Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-940: KERJAYA KREW PENERBANGAN DARI NERACA SYARIAH: MENYANTUNI KEPERLUAN SEMASA DENGAN NILAI DAN HUKUM ISLAM

KERJAYA_KREW_PENERBANGAN_DARI_NERACA_SYARIAH_-_MENYANTUNI_KEPERLUAN_SEMASA_DENGAN_NILAI_DAN_HUKUM_ISLAM.jpg

SOALAN:

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai kerjaya sebagai pramugari atau pramugara, adakah pendapatan daripada pekerjaan seperti ini halal? Apakah etika dan hukum yang perlu dijaga oleh seorang yang beragama Islam untuk berkecimpung dalam kerjaya ini? Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Bekerja sebagai krew penerbangan pada asalnya adalah harus selagi ia tidak bercanggah dengan hukum dan etika Islam. Namun, sekiranya pekerjaan tersebut melibatkan unsur haram atau maksiat maka pekerjaan sebegini boleh dihukumkan sebagai haram. Oleh itu, setiap Muslim yang menceburi bidang ini perlu menjaga akhlak, amanah, serta memastikan segala tugasan dan tanggungjawab yang dilakukan sentiasa selaras dengan syariat Islam. Dengan menitikberatkan etika dan hukum berkaitan kerjaya sebagai krew penerbangan, maka pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan ini juga boleh dianggap sebagai pendapatan yang halal.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Industri penerbangan memainkan peranan yang signifikan dalam kehidupan moden sebagai nadi utama sistem pengangkutan global yang menghubungkan manusia dan barangan merentasi sempadan dengan pantas dan efisien. Dalam era globalisasi ini, keupayaan industri tersebut untuk memendekkan jarak fizikal antara negara telah memperkukuh jaringan ekonomi, sosial, dan budaya di peringkat antarabangsa. Selain itu, industri penerbangan turut menawarkan peluang pekerjaan kepada individu-individu yang berminat dengan kerjaya sebagai krew penerbangan.

Konsep Hospitaliti dalam Islam

Hospitaliti atau layanan yang baik dan mesra dalam Islam bukan sekadar satu bentuk perkhidmatan sosial, sebaliknya merupakan cerminan kepada nilai akhlak mulia yang sangat ditekankan oleh syariat. Ia melambangkan keperibadian seorang Muslim yang sentiasa berakhlak baik dan memuliakan orang lain. Islam tidak hanya menilai kualiti hubungan manusia dengan Allah SWT, tetapi turut menekankan hubungan sesama manusia. Maka, layanan yang baik, sopan dan penuh hormat kepada orang lain adalah sebahagian daripada tanda keimanan seseorang kepada Allah SWT.

Ajaran Islam juga menuntut umatnya agar bersikap ihsan dalam setiap tindakan. Ihsan membawa maksud melakukan sesuatu dengan penuh kebaikan, kesungguhan dan keikhlasan seolah-olah seseorang itu melihat Allah SWT, walaupun hakikatnya dia tidak dapat melihat-Nya.

Konsep hospitaliti dalam Islam turut boleh dilihat pada penekanan syarak terhadap amalan menghormati tetamu, sehinggakan Allah SWT merakamkan akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim yang melayan tetamu Baginda yang terdiri daripada para Malaikat dalam Surah al-Dhariyat:

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ ‎﴿٢٤﴾‏ إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا ۖ قَالَ سَلَامٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ‎﴿٢٥﴾‏ فَرَاغَ إِلَىٰ أَهْلِهِ فَجَاءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ‎﴿٢٦﴾‏ فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ ‎﴿٢٧﴾‏

Maksudnya:Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? (24) Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. (25)Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). (26) Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "Silalah makan". (27)”.

[Surah al-Dhariyat, 24-27]

Selain itu, Rasulullah SAW sendiri turut memberikan penekanan kepada aspek melayan tetamu sehinggakan amalan ini dikaitkan dengan keimanan seseorang seperti sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah RA:

ومَن كانَ يُؤْمِنُ باللَّهِ واليَومِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya”.

