Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-874: BOLEHKAH SOLAT DI DALAM AIR KETIKA BANJIR?

BOLEHKAH_SOLAT_DI_DALAM_AIR_KETIKA_BANJIR.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum wbt Datuk Mufti, saya mempunyai soalan berkenaan solat yang dilakukan ketika banjir, baru-baru ini saya telah menonton satu klip video yang tular yang menunjukkan seorang lelaki solat dalam air banjir. Timbul persoalan, jika saya dalam situasi banjir dan sukar untuk mencari kawasan yang tidak tenggelam di kediaman saya, adakah saya perlu solat secara sempurna iaitu sujud dan rukuk seperti biasa meskipun dalam banjir atau bagaimana? 

Ringkasan Jawapan:

Hukum solat dalam air banjir adalah sah sekiranya tidak terdapat kawasan daratan untuk menunaikan solat sekiranya tiada perkara yang menghalangnya seperti paras air yang terlalu tinggi dan seumpamanya. Jika terdapat halangan untuk sujud, maka memadai sujud dengan isyarat dan isyarat sujud mestilah lebih rendah daripada isyarat rukuk.

Namun begitu, meskipun terdapat keadaan yang mengharuskan solat dalam air, faktor-faktor keselamatan di musim banjir perlu diambil kira juga agar sebarang kejadian yang tidak diingini dapat dihindari.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Isu ibadat ketika bencana alam telah dibincangkan hukum-hakamnya, bahkan di peringkat Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah dikeluarkan beberapa Garis Panduan Dan Hukum-Hakam Fiqh Ketika Banjir[1] sebagai panduan masyarakat untuk beribadat di musim banjir. Adapun isu berkaitan solat ketika banjir serta mengerjakan solat dalam air perlu dilihat dalam beberapa aspek.

 

Hukum Mengerjakan Solat Ketika Banjir

Menunaikan solat fardu adalah satu kewajipan bagi setiap umat Islam pada bila-bila masa dan di mana sahaja seseorang itu berada. Oleh itu, kewajipan solat fardu tidak gugur walaupun seseorang itu berada dalam situasi banjir dan bencana alam.

Namun dalam situasi banjir, Islam memberikan keringanan dan kelonggaran kepada umat Islam tanpa mengabaikan kewajipan asas dalam menunaikan solat. Berkenaan pelaksanaan solat ketika banjir ini, umat Islam tetap perlu menunaikannya mengikut keadaan dan kadar kemampuan individu masing-masing. Berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Begitu juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya: aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”[2]

(Riwayat al-Bukhari)

 

Adakah Rukun Solat Perlu Dipenuhi Jika Solat Dalam Air?

Secara asasnya, solat hendaklah dilakukan dalam waktunya dan seseorang boleh memilih sama ada hendak melaksanakan di awal, di tengah atau di penghujung tempoh selagi masih dalam waktu solat[3]. Berdasarkan firman Allah SWT

Firman Allah S.W.T:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditentukan waktunya”.

(Surah Al-Nisa': 103)

Ayat di atas menjelaskan tuntutan serta kewajipan mengerjakan solat fardu di dalam waktunya.[4] Oleh yang demikian, kewajipan mengerjakan solat ketika banjir tetap berjalan seperti biasa namun bagi perihal solat di dalam air perlu dilihat beberapa situasi.

 

Situasi Pertama

Bagi mangsa yang terperangkap dalam banjir, jika terdapat kebarangkalian akan luput waktu solat dalam masa yang sama tiada kawasan daratan atau tempat kering untuk melaksanakan solat. Maka dalam keadaan tersebut, seseorang itu harus untuk melaksanakan solat di dalam air banjir.

Namun, pelaksanaan solat dalam situasi ini mesti dilihat jika tidak terdapat perkara menghalanginya untuk mengerjakan rukun-rukun solat dengan sempurna seperti berada pada paras air yang cetek dan tiada sesuatu yang dikhuatiri membawa bahaya pada diri seseorang jika ia bersujud pada tempat tersebut maka wajib orang yang solat tersebut menyempurnakan rukun-rukun solatnya.

Manakala sekiranya mangsa banjir berada dalam situasi paras air yang mencecah bahagian yang melepasi paras lutut, pinggang dan seumpamanya, maka solat fardu perlu ditunaikan itu mengikut kemampuannya. Hal ini mengambil kira faktor keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas mangsa banjir seperti dibawa oleh arus deras, lemas dalam air, terkena jangkitan kuman dan seumpamanya. Berdasarkan kenyataan Imam al-Khatib Syirbini:[5]

وَلَو عجز عَن السُّجُود إِلَّا أَن يسْجد بِمقدم رَأسه أَو صُدْغه وَكَانَ بذلك أقرب إِلَى الأَرْض وَجب ‌فَإِن ‌عجز عَن ذَلِك أَوْمَأ ‌بِرَأْسِهِ وَالسُّجُود أَخفض من الرُّكُوع

Maksudnya: Jika seseorang tidak mampu untuk sujud kecuali dengan menggunakan bahagian dahi dan pelipisnya supaya dengan itu dia lebih hampir dengan tanah, maka dia wajib sujud sedemikian. Namun, jika dia tidak mampu melakukannya, maka dia boleh memberi isyarat dengan kepalanya dan isyarat untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada rukuk”.

