Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-826: ‘KAHWIN KONTRAK’

KAHWIN_KONTRAK.jpg

 

Terdapat laporan di dada akhbar baru-baru ini terutama tentang janda dan anak dara tua beralih memilih lelaki asing sebagai pasangan bagi mengelak stigma masih tidak berkahwin. Dikatakan wanita ini yang majoritinya stabil dari segi kewangan akan menawarkan kepada bakal pasangan mereka elaun bulanan, tempat tinggal, kereta, motosikal serta peluang perniagaan. Ganjaran ini yang adakalanya sebahagian daripada perjanjian perkahwinan yang dikenali sebagai perkahwinan kontrak apabila pasangan secara tidak rasmi berjanji untuk kekal berkahwin untuk tempoh tertentu sehingga lima tahun.

Pensyariatan perkahwinan termasuk dalam maqasid syariat untuk memelihara keturunan(حفظ النسل) dan dapat mengelak daripada berlakunya zina dan memperbanyakkan umat Nabi SAW. Maqasid dari perkahwinan juga bertujuan untuk beranak-pinak, berkasih-sayang dan bersilaturahim.

Perkahwinan kontrak atau dalam istilah yang lain juga disebut mut’ah, mu’aqat atau munqath’i adalah bertentangan dengan maqasid syariat dalam perkahwinan kerana ia dilakukan untuk jangka waktu tertentu. Dalam perkahwinan begini tempoh perkahwinan tersebut bergantung pada tempoh yang dinyatakan dalam akad yang mana ikatan perkahwinan terputus dengan sendirinya tanpa melalui proses perceraian. Perkahwinan ini haram dan tidak sah kerana akad perkahwinan hendaklah tiada tempoh tertentu seperti yang dibincangkan dalam fiqh munakahat.

Ibnu Abbas menyatakan bahawa hukum pengharaman kahwin kontrak secara mutlak berdasarkan pendapat jumhur sahabat. Kemudian, Qadhi Iyad juga berpendapat bahawa berlaku ijmak dalam kalangan ulama yang mengharamkan kahwin kontrak kecuali aliran Syiah Rafidah.

Walau bagaimanapun, terdapat perbincangan dalam kalangan fuqaha berkenaan tempoh perkahwinan yang tidak dinyatakan dalam akad tetapi perkahwinan berkenaan bertujuan untuk tempoh tertentu kerana ada matlamat tersirat yang ingin dicapai.

Perkahwinan begini jika cukup rukun dan syaratnya, maka ia adalah sah tetapi ia merupakan perbuatan menyalahi maqasid syariat daripada perkahwinan yang mementingkan kelangsungan hubungan suami dan isteri sepanjang hayat. Banyak kerosakan yang akan terhasil daripada perkahwinan begini kerana ia telah lari daripada tujuan sesuatu perkahwinan. Ia juga merugikan pihak wanita kerana dijadikan seperti barang dagangan yang boleh dipermainkan oleh pihak lelaki.

Masyarakat disarankan agar menjauhi perkahwinan kontrak begini kerana ia akan menjejaskan keharmonian institusi kekeluargaan di samping kesan-kesan buruk yang lain. Ikatan perkahwinan adalah hubungan yang harmoni dan penuh kasih sayang yang berkekalan.