[Hadis Muttafaq ‘Alayh]

Sehubungan dengan itu, dapat dirumuskan bahawa tugasan krew penerbangan yang menyantuni dan melayani para penumpang kapal terbang adalah merupakan antara tugas yang murni dan termasuk juga sebagai satu bentuk penghormatan kepada tetamu, yang antaranya juga adalah pelancong-pelancong daripada luar negara yang dapat meningkatkan lagi taraf ekonomi negara.

Hukum Dan Etika Islam Berkaitan Kerjaya Krew Penerbangan

Kerjaya krew penerbangan merupakan bidang pekerjaan yang menuntut tahap profesionalisme, tanggungjawab, dan disiplin yang tinggi dalam memastikan keselamatan serta keselesaan penumpang sepanjang penerbangan. Namun, dari sudut pandang Islam, setiap pekerjaan bukan sahaja dinilai dari sudut kemahiran dan kecekapan, tetapi juga perlu mematuhi prinsip hukum dan etika yang berlandaskan syariat.

Oleh itu, krew penerbangan yang beragama Islam hendaklah memastikan bahawa tugasan yang dilaksanakan tidak bercanggah dengan tuntutan agama. Antara isu utama yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

i- Isu Aurat dan Pakaian Seragam

Kewajipan pramugara dan pramugari untuk mengenakan pakaian yang menutup aurat merupakan tanggungjawab penting bagi mereka yang beragama Islam. Dalam Islam, menutup aurat adalah satu tuntutan syarak yang wajib dipatuhi oleh setiap individu sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah SWT. Walaupun krew penerbangan bekerja dalam industri yang menekankan penampilan kemas dan profesional, pematuhan terhadap prinsip menutup aurat juga perlu diutamakan selaras dengan tuntutan syarak. Selain itu, pakaian yang sopan dan menutup aurat juga menggambarkan keperibadian yang berdisiplin dan berakhlak mulia, sekaligus mencerminkan imej positif terhadap agama Islam di mata masyarakat dunia.

Syarikat penerbangan yang menghormati keperluan berpakaian menutup aurat sebenarnya menunjukkan sikap prihatin terhadap kepelbagaian budaya dan kepercayaan pekerjanya. Pramugara dan pramugari yang menutup aurat tetap mampu melaksanakan tugas dengan cekap tanpa menjejaskan standard perkhidmatan atau keselamatan penerbangan. Oleh itu, pelaksanaan etika berpakaian yang menutup aurat bukan sahaja memenuhi kehendak agama, tetapi turut memperkukuh imej profesionalisme dan keharmonian dalam persekitaran kerja yang berbilang kaum serta agama.

Bagi memenuhi tuntutan syarak dan nilai Islam, seorang pramugari yang beragama Islam perlu memastikan seluruh anggota badannya ditutup melainkan muka dan tapak tangan sahaja.[1] Selain itu, mereka juga perlu memastikan pakaian atau uniform yang yang dipakai oleh mereka tidak terlampau ketat sehingga menyebabkan bentuk bahagian tersebut boleh disifatkan oleh orang yang melihatnya.[2]

Manakala seorang pramugara yang beragama Islam pula adalah lebih mudah kerana pada kebiasaannya pakaian uniform yang dipakai oleh mereka telah menutupi kawasan aurat orang lelaki, iaitu antara pusat hingga ke lutut.[3] Walau bagaimanapun, pramugara lelaki juga perlu memastikan perhiasan yang dipakai oleh mereka tidak melampaui batas hukum syarak, iaitu dengan mengelakkan perbuatan berhias menggunakan emas,[4] memakai gelang,[5] rantai[6] dan seumpamanya yang dilarang oleh Islam.

ii- Penjagaan batas pergaulan

Tugas krew penerbangan melibatkan interaksi antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Oleh itu, batas pergaulan perlu dijaga mengikut panduan syarak agar tidak berlaku percampuran yang dilarang. Dalam konteks ini, panduan menjaga hubungan antara krew lelaki dan wanita boleh dirumuskan seperti berikut:[7]

