Soalan:
Assalamualaikum Datuk Mufti, baru-baru ini telah tular isu pembekuan bayi yang disiarkan dalam media sosial yang telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam masyarakat. Apakah pandangan Datuk berkaitan isu ini. Mohon penjelasan daripada pihak Datuk. Terima Kasih
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Baru-baru ini tular suatu berita berkenaan tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa menahan dan membekukan jenazah bayi selama dua minggu hanya kerana pesakit tidak mampu membayar kos kelahiran bayi tersebut[1]. Kami tidak mahu menyentuh tentang apa yang berlaku kerana tidak ada maklumat berkaitan hal berkenaan secara terperinci.
Cuma di sini kami kongsikan pandangan Islam secara umum yang menuntut umatnya supaya mempercepatkan proses pengurusan jenazah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ - لَعَلَّهُ قَالَ - تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan bahawa hadis ini menyarankan supaya pengurusan jenazah dapat disegerakan kerana terdapat hikmah sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda SAW. Bahkan menurut para ulama mazhab al-Syafi’i, menyegerakan pengurusan jenazah merupakan perkara yang sunat.[2] Tetapi jikalau penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi WAJIB[3].
Dalam isu melewatkan pengurusan jenazah, ulama mazhab al-Syafi’i tidak membenarkan melewatkan pengurusan jenazah melainkan untuk menunggu wali atau ahli keluarga yang terdekat selagi mana ia tidak mengubah keadaan jenazah.[4] Selain itu, jika kelewatan itu disebabkan suatu maslahah tertentu, maka ia dibenarkan. Imam al-Ramli berkata:
فالتأخير إذا كان يسيرا وفيه مصلحة للميت لا ينبغي منعه
Maksudnya: “Penangguhan yang sedikit dan mempunyai manfaat untuk si mati tidak sepatutnya dihalang[5].”
Perkara kedua isu pembekuan mayat sebagaimana yang dipertanyakan, pada dasarnya, manusia merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang dimuliakan dan dihormati semasa hidupnya mahupun telah pergi meninggalkan dunia ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Surah al-Isra’ (70)
Oleh itu, dalam melaksanakan proses pengurusan jenazah, ia mestilah dilakukan dalam keadaan penuh cermat dan berhati-hati supaya tidak menyakiti jenazah. Hal ini kerana menyakiti jenazah sama seperti menyakiti orang yang hidup. Saidatina ‘Aishah RA meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW, sabdanya:
كَسْرُ عَظمِ الْميِّتِ ككَسرِهِ حيّاً
Maksudnya: “Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup.”
(Riwayat Abu Daud)
Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Tibi berkenaan hadis ini. Al-Tibi berkata bahawa padanya terdapat isyarat agar tidak dihina mayat orang yang telah mati sebagaimana dia tidak dihinakan ketika masih hidup[6].
Perbuatan menyakiti jenazah dikira sebagai suatu bentuk penganiayaan dan amat menyalahi hukum syarak kecuali ada sebab-sebab darurat tertentu, maka ia diharuskan sekadar keperluan darurat tersebut.
Kesimpulan
Berdasarkan ini adalah jelas hukum syarak telah menetapkan bahawa pengurusan jenazah sunat dilakukan sesegera mungkin merangkumi kesemua tatacara pengurusan bermula daripada proses pemandian, solat hinggalah ke proses pengebumian jenazah. Tetapi jika penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi WAJIB.
Selain itu, diharamkan menyakiti jenazah kerana manusia merupakan makhluk yang dimuliakan dan menyakiti jenazah adalah sama sepertimana menyakitinya ketika hidup. Sebagaimana maklum, proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan merupakan salah satu bentuk perbuatan yang menyakiti jenazah.
Namun, dalam situasi sekiranya terdapat keperluan yang mendesak, maka harus melakukannya dengan syarat ia mestilah dilakukan secara penuh berhati-hati mengikut keperluan dan berlandaskan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti. Selain itu, pengurusan tersebut mestilah dilakukan secara tertutup dan menjaga aib jenazah serta haram menyiarkannya secara terbuka.
Wallahu A‘lam
Rujukan:
[1] Lihat: https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2024/12/10/bapa-tak-mampu-bayar-bil-hospital-jenazah-bayi-lahir-tak-cukup-sifat-beku-2-minggu-terpaksa-dilembutkan-guna-air-panas-sebelum-kebumi, laman web diakses pada 11/12/2024.
[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabiy, 1392) Jld. 7 Hlm. 12
(أَسْرِعُوا بِالْجِنَازَةِ) فِيهِ الْأَمْرُ بِالْإِسْرَاعِ لِلْحِكْمَةِ الَّتِي ذَكَرَهَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَصْحَابُنَا وَغَيْرُهُمْ يُسْتَحَبُّ الْإِسْرَاعُ بِالْمَشْيِ بِهَا مَا لَمْ يَنْتَهِ إِلَى حَدٍّ يَخَافُ انْفِجَارَهَا وَنَحْوَهُ وَإِنَّمَا يُسْتَحَبُّ بِشَرْطِ أَنْ لَا يَخَافَ مِنْ شِدَّتِهِ انْفِجَارَهَا أَوْ نَحْوَهُ
[3] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H/1983M), 3/97.
(ويبادر) بفتح الدال (بغسله إذا تيقن موته) ندبا إن لم يخش من التأخير وإلا فوجوبا كما هو ظاهر وذلك لأمره - صلى الله عليه وسلم - بالتعجيل بالميت وعلله بأنه «لا ينبغي لجيفة مؤمن أن تحبس بين ظهراني أهله» رواه أبو داود. (تحفة المحتاج)
[4] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1415H) Jld. 2 Hlm. 51
(وَلَا تُؤَخَّرُ) الصَّلَاةُ (لِزِيَادَةِ مُصَلِّينَ) لِلْخَبَرِ الصَّحِيحِ «أَسْرِعُوا بِالْجِنَازَةِ» وَلَا بَأْسَ بِانْتِظَارِ الْوَلِيِّ عَنْ قُرْبٍ مَا لَمْ يُخْشَ تَغَيُّرُ الْمَيِّتِ.
[5] Syihabuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984) Jld. 2, Hlm. 412.
[6] Muhammad Asyraf bin Amir al-‘Azim Abadi, ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan ke-2, 1415H), 9/18.
(كَكَسْرِهِ حَيًّا) يَعْنِي فِي الْإِثْمِ كَمَا فِي رِوَايَةٍ. قَالَ الطِّيبِيُّ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّهُ لَا يُهَانُ مَيِّتًا كَمَا لَا يُهَانُ حَيًّا