اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #73: HUKUM MENGAMALKAN TRANSCENDENTAL MEDITATION (TM)

ih124 17709312 1

Soalan: Apakah hukum mengamalkan transcendental meditation?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Transcendental Meditation (TM) adalah merupakan suatu teknik meditasi Hindu yang dipopularkan di di Barat. Kaedah meditasi ini mula diperkenalkan oleh Maharishi di India sekitar tahun 1950-an. Maharishi Mahesh Yogi mempelajari beberapa teknik-teknik asas berkaitan meditasi daripada Swami Brahmananda Saraswati, seorang guru berpengaruh daripada aliran Advaita Vedanta dalam agama Hindu di Himalaya sekitar 1940-an sehingga 1950-an. Pada tahun 1958 dia mula menyebarkan ajaran-ajarannya. (Lihat Cults and New Religions: A Brief History, m. 41)

Gelombang ketiga pengaruh Hindu ke dunia Barat berlaku pada penghujung 1960-an. Kumpulan The Beatles direkodkan pernah belajar di India dengan guru Maharishi Mahesh Yogi dan begitu mengagumi agama Hindu. Lagu My Sweet Lord yang ditulis oleh George Harrison sebenarnya adalah manifestasi kekagumannya kepada Dewa Krishna. (Lihat Experiencing the World's Religions, m. 119)

Maharishi meramalkan bahawa kualiti hidup semua penduduk akan mengalami peningkatan jika satu peratus daripada penduduk mempraktikkan teknik TM. Ini berlaku dengan menurunnya kadar jenayah pada bandar-bandar tertentu di Amerika Syarikat. Konsep pemahaman ini turut dikenali sebagai Maharishi Effect. Beberapa statistik ditunjukkan bagi membuktikan keberkesanannya. (Lihat Transcendental Meditation: The classic text revised and updated, m. 395)

 

Teknik Meditasi

Maharishi Mahesh Yogi mendakwa telah menemui semula bentuk meditasi yang bersusurgalurkan daripada Sutra Yoga Patanjali, salah satu tulisan klasik dalam falsafah Hindu. TM juga menggabungkan ajaran Krishna, Buddha dan Shankara. Teknik ini disarankan selama 20 minit, 2 kali bagi setiap hari. Meditasi ini secara asalnya diajarkan secara berhadapan empat mata secara privasi dan berlangsung hampir 1 jam. 

Tempoh maksimum satu-satu meditasi itu adalah 20 minit (2 kali sehari) dikatakan boleh menjanjikan manfaat yang bersamaan dengan teknik-teknik meditasi lain selama berjam-jam. (Lihat Transcendental Meditation Explained, m. 18)

Terdapat 7 langkah yang perlu diikuti bagi seseorang untuk mengamalkan TM. Ia bermula dengan dua langkah iaitu dua sesi syarahan berkenaan:

  1. Kelebihan TM yang disokong dengan penemuan-penemuan saintifik.
  2. Konsep TM, asal usul dan perbezaannya dengan teknik-teknik meditasi lain.

Langkah ketiga adalah temubual khusus dengan pengajar TM. Peserta boleh menyoal segala-galanya kepada pengajar TM sebelum memulakan sesi berkenaan.

Langkah keempat adalah menjelaskan tentang praktisnya. Ia bermula dengan penjelasan umum ritual tradisi oleh guru bagi menyampaikan ucapan terima kasih kepada roh para mahaguru yang telah menyerahkan ilmu itu turun temurun sehingga sampai kepada generasi sekarang.

Bagi pengajar TM, upacara itu adalah satu peringatan yang sangat penting bahawa praktisnya bukanlah direka tetapi diserahkan kepada generasi seterusnya dengan kepercayaan, dalam bentuk yang efektif dan murni. Tanggungjawab generasi sekarang adalah menyerahkannya kepada generasi seterusnya tanpa sebarang perubahan. Ritual 5 minit itu menggunapakai kemenyan, lilin, buah-buahan, bunga, dan beberapa bahan simbolik. Selepas itu, TM akan diajar dengan langkah demi langkah. Selepas 1 jam, pelajar tersebut akan mendapat pengalaman pertama melangkaui batas fikiran yang terhalus (transcending).

Umat Islam perlu berhati-hati dalam membezakan antara meditasi yang dibenarkan dalam Islam yang dikenali sebagai tafakkur, dan juga TM yang diharamkan dalam Islam. Prof. Dr. Malik Badri menegaskan perbezaan antara konsep tafakkur dan TM di mana walaupun tafakkur juga menyediakan natijah yang sama seperti apa yang ada pada TM, tafakkur mempunyai tujuan yang lebih tinggi. Tafakkur itu menurut beliau melalui 4 peringkat:

  1. Ilmu tentang objek yang difikirkan melalui pancaindera.
  2. Merenung dengan lebih dekat terhadap kecantikan dan kualiti apa yang difikirkan
  3. Pengamal tafakkur melepasi sempadan objek yang difikirkan, terus sampai kepada Pencipta dengan penuh keterujaan dan penyerahan diri sepenuhnya.
  4. Tidak lagi melihat ciptaan-Nya, kecuali melihatnya dengan penuh kesempurnaan, keindahan dan hikmah yang meliputi. Inilah yang dinamakan maqam musyahadah dalam tasawwuf. (Lihat Contemplation: An Islamic Psychospiritual Study, m. 31)

 

Mantra

Dalam TM, mantra tidak menjadi fokus utama di minda sebagai bentuk-bentuk meditasi lain, tetapi sebagai satu wasilah bagi tumpuan menjadi tenang dengan halus dan mudah. Ia membenarkan minda sampai kepada tahap tertentu dalam berfikir. Akhirnya mantra itu melenyap dan kita akan berada dalam kondisi senyap dan diam.

Terdapat dua kualiti mantra TM yang penting untuk menjadikan proses meditasi itu berjalan dengan baik.

  1. Bunyi yang tidak membawa apa-apa makna. Menggunakan satu perkataan yang tidak difahami hanya menyebabkan minda berada di permukaan, memikirkan tentang perkataan tersebut dan tidak akan membuatkannya untuk pergi lebih jauh daripada peringkat itu.
  2. Getaran yang mempunyai gema yang mendalam. Ianya berasal daripada perkataan “Om” yang menghampiri sifat diam, peringkat yang penuh bahagia yang memberatkan ia untuk lenyap pada arah itu. Ia menarik dan memukau minda, di mana ianya sentiasa mencari kegembiraan yang lebih besar. Justeru minda akan bersama-sama dengan mantra meresap dalam sifat diam. (Lihat Transcendental Meditation Explained, m. 14)

 

Penyerupaan Dengan Bukan Islam Dari Sudut Agama

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

(Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966))

  • Hukum Hadith

Imam Ibn Hibban hadith ini isnadnya (sanadnya) jayyid sepertimana disebut dalam Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim (1/269) oleh Syeikh al-Islam dan dalam al-Fatawa (25/331) disebut ia adalah hadith jayyid. Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadith ini adalah thabit dan sanadnya adalah hasan (baik) di dalam Fath al-Bari (10/282). Al-‘Iraqi berkata sanadnya sahih ketika mengtakhrijkan hadith ini di dalam al-Ihya’ sepertimana disebutkan di dalam al-Mughni (1/359) . Al-Zahabi berkata, isnadnya (sanadnya) salih sepertimana disebut di dalam Irwa’ al-Ghalil (5/109) bahawa isnadnya (sanadnya) hasan serta rijalnya kesemuanya thiqah kecuali Ibn Thauban di mana terdapat perselisihan padanya.

Justeru itu, kami cenderung pada pandangan yang menyatakan bahawa hadith ini adalah thabit dan sahih daripada Nabi SAW sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama’ walaupun terdapat perawi yang dinilai dhaif seperti Ibn Thauban.

  • Makna Hadith

Antara makna hadith ini sebagaimana disebutkan oleh para ulama’ adalah:

  • Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: “Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/87)
  • Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka: “Yang dimaksudkan dengan hadith ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.” (Lihat: ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 9/54)
  • Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)
  • Ibn Abd al-Bar menyebut: “Ditafsirkan siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka atau dihukumkan bersama mereka atau siapa yang bertasyabbuh pada perbuatan mereka, keadaan mereka dan ini secara umumnya dimaksudkan dengan mengikut (meniru perbuatan mereka).” (Lihat Al-Tamhid, 6/80)
  • Al-Kalabazi berkata: “Dia daripada kalangan mereka dengan maksud dikira bersama dengan mereka dan golongan mereka. Ini kerana, manusia dikenali berdasarkan dengan zahir tubuh badan mereka sedangkan yang batin tidak diketahui melainkan Allah SWT.” (Lihat Bahr al-Fawa’id yang dikenali dengan Ma’ani al-Akhyar, 1/169)
  • Al-Munawi berkata: “Hukumnya sama seperti hukum mereka kerana setiap maksiat diwarisi daripada satu ummah dan umat-umat yang Allah binasakannya. Justeru, sesiapa yang menyerupai dan tasyabbuh dengan satu-satu umat, maka dia termasuk daripada umat tersebut.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/1016)

Kami mengakhiri syarahan hadith ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya, sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau menyerupakan dirinya dengan orang kafir seperti pakaian dan lainnya atau orang fasiq atau orang jahat atau ahli tasawwuf atau orang soleh lagi baik, maka dia daripada kalangan mereka sama ada pada mendapat dosa atau kebaikan. Ini kerana, al-Thibi berkata yang ini umum pada bentuk kejadian, akhlak serta syi’ar.

  • Contoh Penyerupaan Yang Haram

Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) rahimahullah: “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.” (Lihat Fatawa Ibn Salah, 2/473).

Contoh bagi penyerupaan yang haram adalah berakidah dan beribadah dengan cara Nasrani atau Yahudi. Firman Allah SWT:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah: 120)

Begitu juga dengan penyerupai kelakuan dan pakaian ahli muzik yang lazim dengan maksiat seperti minum arak. (Lihat Asna’ al-Matalib, 4/344)

 

Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan

Fatwa berikut oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengenai perkara-perkara yang dirujukkan kepada Majlis di bawah Seksyen 41 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak bagi Negeri Selangor, sebagaimana diubahsuai oleh Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak) 1974, adalah diterbitkan sebagaimana ditetapkan oleh Majlis menurut seksyen 42 (3) Enakmen itu:

  1. Bahawa ajaran “Transcendental Meditation” yang diajar oleh Maharishi Mahesh Yogi dan kumpulannya bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu, orang Islam adalah ditegah daripada mengikut dan mengamalkannya. (Lihat Himpunan Fatwa Wilayah Persekutuan 1987-2019, m. 21)

Bertarikh pada 2 November 1987 [JAWI/A/145; PN. (PU) 197/II]

Kesimpulan

Semoga umat Islam dapat memahami fatwa ini dengan baik dan menghindarkan diri daripada mengikut dan mengamalkan TM yang mendapat tempat dalam ajaran New Age Movement (NAM).