  1. Tidak berkhalwat (berdua-duaan) di tempat tertutup, iaitu di kawasan yang tidak dapat dilihat oleh orang lain, sekiranya tiada sebarang urusan darurat atau urusan keperluan mendesak.
  2. Setiap petugas krew penerbangan mestilah menutup aurat dengan sempurna ketika berhadapan dengan petugas lain, atau penumpang yang berlainan jantina.
  3. Setiap petugas krew penerbangan juga perlu menjaga serta menundukkan pandangan pada kadarnya ketika melakukan tugasan mereka.
  4. Petugas krew penerbangan dalam kalangan wanita tidak boleh menggunakan suara yang lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki asing serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.
  5. Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram melainkan terdapat keperluan yang terdesak.

Berdasarkan kepada penjelasan ini, maka dapat dirumuskan bahawa percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram bukanlah dihukum haram secara mutlak. Namun, sekiranya percampuran ini berlaku dalam keadaan tidak melampaui batasan-batasan yang telah ditetapkan di atas, maka ia diharuskan oleh syarak.

iii- Rukhsah Sebagai Musafir

Islam sebagai satu agama yang mudah dalam pensyariatannya menawarkan pelbagai hukum khas untuk memastikan setiap orang Islam dapat melaksanakan ibadah walau berada dalam keadaan yang sukar. Dalam konteks petugas krew penerbangan, mereka dan para penumpang dikira sebagai orang yang bermusafir, dan layak untuk mendapatkan keringanan dalam melaksanakan ibadah yang berkaitan, terutamanya ibadah solat dan ibadah berpuasa.

Petugas krew penerbangan boleh mengambil rukhsah musafir dalam ibadah solat, iaitu dengan melaksanakannya secara solat qasar dan juga secara solat jamak. Solat qasar bermaksud memendekkan solat empat rakaat (seperti Zuhur, Asar dan Isyak) kepada dua rakaat, manakala solat jamak pula bermaksud menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu, sama ada jamak taqdim (dilakukan pada waktu solat pertama) atau jamak takhir (dilakukan pada waktu solat kedua). Rukhsah ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang fleksibel dan mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh petugas krew penerbangan, agar mereka tetap dapat menunaikan ibadah dengan sempurna tanpa terbeban.

Selain itu, petugas tersebut juga boleh mengambil rukhsah musafir terhadap kewajipan berpuasa di siang Ramadan, iaitu dengan tidak berpuasa dan menggantikannya pada hari lain selepas perjalanan tamat. Kelonggaran ini diberikan kerana berpuasa ketika bermusafir boleh menyebabkan keletihan atau kesukaran, terutama apabila perjalanan jauh dan memerlukan tenaga yang banyak. Namun begitu, jika seseorang mampu berpuasa tanpa mendatangkan mudarat, maka berpuasa tetap dibolehkan, bahkan ia adalah lebih baik.[8] Hal ini menunjukkan bahawa Islam meraikan kemampuan dan keadaan individu, serta menekankan prinsip keringanan dalam melaksanakan ibadah.

iv- Hukum Pemusafiran Wanita Tanpa Mahram

Dalam melaksanakan tugasan sebagai krew penerbangan, petugas wanita biasanya akan bermusafir untuk melaksanakan tugasnya tanpa mahram. Secara asasnya, majoriti fuqaha berpandangan bahawa pemusafiran wanita tanpa mahram adalah diharamkan, berpandukan kepada pelbagai hadis, antaranya yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurayrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ باللَّهِ وَالْيَومِ الآخِرِ، تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَومٍ وَلَيْلَةٍ إلَّا مع ذِي مَحْرَمٍ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk bermusafir selama satu hari satu malam melainkan bersama mahramnya”.

