SOALAN
Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Untuk pengetahuan Tuan Mufti, anak saya telah berusia 8 tahun dan saya sedang melatihnya untuk solat penuh lima waktu seharian.
Walaubagaimanapun, dia liat dan malas untuk bangun pada waktu Subuh setiap hari. Soalan saya, bolehkah saya menyuruhnya untuk melaksanakan qada’ yang ditinggalnya kerana tidurnya tersebut?
Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.
Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan waktu-waktu yang tertentu untuk didirikan pada waktu tersebut lima solat yang fardhu. Islam sangat menekankan tentang kepentingan mendirikan solat pada waktunya. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisaa’: 103)
Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 4:258)
Allah SWT memerintahkan ketua keluarga memastikan bahawa sesiapa yang dibawah tanggungannya seperti isteri dan anak-anak supaya melaksanakan solat serta hendaklah tekun dan sabar dalam menunaikannya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.
(Surah Toha: 132)
Imam al-Qurtubiy dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia merupakan perintah kepada Nabi Muhammad SAW dan juga kepada kepada semua umatnya supaya sabar dalam mendirikan solat dan memerintahkan ahli keluarga untuk melaksanakannya. Apabila turunnya ayat ini, Rasulullah SAW akan pergi ke rumah Saidina Ali dan Saidatina Fatimah pada setiap waktu Subuh untuk mengejutkan mereka bagi mendirikan solat. (Rujuk Tafsir al-Qurtubiy, 14:164)
Selain itu, Rasulullah SAW juga memerintahkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak mereka mendirikan solat. Rasulullah SAW mengajarkan supaya disuruh anak untuk mendirikan solat pada umurnya mencapai usia tujuh tahun dan memukulnya dengan pukulan yang tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran ketika anak tersebut berumur sepuluh tahun. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.
Hadith riwayat Abu Daud: (490)
Justeru itu, menjadi tanggungjawab keatas setiap daripada ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak mereka bagi mendirikan kesemua lima solat fardhu termasuklah solat Subuh yang mempunyai banyak kelebihannya. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA ada menyebutkan berkaitan hal ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ - رَضِيَ اللهُ عَنْهُ - عَن النَبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذِهِ الآيَةِ : إِنَّ قُرْآنَ الفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا قَالَ : " تَشْهَدُهُ مَلَائِكَةُ اللَيْلِ وَمَلَائِكَةُ النَّهَار
Maksudnya: Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW berkaitan dengan ayat 78, surah al-Israa’ maksudnya: dan (dirikanlah) sembahyang Subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya), bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ia (solat Subuh) disaksikan oleh Malaikat Malam dan juga Malaikat Siang.”
Hadith riwayat al-Tirmidzi: (3135)
Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa menyuruh dan mengejutkan anak yang belum baligh untuk solat adalah satu tanggungjawab dan tuntutan ke atas ibu bapa, lebih-lebih lagi solat Subuh kerana Rasulullah SAW sangat menekankan tentang kepentingannya dan terdapat pelbagai keistimewaan padanya.
Namun begitu, suka untuk kami nukilkan fatwa daripada Sheikh Uthaimin apabila ditanya berkaitan perkara ini, bahawa beliau berkata:
الظَّاهِرُ أَنَّ هَذَا يُنْظَرُ: إِذَا كَانَ مَثَلاً فِي أَيَّامِ الشِّتَاءِ وَأَيَّامِ البَرَدِ وَالمَشَقَّةِ فَلَا بَأْسَ أَن يُتْرَكَ. وَإِذَا قَامَ ، يُقَالُ لَهُ: صَلِّ. وَأَمَّا إِذَا كَانَ الجَوُّ معتدلاً وَلَا ضَرَرَ عَلَيْهِ فِي الِإقَامَةِ فَأَقِمْهُ حَتَّى يُعْتَادُ وَيُصَلِّي مَعَ النَّاسِ
Maksudnya: Apa yang terzahir daripada soalan tersebut bahawa ia hendaklah dilihat pada keadaannya: contohnya jika sekiranya pada hari yang sejuk bersangatan atau mempunyai kesukaran untuk bangun pada paginya itu, maka tidak mengapa untuk membiarkan anak yang belum baligh tersebut dengan tidak mengejutkannya. Namun, jika sekiranya dia bangun, hendaklah menyuruhnya untuk mendirikan solat. Begitu pula, pada hari yang suhunya biasa dan tiada kemudharatan untuk membangunkannya, maka hendaklah membangunkannya sehingga dia terbiasa dengan keadaan tersebut dan mendirikan solat secara berjemaah. (Rujuk al-Liqa’ al-Syahri, 40:18)
Maka, dapatlah difahami bahawa jika terdapat kesusahan bagi anak kecil yang belum baligh di bawah umur 10 tahun seperti tidur lewat, cuaca yang sejuk, kepenatan dan lain-lain, maka tidak mengapa untuk tidak memaksa mereka untuk mendirikan solat Subuh pada waktunya supaya tidak terbeban dengan sesuatu yang belum diwajibkan keatasnya dan kudratnya yang masih kecil.
Namun, dalam keadaan seperti ini, maka amatlah digalakkan untuk menyuruh mereka menqadha’ solat tersebut dan menegur mereka dengan teguran yang bersesuaian supaya timbul kesedaran tentang kepentingan dan keagungan solat dalam diri mereka. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
(Surah al-Hajj: ayat 32)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa adalah sangat dituntut bagi ibubapa untuk menyuruh anak-anak mereka yang belum baligh untuk mendirikan solat, khususnya solat Subuh bagi melatih mereka untuk terbiasa melaksanakannya. Manakala, bagi anak-anak yang berumur sepuluh tahun ke atas, maka hendaklah memukul mereka sekiranya mereka liat dan malas untuk menunaikan solat.
Selain itu, antara cara lain untuk memberikan pengajaran kepada mereka adalah dengan menyuruh mereka mengqadha’kan solat tersebut. Ini supaya timbul kesedaran di dalam hati mereka tentang kepentingan dan keagungan solat. Maka, adalah digalakkan untuk ibubapa menyuruh anaknya yang belum baligh menqadha’kan solat walaupun tidak menjadi kewajipan keatasnya untuk melakukan demikian. Disamping itu, ibubapa harus bijak untuk memberi galakan seperti memberikan hadiah dan pujian apabila anak berjaya mendirikan dan membiasakan diri dengan solat, bukan hanya sekadar memberi arahan dan menghukum.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita terhadap agama serta memberi taufiq dan hidayah untuk melaksanakan syariatNya dengan sebaiknya. Amin.
WaAllahu a’lam.