoh berhenti darah.
  2. Tidak perlu melaksanakan mandi wajib pada bulan terkini sehingga sampai pada bilangan hari adatnya. Dia mengambil hukum wanita haid kerana secara zahirnya keadaan pada bulan terkini sama seperti bulan sebelumnya. Ini merupakan pandangan yang disahihkan oleh Imam al-Rafi‘i.

Pandangan pertama merupakan pandangan muktamad dalam mazhab. Meskipun begitu, harus bagi seseorang individu untuk beramal dengan pandangan Imam al-Rafi‘i semata-mata bagi hak peribadinya dalam permasalahan ini[4].

new.png

 

Terdapat satu lagi pandangan dinyatakan oleh Ibn Qudamah berkenaan wanita mu’tadah yang dibenarkan untuk menunggu jika haid berhenti bukan pada tempoh kebiasaan haid. Biarpun begitu, ini bukanlah pandangan muktamad mazhab Hanbali melainkan hanya pandangan yang dipilih oleh beliau. Sekiranya wanita diwajibkan mandi pada setiap kali darah berhenti, maka perkara ini menjadi satu bebanan dan kesusahan buat mereka. Oleh yang demikian, ulama yang berpegang dengan pendapat ini tidak menghukumkannya sebagai haid melainkan kelihatan tanda-tanda darah ingin berhenti seperti berlakunya pada hujung waktu adat atau dia melihat keluarnya cecair putih daripada faraj [5].

Kesimpulan

  1. Berdasarkan perbahasan di atas, wanita yang pertama kali didatangi haid namun darahnya berhenti kemudian datang semula, maka tempoh berhenti itu dihukumkan sebagai suci dan diwajibkan baginya untuk mandi wajib. Syaratnya mestilah darah itu melepasi minimum haid serta tidak melebihi maksimum haid. Jika pada bulan berikutnya masih lagi terjadi masalah yang sama, maka tempoh itu juga dikira dianggap sebagai suci sehingga sampai kepada hari adatnya . Ini menurut pandangan muktamad mazhab al-Syafi‘i.
  2. Walau bagaimanapun, seperti kebiasaan sesetengah wanita yang darahnya kerap berhenti dan timbul sehingga membebankan dirinya untuk bersuci beberapa kali , maka dibenarkan baginya untuk mengambil pandangan sebaliknya sebagai amalan peribadi; iaitu tempoh berhenti darah dianggap sebagai haid. Ingatlah, di setiap kesusahan dalam urusan agama maka di sana terdapat ganjaran pahala yang besar untuk golongan yang bersabar.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syarf. Raudhah al-Talibin wa Umdatun al-Muftiin. (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 1991). Jld 1. Hlm 163.

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syarf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munirah, 1347H). jld 2. Hlm 502-503.

[3] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). Jld 1. Hlm 400.

وَفِي الشَّهْرِ الثَّانِي وَمَا بَعْدَهُ لَا تَفْعَلُ لِلِانْقِطَاعِ شَيْئًا مِمَّا مَرَّ لِأَنَّ الظَّاهِرَ أَنَّهَا فِيهِ كَالْأَوَّلِ هَذَا مَا صَحَّحَهُ الرَّافِعِيُّ، وَهُوَ وَجِيهٌ لَكِنَّ الَّذِي صَحَّحَهُ فِي التَّحْقِيقِ وَالرَّوْضَةِ وَهُوَ الْمَنْقُولُ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ أَنَّ الثَّانِيَ وَمَا بَعْدَهُ كَالْأَوَّلِ.

[4] Abd al-Rahman bin Abdullah al-Saqqaf. Al-Ibanah wa al-Ifadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadhah. (Amman: Dar al-Nur al-Mubin 2017). Hlm 30.

والرأي المعتمد في المذهب هو ما صححه النووي, ولكن يجوز العمل في حق النفس برأي الرافعي في هذه المسألة.

[5] Ibn Qudamah, Abdullah bin Muhammad. Al-Mughni. (Riyadh: Dar Alim al-Kutub, 1997). Jld 1. Hlm 437.

ويتوجه: أن انقطاع الدم متى نقص عن اليوم، فليس بطُهر ويتوجه: أن انقطاع الدم متى نقص عن اليوم، فليس بطُهر... لأن الدم يجري مرة، وينقطع أخرى، وفي إيجاب الغسل على من تطهُر ساعة بعد ساعة: حرج ينتفي بقوله: وما جعل عليكم في الدين من حرج [الحج: 78] ... فعلى هذا: لا يكون انقطاع الدم أقل من يوم طهرا، إلا أن ترى ما يدل عليه، مثل أن يكون انقطاعه في آخر عادتها، أو ترى القصة البيضاء