Adapun situasi seseorang yang tidak mampu menghadap kiblat dan tidak mampu menyempurnakan rukun terutama rukuk dan sujud ketika solat dalam air maka memadai baginya memenuhi rukun solat mengikut kemampuan dan situasi yang sedang dihadapi dan wajib menggantikan solat tersebut pada waktu lain. Menurut Imam Nawawi ketika beliau menjelaskan perihal solat dalam keadaan lemas dan sakit:

فِي مَسْأَلَةِ الْغَرِيقِ وَالْمَصْلُوبِ وَالْمَرِيضِ وغيرهم مِمَّنْ عَجَزَ عَنْ الْقِبْلَةِ وَإِتْمَامِ الْأَرْكَانِ أَنَّهُ يَجِبُ الصَّلَاةُ فِي الْحَالِ بِحَسَبِ الْإِمْكَانِ وَتَجِبُ الْإِعَادَةُ

Maksudnya: “Dalam permasalah orang yang sedang lemas, disalib, sakit dan perkara yang seumpamanya yang menyukarkan untuk menghadap kiblat serta menyempurnakan rukun-rukun solat, wajib dia solat mengikut keadaan tempat tersebut dan wajib mengulanginya”.[6]

Situasi kedua

Namun, jika seseorang itu masih mempunyai waktu dan yakin tidak luput waktu solat fardhu tunai dalam waktu tersebut, maka dia hendaklah sedaya upaya mencari kawasan kawasan yang tidak ditelenggami air atau daratan atau tempat yang boleh mengerjakan solat secara aman. Kemudian, bersolat pada keadaan solat seperti biasa seperti menyempurnakan rukun sujud dengan sempurna. Dalam keadaan ini, jika dia tetap solat di dalam air maka solatnya adalah tidak sah.

Hal ini kerana ibadat solat perlu disempurnakan setiap rukun dan syarat sahnya. Antaranya, meletakkan anggota sujud pada tempat sujud seperti tanah atau lantai adalah sebahagian daripada syarat sah sujud dalam solat. Imam Nawawi di dalam kitab syarah hadisnya menyatakan:

فَأَمَّا الْجَبْهَةُ فَيَجِبُ وَضْعُهَا مَكْشُوفَةً عَلَى الْأَرْضِ وَيَكْفِي بَعْضُهَا وَالْأَنْفُ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung”.[7]

Kesimpulan:

Hukum solat dalam air banjir adalah sah sekiranya tidak terdapat kawasan daratan untuk menunaikan solat sekiranya tiada perkara yang menghalangnya seperti paras air yang terlalu tinggi dan seumpamanya. Jika terdapat halangan untuk sujud, maka memadai sujud dengan isyarat dan isyarat sujud mestilah lebih rendah daripada isyarat rukuk.

Namun begitu, meskipun terdapat keadaan yang mengharuskan solat dalam air, faktor-faktor keselamatan di musim banjir perlu diambil kira juga agar sebarang kejadian yang tidak diingini dapat dihindari.

WallahuA’lam.

 

Rujukan:

[1] Rujuk pautan rasmi jabatan mufti wilayah persekutuan https://www.facebook.com/share/p/dgjTuoqbgVpV2ahu/

[2] Abu Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi. Sahīh al-Bukhari. (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Jil. 1 , hlm. 376.

[3] Wizarah al-Awqaf wa- al-Shu’un al-Islamiyyah. (t.t). Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah. (Dar al-Salasih: Kuwait, 2006). Jil. 11, hlm. 68

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى الْقَوْل بِتَخْيِيرِ الْمُصَلِّي فِي أَدَاءِ الصَّلَاةِ فِي الْوَقْتِ الْمُوَسَّعِ، وَهُوَ الْوَقْتُ الَّذِي وُكِّل إِيقَاعُ الصَّلَاةِ فِيهِ لاِخْتِيَارِ الْمُصَلِّي، فَإِنْ شَاءَ أَوْقَعَهَا فِي أَوَّلِهِ، أَوْ فِي وَسَطِهِ، أَوْ فِي آخِرِهِ، وَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ فِيمَا يَخْتَارُ

[4] al-Tabari, Muhammad bin Jarir, Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Aya al-Quran. (Kaherah: Dar Hajar, Ed2, 2001) Jil 7, hlm. 451.

إِنَّمَا هُوَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ فَرْضًا وُقِّتَ لَهُمْ وَقْتَ وُجُوبِ أَدَائِهِ ، فَبَيَّنَ ذَلِكَ لَهُمْ

[5] al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad al-Khatib. al-Iqna‘ Fi Hil Alfaz Abi Syuja‘. (Beirut: Dar al-Fikr, 1431H). Jil. 1, hlm, 131.

وَلَو عجز عَن السُّجُود إِلَّا أَن يسْجد بِمقدم رَأسه أَو صُدْغه وَكَانَ بذلك أقرب إِلَى الأَرْض وَجب ‌فَإِن ‌عجز عَن ذَلِك أَوْمَأ ‌بِرَأْسِهِ

وَالسُّجُود أَخفض من الرُّكُوع

[6] al-Nawawi, Yahya bin Sharf. al-Majmuk Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Mesir, 1928). Jil, 3, hlm, 64.

[7] al-Nawawi, Yahya bin Sharf. al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi). Jil.4, hlm. 208