Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

IUF42

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah beri penjelasan berkenaan dengan kaedah wasilah mengambil hukum maqasid ? Terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam bahasa mudahnya, wasilah membawa erti suatu yang menghubungkan atau sesuatu yang diguna untuk menyampaikan ke arah sesuatu. Sebagai contohnya, kereta merupakan suatu wasilah yang digunakan untuk menyampaikan seseorang itu ke sesuatu tempat seperti pejabat, masjid, dan sebagainya.

Manakala maqasid pula dari sudut bahasanya membawa maksud objektif atau tujuan bagi sesuatu. Dalam mencapai sesuatu tujuan, ia berhajat kepada wasilah yang menyampaikan ke arah perkara tersebut.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kaedah tersebut dinyatakan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka iaitu :

الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya : Wasilah-wasilah itu mengambil hukum-hakam maqasid.

Maka ini membawa erti, suatu wasilah yang membawa kepada perkara-perkara yang diperintahkan maka ia juga dalam masa yang sama turut diperintahkan. Manakala wasilah yang membawa kepada perkara-perkara yang dilarang, ia juga turut dilarang.

Syeikh Muhammad bin Husin Al-Jizani menukilkan dari Syeikh Abd Al-Rahman Bin Nasir Al-Sa’di yang menyebut :

الوسائل لها أحكام المقاصد فما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب، وما لا يتم المسنون إلا به فهو مسنون، وطرق الحرام والمكروهات تابعة لها، ووسيلة المباح مباح

Maksudnya : Wasilah-wasilah itu mengikut hukum bagi maqasid. Maka sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga menjadi wajib. Manakala perkara sunat yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu, maka perkara tersebut juga menjadi sunat. Jalan-jalan yang membawa kepada perkara yang haram dan makruh mengikut hukum yang sama. Dan wasilah kepada perkara yang mubah (harus) maka hukumnya adalah harus. Lihat Ma’alim Usul Al-Fiqh, Syeikh Muhammad bin Husin Al-Jizani (Hlm. 297).

Aplikasi Kaedah

Berikut kami kongsikan beberapa contoh pengaplikasian bagi kaedah di atas seperti yang disebutkan oleh para ulama dalam membahaskan kaedah tersebut :

Pertama : Hukum menghadiri solat Jumaat bagi orang lelaki adalah wajib. Justeru, seseorang itu tidak akan dapat melaksanakan kewajipan tersebut melainkan perlu menghadirinya. Maka berjalan kaki atau menaiki kenderaan untuk menghadirkan diri menunaikan solat jumaat adalah wajib hukumnya kerana wasilah ke arah perkara yang wajib adalah wajib juga hukumnya.

Kedua :   Demikian juga contohnya dengan perbuatan yang haram. Seseorang itu keluar rumah dengan tujuan untuk mencuri. Kemudian beliau berjalan kaki atau menaiki kenderaan ke tempat yang dia ingin melakukan kecurian padanya, maka perbuatan jalan kaki atau menaiki kenderaan itu menjadi haram hukumnya. Kerana wasilah kepada perkara yang haram adalah haram.

Ketiga : Hukum asal membeli pisau adalah harus. Walaubagaimanapun, hal ini perlu juga dilihat kepada tujuan pembelian tersebut. Sekiranya ia dibeli dengan tujuan untuk mempermudahkan urusan memotong buah-buahan, sayuran, atau daging dan seumpamanya, maka hukumnya adalah harus. Namun sekiranya seseorang itu membeli pisau dengan tujuan untuk mencederakan seseorang atau melakukan pembunuhan haram, maka hukum pembelian tersebut adalah haram.

Keempat : Dalam dunia moden pada hari ini, kami juga telah memberikan beberapa jawapan tuntas berkaitan dengan isu-isu semasa dengan menggunakan kaedah di atas ini. Sebagai contohnya, sekiranya seseorang itu memuat turun aplikasi Facebook dalam telefon bimbitnya dengan tujuan untuk menambah rakan kenalan, mendekatkan hubungan sesama keluarga dan sahabat yang jauh, maka hukumnya adalah harus. Namun sekiranya seseorang itu memuat turun aplikasi Facebook dengan menjadi pemilik akaun palsu (fake account) atau anonymous, dengan tujuan untuk menimbulkan fitnah, mengadu domba, menyebarkan gambar dan video lucah serta tujuan lain seumpamanya, maka perbuatan tersebut adalah haram hukumnya mengambil pakai hukum maqasid (tujuan) perbuatan memuat turun aplikasi tersebut.

Kami juga telah menjawab berkaitan isu Hukum Penggunaan Aplikasi Tumblr yang boleh dicapai menerusi pautan berikut https://bit.ly/324RR1d

Selain itu, antara contoh lain perbahasan hukum yang menggunapakai kaedah di atas adalah isu Hukum Jemputan Kenduri Kahwin Menerusi Facebook yang boleh dirujuk menerusi pautan berikut https://bit.ly/2NyCQ2D

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kaedah Wasilah Mengambil Pakai Hukum Maqasid merupakan satu kaedah yang muktabar serta diguna pakai oleh para ulama Islam. Justeru, wasilah yang membawa kepada wajib maka hukumnya juga menjadi wajib. Wasilah ke arah tujuan yang haram adalah haram. Wasilah kepada perkara yang sunat adalah sunat. Wasilah kepada perkara yang harus menjadi harus dan demikian wasilah kepada perkara yang harus menjadi harus.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini sedikit sebanyak memberikan kefahaman yang baik dan tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.