Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum pekerjaan memetik buah anggur yang akan diproses untuk dijadikan arak? Kerana ramai juga orang Islam yang bekerja di sektor ini di Australia dan New Zealand.
Jawapan :
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Hukum pekerjaan memetik anggur pada asalnya adalah harus. Akan tetapi jika pekerjaan itu membantu kepada perkara yang haram maka hukumnya adalah haram. Sepertimana soalan yang telah dikemukakan bahawa buah anggur yang dipetik itu akan diproses untuk dijadikan arak. Maka hukum bekerja di sektor ini adalah haram. Ini berdasarkan hadis Nabi
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً : عَاصِرَهَا ، وَمُعْتَصِرَهَا ، وَشَارِبَهَا ، وَحَامِلَهَا ، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ ، وَسَاقِيَهَا ، وَبَائِعَهَا ، وَآكِلَ ثَمَنِهَا ، وَالمُشْتَرِي لَهَا ، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
Maksudnya :” Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi ( 1295)
Al-Marhum Sheikh Atiyah al-Saqr ketika ditanya tentang orang yang bekerja di sektor yang membantu penjualan arak beliau menjawab :
“Dan orang yang memberi minum arak kepada orang lain mendapat dosa yang sama sepertimana yang telah diberitahu oleh nas hadis. Sama ada dia redha dengan perbuatan tersebut dan orang yang redha dengan maksiat maka akan dihukum dengan hukuman yang sama orang yang melakukannya. Ataupun dia hanya membantu dalam perkara maksiat. Orang yang membantu dalam perkara maksiat maka dia turut serta mendapat dosa disebabkan maksiat tersebut:”
Rujuk Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa wa al-Ahkam (3/186)
Maka pekerjaan tersebut adalah haram kerana ia membantu dalam pembuatan arak. Di mana ia adalah sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah. Kaedah fiqh menyebut :
كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام
Maksudnya :” Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”
Berdasarkan kaedah ini maka membantu dalam perkara yang diharamkan oleh Allah adalah dikira sebagai berdosa. Ianya dikuatkan lagi dengan firman Allah :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah al-Maidah : 2)
Nasihat kami carilah pekerjaan lain yang halal dan tidak syubhat. Kerana pekerjaan yang halal dan jauh dari syubhat itu ada berkatnya kecuali jika tidak diketahui tujuan dipetik anggur tersebut.
Wallahu’alam.