Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

IUF35

Soalan:

Assalamualaikum, apakah maksud jahil basit dan jahil murakkab ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dari sudut definisi, jahil (menurut istilah ahli kalam) adalah beri’tikad kepada sesuatu berbeza dengan keadaannya yang sebenar. Rujuk Al-Mu’jam al-Wasith

Di dalam nas-nas al-Quran dan juga hadis-hadis yang sahih, terdapat banyak celaan yang ditujukan kepada kejahilan. Antaranya adalah firman Allah S.W.T:

 وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: Dan berpalinglah kamu dari orang-orang yang jahil.

Surah Al-A’raaf (199)

Imam al-Qurthubi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Pada ayat ini terdapat gesaan untuk seseorang itu mengikat dirinya dengan ilmu, berpaling dari golongan yang dalam kezaliman, mengelakkan diri dari berbantahan dengan golongan sufaha’, serta menjauhkan diri dari menyamai golongan yang jahil lagi tidak cerdik’’.

Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (7/309)

Namun ayat ini bukanlah bermaksud seseorang yang berilmu itu perlu menjauhi golongan yang jahil dari sudut tidak mahu mengajar ilmu dan kebenaran kepada mereka. Sebaliknya, golongan jahil dalam ayat tersebut merujuk kepada mereka yang zalim lagi melampaui batas serta menolak kebenaran yang disampaikan.

Oleh kerana itu Imam al-Thabari berkata: ‘’Ini adalah didikan daripada Allah kepada sekalian ciptaan-Nya (untuk berpaling) dari golongan yang menzalimi dan melampaui batas kepada mereka, dan bukannya berpaling dari golongan yang tidak mengetahui apa yang wajib ke atas dirinya dari hak-hak Allah’’. Rujuk Al-Jami’ al-Bayan, Al-Thabari (13/327).

Oleh kerana itu Imam Ahmad ketika menjelaskan niat sebenar yang perlu ada pada diri seseorang dalam proses menuntut ilmu beliau berkata: ‘’Tidak ada yang setanding dengan ilmu bagi mereka yang telah betul niatnya’’. Lalu ditanyakan: ‘’Bagaimanakah seseorang itu dapat membetulkan niatnya ?’’. Kata Imam Ahmad:

يَنْـوِي أَنْ يَرْفَعَ الجَهْلَ عَنْ نَفْسِهِ وَعَن غَيرِه

Maksudnya: Dia berniat untuk mengangkat kejahilan ke atas dirinya dan juga ke atas selainnya.

Justeru, para ulama kebiasaannya membahagikan jahil kepada dua bahagian:

Pertama: Jahil Basit (الجَهْلُ البسيط)

Menurut para penulis kitab Al-Mu’jam Al-Wasith, jahil basit adalah suatu ibarat yang diletakkan kepada sesiapa yang kita selamat dari kejahilannya (iaitu kejahilannya tidak membawa kemudaratan kepada orang lain).

Manakala Imam Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa maksud jahil basit ini adalah : ‘’(Seseorang itu) tidak mempunyai makrifah (pengetahuan) namun dia tidaklah menimbulkan keraguan kepada hal sebaliknya’’. Rujuk Badai’ Al-Fawaid, Ibn Al-Qayyim (4/209).

Ia bermakna, seseorang yang jahil dalam kategori ini tidak mempunyai pengetahuan sebenar terhadap sesuatu isu. Namun dalam masa yang sama dia tidak menimbulkan dakwaan bahawa dia berada di pihak yang benar dan pihak yang berlawanan dengannya itu salah. Iaitu dia tidak menimbulkan keraguan kepada orang lain dalam hal tersebut.

Kedua: Jahil Murakkab (الجَهْلُ المرَكَّب)

Definisi jahil murakkab adalah: ‘’Suatu ibarat yang diletakkan kepada seseorang yang kita tidak selamat dari kejahilannya (iaitu kejahilannya memberi mudarat kepada orang lain)’’. Rujuk Al-Mu’jam Al-Wasith.

Di sisi Ibn Al-Qayyim pula jahil murakkab pula adalah kejahilan tokoh-tokoh pegangan yang bathil. Rujuk Badai’ Al-Fawaid, Ibn Al-Qayyim (4/209).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa jahil basit tidaklah dianggap sebagai suatu yang tercela selama mana seseorang itu tidak menyebabkan kemudaratan terhadap orang lain dari kejahilannya itu.

Manakala jahil murakkab adalah suatu sifat yang tercela. Ini kerana, bukan sekadar dirinya jahil bahkan dia mempertahankan kebatilan tersebut dengan menganggap ia sebagai suatu kebenaran. Justeru, kemudaratan darinya lebih banyak dan berganda terhadap orang lain.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T sentiasa memuliakan kita semua dengan ilmu dan menjauhkan diri kita dari bersikap sombong terhadap kebenaran. Ameen.