Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-832: HAD SUJUD KETIKA SOLAT SECARA DUDUK DI ATAS KERUSI

ADAKAH_HAD_SUJUD_KETIKA_SOLAT_SECARA_DUDUK_DI_ATAS_KERUSI.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt, Datuk Mufti. Baru-baru ini, saya ada menonton sebuah video pendek yang menjelaskan bagaimana pergerakan rukuk dan sujud ketika menunaikan solat secara duduk di atas kerusi. Namun begitu, saya mendapati bahawa perkara yang diajar dalam video tersebut berbeza dengan kelaziman yang telah diamalkan sebelum ini. Adakah perbuatan duduk di atas kerusi untuk melakukan sujud dikira menambah satu rukun dalam solat? Mohon penjelasan daripada pihak Datuk. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Pada asasnya, bagi pesakit yang mampu solat berdiri dan mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, maka hendaklah dia sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada had kesempurnaan rukuk. Sekiranya tidak mampu, maka dia boleh sujud dalam bentuk rukuk.

Namun realitinya kebanyakan jemaah di masjid yang solat menggunakan kerusi akan melakukan rukuk terlebih dahulu sebelum melakukan sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi. Hal ini bukanlah suatu kesalahan dan ada disebut oleh sebahagian ulama mazhab Syafi’i, tidak disyaratkan melakukan sujud dalam keadaan berdiri malahan rukuk boleh dilakukan dalam keadaan duduk bahkan itu lebih hampir dengan sujud.

Selain itu, duduk untuk melakukan sujud dan rukuk tidak dikira menambah rukun kerana ia masih termasuk dalam pergerakan solat yang dimaklumi. 

Huraian Jawapan:

Berdiri bagi yang mampu adalah rukun dalam solat. Namun begitu, syarak membenarkan seseorang untuk duduk sekiranya tidak mampu berdiri. Antara dalil yang membolehkan seseorang untuk menunaikan solat dalam keadaan duduk sekiranya tidak mampu adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya:Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.”

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kepada keumuman maksud hadis ini dapat difahami bahawa paling utama adalah solat duduk di atas lantai dan duduk secara iftirasy (duduk antara dua sujud)[1] lebih utama berbanding duduk secara tawarruk[2] (duduk tahiyat akhir) dan tarabbu`[3] (bersila). Namun dibolehkan menunaikan solat dengan cara duduk di atas kerusi bagi orang yang tidak mampu untuk sujud dengan sempurna atau tidak mampu untuk duduk di atas lantai.

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat beberapa keadaan yang membolehkan seseorang untuk menunaikan solat secara duduk. Antaranya termasuklah jika seseorang itu tidak mampu untuk berdiri atau mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk atau seorang yang berada di atas sampan kerana takut tenggelam atau pening kepala sekiranya dia bersolat secara berdiri[4].

Secara asasnya bagi pesakit yang mampu solat berdiri dan mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, maka hendaklah dia sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada had kesempurnaan rukuk. Sekiranya tidak mampu, maka dia boleh sujud dalam bentuk rukuk. Perkara ini sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli:

ولو قدر المصلي على الركوع فقط كرره للسجود، ومن قدر على زيادة على أكمل الركوع تعينت تلك الزيادة للسجود لأن الفرق واجب بينهما على المتمكن ولو عجز عن السجود إلا أن يسجد بمقدم رأسه أو صدغه وكان بذلك أقرب إلى الأرض وجب، فإن عجزأومأ برأسه والسجود أخفض من الركوع

Maksudnya: “Sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja maka dia perlu mengulangi rukuk untuk menggantikan sujud. Sesiapa yang mampu untuk melebihkan daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia melakukannya. Hal ini kerana wajib membezakan antara rukuk dan sujud bagi orang yang mampu untuk melakukannya walaupun dia tidak mampu untuk sujud. Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya atau dengan bahagian tepi wajah menjadikannya lebih rapat ke bumi maka wajib dia melakukannya. Jika dia tidak mampu maka boleh menggunakan isyarat dan sujud mestilah lebih rendah daripada rukuk[5].

Bahkan menurut Imam al-Nawawi dalam kitab Raudhah al-Talibin, rukuk bagi orang yang solat dalam keadaan duduk adalah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut dan paling sempurna adalah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

Bagi pesakit yang duduk di atas kerusi untuk menunaikan solat dan dia mampu untuk rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud dengan meletakkan dahi ke atas lantai disebabkan oleh sakit pinggang dan lainnya, maka dia perlu dilihat dalam dua keadaan:

  1. Jika dia mampu untuk membongkokkan badan pada kadar rukuk yang paling rendah dan yang paling sempurna tanpa melebihi kadar itu, maka dia boleh melakukan dengan kadar yang termampu, sekali untuk rukuk dan sekali lagi untuk sujud meskipun kadar keduanya sama.
  2. Namun jika dia mampu untuk membongkok melebihi kadar rukuk paling sempurna, maka wajib dia rukuk dengan kadar rukuk paling sempurna (dan dia wajib sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan kadar yang melebihi kadar rukuk paling sempurna itu) bagi membezakan antara rukuk dan sujud[6].