[Muttafaq ‘Alayh]

Sungguh pun begitu, sebahagian ulama kontemporari melihat bahawa larangan ini tidak lagi terpakai terutamanya dalam keadaan dunia sekarang ini yang terkawal pada aspek keselamatan dan terelak daripada fitnah yang menjadi asas kepada pengharaman bagi pemusafiran seorang wanita tanpa mahram. Fatwa daripada Mufti Mesir (Dari al-Ifta’ al-Misriyyah) turut memutuskan keharusan bagi wanita untuk bermusafir dalam konteks penerbangan pada hari ini seperti berikut:

أن توفر الأمن هو المعول عليه عند الفقهاء في الإقدام على السفر والامتناع منه. والذي عليه الفتوى أن سفر المرأة وحدها عبر وسائل السفر المأمونة وطرقه المأهولة ومنافذه العامرة؛ من موانئ ومطارات ووسائل مواصلات عامَّة، جائز شرعًا ولا حرج عليها فيه؛ سواء أكان سفرًا واجبًا أم مندوبًا أم مباحًا، وأنَّ الأحاديث التي تنهى المرأة عن السفر من غير محرم محمولة على حالة انعدام الأمن، فإذا تَوَفَّرَ الأمن لم يشملها النهي عن السفر أصلً

Maksudnya: “Penyediaan keselamatan adalah faktor utama yang dijadikan sandaran oleh para fuqaha (ahli fiqh) dalam menentukan sama ada perjalanan boleh dilakukan atau perlu dielakkan. Fatwa yang diterima pakai menyatakan bahawa perjalanan seorang wanita secara bersendirian melalui kaedah dan laluan perjalanan yang selamat serta melalui tempat-tempat yang didiami seperti pelabuhan, lapangan terbang, dan pengangkutan awam yang terjamin keselamatannya adalah harus dari segi syarak dan tidak berdosa; sama ada perjalanan itu bersifat wajib, sunat, atau harus. Hadis-hadis yang melarang wanita bermusafir tanpa mahram pula ditafsirkan dalam konteks ketiadaan keselamatan. Maka, apabila keselamatan telah terjamin, larangan tersebut tidak lagi terpakai ke atasnya”.

Justeru, dalam konteks pekerjaan sebagai krew penerbangan, kami berpandangan bahawa pemusafiran atas tujuan ini adalah dihukumkan sebagai harus setelah meneliti realiti dalam industri penerbangan yang ternyata keselamatan seluruh krew penerbangan adalah terjamin.

v- Penyediaan dan Penghidangan Arak

Secara umumnya, sebahagian syarikat penerbangan komersial menawarkan kepada para penumpangnya minuman keras sebagai sebahagian daripada perkhidmatan dalam penerbangan, khususnya di kelas perniagaan dan kelas pertama. Ini dianggap sebagai satu bentuk layanan antarabangsa yang sudah lama diamalkan dalam industri penerbangan global.

Dalam keadaan ini, pramugara dan pramugari yang beragama Islam haram sekali untuk terjebak dengan penyediaan dan penghidangan arak. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd Allah bin’Umar yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melarang segala aspek berkaitan arak seperti berikut:

لُعِنتِ الخمرُ على عشرةِ أوجُهٍ : بعينِها ، وعاصرِها ، ومعتَصرِها ، وبائعِها ، ومُبتاعِها ، وحاملِها ، والمحمولةِ إليهِ ، وآكِلِ ثمنِها ، وشاربِها ، وساقيها

Maksudnya: “Arak telah dilaknat atas sepuluh golongan: zatnya (arak itu sendiri), orang yang memerahnya, orang yang meminta supaya diperahkannya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang membawanya, orang yang ia dibawa kepadanya, orang yang memakan hasil (keuntungan) daripadanya, orang yang meminumnya, dan orang yang menuangkannya (menghidangkannya)”.

[Riwayat Ibn Majah]

Dari sudut fiqh muamalat, sesuatu kontrak kerja mestilah memenuhi syarat kontrak al-ijārah, iaitu antaranya mestilah tidak merangkumi tugasan kerja yang jelas adalah haram, misalnya adalah seperti kontrak kerja pelayan di kedai arak yang secara pastinya dia akan terlibat dalam tugasan menyajikan minuman keras tersebut. Dalam konteks kerjaya sebagai pramugara, penyajian arak bukanlah sesuatu tugasan yang pasti, sebaliknya ia bergantung kepada jenis penerbangan dan juga permintaan daripada pelanggan. Atas dasar ini, maka kerjaya pramugara atau pramugari dalam konteks ini masih dianggap sebagai kerjaya yang tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Walau bagaimanapun, sekiranya pada keadaan tertentu yang menyebabkan seseorang pramugara atau pramugari terpaksa terlibat dalam tugasan penyajian arak, maka sewajarnya bagi petugas tersebut untuk mengeluarkan sedekah daripada sebahagian pendapatannya bagi membersihkan hasil pendapatannya itu daripada perkara-perkara yang haram.

Selain itu, dinasihatkan juga kepada para petugas krew penerbangan yang terlibat dengan tugas-tugas penyediaan dan penyajian arak agar dapat berbincang dengan pihak majikan untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan tugasan-tugasan tersebut.

Kesimpulan

Akhir kata, pihak kami menasihati semua pihak pengurusan syarikat-syarikat penerbangan agar berusaha untuk menjadikan syarikat penerbangan yang mematuhi syariah dan memberi ruang kepada para pekerja mengamalkan amalan agama agar mereka berasa tenang dan selesa untuk bekerja.

Dengan memastikan segala etika dan hukum berkaitan kerjaya sebagai petugas krew penerbangan, maka kami rumuskan juga bahawa pendapatan yang terhasil daripadanya juga dihukumkan sebagai pendapatan yang halal.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan: 

[1] Shams al-Dīn Muḥammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʻrifah Maʻānī al-Minhāj, Beirut: Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:397.

(وَ) عَوْرَةُ (الْحُرَّةِ مَا سِوَى الْوَجْهِ وَالْكَفَّيْنِ) ظَهْرِهِمَا وَبَطْنِهِمَا مِنْ رُءُوسِ الْأَصَابِعِ إلَى الْكُوعَيْنِ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا} [النور: ٣١] [النُّورُ] . قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَعَائِشَةُ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ -: هُوَ الْوَجْهُ وَالْكَفَّانِ

[2]Al-Nawawi, Majmuk Syarh al-Muhazab 3: 170, وَيَجِبُ سَتْرُ الْعَوْرَةِ بِمَا لَا يَصِفُ لَوْنَ الْبَشَرَةِ

[3] Shams al-Dīn Muḥammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʻrifah Maʻānī al-Minhāj, Beirut: Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:397.

(وَعَوْرَةُ الرَّجُلِ) أَيْ: الذَّكَرِ وَلَوْ عَبْدًا أَوْ كَافِرًا أَوْ صَبِيًّا وَلَوْ غَيْرَ مُمَيِّزٍ وَتَظْهَرُ فَائِدَتُهُ فِي الطَّوَافِ إذَا أَحْرَمَ عَنْهُ وَلِيُّهُ (مَا بَيْنَ سُرَّتِهِ وَرُكْبَتِهِ) لِمَا رَوَى الْحَارِثُ بْنُ أَبِي أُسَامَةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ - أَنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَالَ: «عَوْرَةُ الْمُؤْمِنِ مَا بَيْنَ سُرَّتِهِ إلَى رُكْبَتِهِ»

[4] Untuk bacaan lanjut mengenai pengharaman emas bagi lelaki, sila rujuk artikel JMWP di: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1759-emas-dan-sutera-haram-bagi-lelaki

[5] Untuk bacaan lanjut, rujuk: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4498-al-kafi-1722-hukum-lelaki-memakai-gelang

[6] Untuk bacaan lanjut mengenai pengharaman rantai leher bagi lelaki, sila rujuk artikel JMWP di: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1801-pakai-rantai-bagi-lelaki-untuk-perubatan

[7] Untuk bacaan lanjut, rujuk artikel JMWP di pautan: https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5893-garis-panduan-pergaulan-antara-lelaki-dan-perempuan

[8] Untuk bacaan lanjut, sila rujuk: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-khas-ramadhan-cat/4447-irsyad-