اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI KE-461: APAKAH SAH SOLAT SESEORANG YANG BERGELUMANG DENGAN PERKARA HARAM ?

Soalan:

Adakah solat seseorang itu sah jika setiap hari makan benda yang haram seperti dadah ?

Jawapan:

Masalah ini disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (terpisahnya bahagian). Dalam isu ini, sekiranya solat yang dilakukan itu menepati rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya ia maka solatnya dikira sah dan tidak perlu diulangi. Manakala dari sudut adakah Allah S.W.T akan menerima solat daripadanya maka perkara tersebut kembali kepada ilmu Allah S.W.T yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Walaupun begitu, setiap insan yang bergelar muslim perlu menghayati firman Allah S.W.T yang berikut. Kata Allah S.W.T:

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertakwa.

Surah Al-Maidah (27)

Kata Imam Ibn Kathir Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: (Sesungguhnya Allah S.W.T hanya menerima amalan) daripada golongan yang bertaqwa kepada Allah dalam melakukan amalan tersebut. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (3/85).

Berdasarkan ayat di atas, jelas ia menunjukkan kepada kita bahawa Allah S.W.T hanya menerima amalan yang terbit dari kalangan mereka yang bertaqwa. Ketaqwaan itu meliputi perbuatan menjauhkan diri dari kesyirikan dan maksiat serta melakukan segala perintah yang disuruh oleh Allah S.W.T. Demikian juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.anh, Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan Dia tidak menerima melainkan sesuatu yang baik sahaja.

Riwayat Muslim (1015)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah: Sesungguhnya Allah S.W.T suci lagi bersih daripada sebarang unsur kekurangan dan segala kecacatan. Beliau turut mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah lebih umum iaitu: Sesungguhnya Allah S.W.T tidak menerima sesuatu amalan melainkan ia bersih lagi suci dari segala kerosakan seperti perasaan riya’ dan juga ‘ujub. Allah juga tidak akan menerima sesuatu harta melainkan ianya bersih lagi halal. Rujuk al-Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, Ibn Rajab al-Hanbali (1/258).

Kesimpulan

Secara umumnya, kami menyatakan bahawa solat yang dilakukan dengan menepati rukun dan syaratnya adalah sah dan melepaskan zimmah (tanggungjawab) seseorang itu. Walaupun begitu, sekiranya seseorang yang bersolat itu masih melakukan perkara-perkara yang haram seperti menghisap dadah dan seumpamanya, itu bererti solatnya tidak mendatangkan kesan kebaikan kepada dirinya. Firman Allah S.W.T:

إنَّ الصَّلاَةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu mencegah seseorang daripada perbuatan keji lagi mungkar.

Surah Al-Ankabuut (45)

Demikian juga sebuah athar daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata:

مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا

Maksudnya: Sesiapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perkara keji dan munkar, tidak bertambah sedikitpun kedudukan dirinya dengan Allah melainkan bertambah jauh.

Kami berdoa semoga Allah S.W.T menerima segala amal soleh yang kita lakukan serta mengurniakan kepada kita solat yang dapat menghalang kita dari melakukan perkara keji lagi munkar. Ameen.