Realitinya, kebanyakan jemaah di masjid yang solat menggunakan kerusi akan melakukan rukuk terlebih dahulu sebelum melakukan sujud dengan cara duduk di atas kerusi. Hal ini bukanlah suatu kesalahan kerana menurut Syeikh al-Bujairimi tidak disyaratkan melakukan sujud itu dalam keadaan berdiri malahan boleh dilakukan dalam keadaan duduk kerana itu lebih hampir dengan sujud. Syeikh al-Bujairimi berkata:

وقوله: يجلس ثم يقوم ويومئ انظر هل القيام شرط؟ وما المانع من الإيماء للسجود الثاني من جلوس مع أنه أقرب؟ تأمل.

Maksudnya: “Perkataan pengarang “Dia duduk, kemudian berdiri dan membuat isyarat sujud”, Lihat, adakah berdiri itu merupakan syarat? Apakah halangan untuk memberi isyarat pada sujud kedua sambil duduk, sedangkan ia lebih hampir? renungkan![7]

Selain itu, duduk untuk melakukan sujud tidak dianggap menambah rukun kerana menambah rukun yang boleh menyebabkan batalnya solat ialah seperti menambah sujud dan rukuk dengan sengaja. Melakukan duduk sebelum sujud tidak termasuk dalam menambah rukun. Syeikh al-Baijuri berkata:

نعم لو قعد بعد الهوي للسجود قعدة قصيرة لم تبطل صلاته لأن القعود عهد في الصلاة غير ركن

Maksudnya: “Seandainya dia duduk sebentar setelah turun untuk sujud, solatnya tidak batal, kerana duduk itu adalah suatu yang maklum dalam solat dan bukannya rukun[8].”

Masyarakat dan para agamawan dinasihatkan agar tidak mengeluarkan pandangan yang boleh menyebabkan masyarakat menjadi bertambah keliru. Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk kepada buku-buku panduan solat di atas kerusi yang ada seperti: Panduan Bersuci dan Bersolat Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia[9].

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan juga telah membincangkan perkara ini secara panjang lebar dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-71: Hukum-Hakam Solat di Atas Kerusi dan Tahqiq Al-Masail Siri Ke-2: Penjelasan Berkaitan Solat Secara Duduk di Atas Kerusi (Edisi Kemas Kini).

Kesimpulan

  1. Pesakit yang mampu solat berdiri dan mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, maka hendaklah dia sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada had kesempurnaan rukuk. Sekiranya tidak mampu, maka dia boleh sujud dalam bentuk rukuk.
  2. Namun realitinya kebanyakan jemaah di masjid yang solat menggunakan kerusi akan melakukan rukuk terlebih dahulu sebelum melakukan sujud dengan duduk di atas kerusi. Hal ini bukanlah suatu kesalahan kerana menurut sebahagian ulama mazhab Syafi’i, tidak disyaratkan melakukan sujud dalam keadaan berdiri malahan rukuk boleh dilakukan dalam keadaan duduk bahkan itu lebih hampir dengan sujud.
  3. Selain itu, duduk untuk melakukan sujud dan rukuk tidak dikira menambah rukun kerana ia masih termasuk dalam pergerakan solat yang dimaklumi. Masyarakat dan agamawan dinasihatkan agar tidak mengeluarkan pandangan yang boleh menyebabkan masyarakat menjadi bertambah keliru.

 Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Duduk dengan cara punggung berada di atas kaki kiri manakala jari kaki kanan diarahkan ke kiblat atau dengan istilah lain duduk antara dua sujud.

[2] Duduk dengan cara punggung berada di atas lantai, hujung kaki kiri dikeluarkan ke sebelah kanan manakala tumit kaki kanan ditegakkan dan jari kaki kanan diarahkan ke kiblat.

[3] Duduk dengan cara punggung berada di atas lantai sementara betis kanan diselipkan ke sebelah kiri dan demikian juga sebaliknya.

[4] ِAbu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Kaherah: Tab’ah al-Muniriyyah,1344H-1347H),4:310.

ولا يكفي أدنى مشقة بل المعتبر المشقة الظاهرة فإذا خاف مشقة شديدة أو زيادة مرض أو نحو ذلك أو خاف راكب السفينة الغرق أو دوران الرأس صلى قاعدا ولا إعادة

[5] Syams al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah,1984),1:469.

[6] ِAbu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin (Beirut: al-Maktab al-Islami,1991),1:236.

وأما ركوع القاعد، فأقله أن ينحني قدر ما يحاذي وجهه ما قدام ركبتيه من الأرض.

وأكمله، أن ينحني بحيث تحاذي جبهته موضع سجوده، وأما سجوده، فكسجود القائم. هذا إذا قدر القاعد على الركوع والسجود، فإن عجز لعلة بظهره، أو غيرها، فعل الممكن من الانحناء.

ولو قدر القاعد على الركوع، وعجز عن وضع الجبهة على الأرض، نظر، إن قدر على أقل ركوع القاعد وأكمله من غير زيادة أتى بالممكن، مرة عن الركوع، ومرة عن السجود، ولا يضر استواؤهما.

إن قدر على زيادة على كمال الركوع، وجب الاقتصار في الانحناء للركوع على قدر الكمال، ليتميز عن السجود.

[7] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairami, Hasyiah al-Bujairami ala Syarh al-Manhaj (t.tp:Matbaah al-Halabi, 1950) 1:191.

[8] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri al Syarh Ibn Qasim (Beirut: Dar al-Fikr, 2009) 1:264.

[9] Rujuk: https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf