اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1622: SIAPAKAH GOLONGAN AL-AWWALIN DAN AL-AKHIRIN YANG DISEBUT DI DALAM SURAH AL-WAQI’AH

 ak 1622

Soalan

Assalamualaikum Dato, saya ada satu pertanyaan berkenaan maksud golongan awwalin dan akhirin yang diceritakan di dalam surah al-Waqia’h. Adakah ia termasuk di dalam golongan umat Nabi Muhammad SAW.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Waqi’ah

Surah al-Waqi’ah merupakan surah makkiyyah dan terkandung di dalamnya 96 ayat. Imam Qurtubi menukilkan pandangan al-Hasan, I’krimah, Jabir dan A’ta’ di dalam tafsirnya menyebut bahawa surah ini terdapat 97 ayat. Ibnu Abbas dan Qatadah menyatakan Surah al-Waqi’ah diturunkan di mekah kecuali satu ayat iaitu Firman Allah SWT: (وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ) al-Kalbi berpendapat surah ini Makkiyyah kecuali empat ayat. Imam Qurtubi menukilkan pandangan Mashruk menyatakan, sesiapa yang hendak mengetahui kisah golongan al-Awwalin, al-Akhirin, ahli Syurga, ahli Neraka dan ahli Akhirat maka bacalah surah al-Waqi’ah. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/194)

Selain itu, di antara kelebihan surah ini Imam al-Suyuti menukilkan daripada Ibnu Mas’ud RA:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya

Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)

Tafsir Surah al-Waqi’ah Ayat 13-14 dan 39-40

Berbalik kepada persoalan di atas, kami datangkan ayat yang menceritakan perihal golongan yang digelar sebagai al-Awwalin dan al-Akhirin seperti mana Firman Allah SWT:

ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ ﴿١٣﴾ وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ ﴿١٤

Maksudnya: (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; (13) Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (14)

(Surah al-Waqi’ah, 13-14)

Selain itu, di dalam surah yang sama Allah SWT berfirman:

ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ ﴿٣٩﴾ وَثُلَّةٌ مِّنَ الْآخِرِينَ ﴿٤٠

Maksudnya: Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu, (39) Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian. (40)

(Surah al-Waqi’ah 39-40)

Di dalam menjelaskan ayat di atas, maka kami datangkan pandangan ulama tafsir dalam mentafsirkan ayat ini supaya dapat difahami secara terperinci berserta dengan beberapa maksud kalimat yang penting dan bersangkutan dengan tafsiran ayat di atas.

  • (السَّابِقُونَ) golongan al-Sabiqun adalah golongan yang mula-mula dan paling cepat menerima keimanan tanpa berlengah dalam menerima keimanan
  • (أَصْحَابِ الْيَمِينِ) golongan ashab al-Yamin adalah golongan yang menerima buku catitan dengan tangan kanan pada hari kiamat.
  • (ثُلَّةٌ) kumpulan atau sekelompok dalam keadaan jumlah yang ramai atau sedikit.
  • (مِّنَ الْأَوَّلِينَ) iaitu sekumpulan atau golongan daripada umat yang terdahulu,
  • (مِّنَ الْآخِرِينَ) iaitu sekumpulan atau golongan daripada umat Nabi Muhammad SAW.

Imam Qurtubi menaqalkan pandangan Imam Hassan al-Basri menyatakan (ثُلَّةٌ) sekumpulan besar mereka adalah umat terdahulu sebelum umat ini (Umat Nabi Muhammad SAW) dan (وَقَلِيلٌ) sedikit daripada ashab Nabi Muhammad SAW. Disebut (قَلِيلًا) iaitu golongan yang sedikit sebagai perbandingan kepada umat yang terdahulu, ini kerana para Anbi’a AS terdahulu bilangannya ramai dia mereka juga termasuk di dalam golongan yang digelar al-Sabiqun (golongan paling cepat menerima keimanan). Oleh itu, maka banyaklah bilangan orang-orang yang terdahulu beriman daripada umat sekarang (umat Nabi Muhammad SAW).

Selain itu, menurut pendapat yang lain apabila diturunkan ayat ini maka para sahabat berasa dukacita, kemudian Allah SWT menurunkan ayat (ثلة من الأولين. وثلة من الآخرين). Imam Hasan al-Basri menyebut, golongan al-Sabiqun pada umat terdahulu lebih banyak bilangannya berbanding al-Sabiqun pada golongan kita, oleh itu disebut (وقليل من الآخرين). Dan disebut golongan (أصحاب اليمين) bilangan mereka ini adalah bersamaan di antara umat terdahulu dan umat Nabi SAW, seperti mana Firman Allah SWT (ثلة من الأولين. وثلة من الآخرين). Imam al-Qurtubi menaqalkan athar daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA menyatakan, dua golongan iaitu (al-Awwalin dan al-Akhirin) mereka itu daripada golongan umat Nabi Muhammad SAW. al-Awwalin ialah umat Nabi Muhammad SAW pada permulaannya dan al-Akhirin ialah golongan umat Nabi SAW pada pengakhirannya.

Imam Qurtubi menyatakan lagi ayat (ثلة من الأولين. وثلة من الآخرين) berbalik kepada golongan ashab al-Yamin di dalam firman Allah SWT (وأصحاب اليمين ما أصحاب اليمين) iaitu golongan al-Awwalin adalah golongan umat terdahulu dan al-Akhirin adalah umat Nabi Muhammad SAW.

(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/200-211)

Syeikh al-Maraghi mentafsirkan ayat (ثُلَّةٌ مِنَ الْأَوَّلِينَ. وَقَلِيلٌ مِنَ الْآخِرِينَ) iaitu ramai daripada golongan umat-umat terdahulu dan yang sedikit itu daripada golongan umat Nabi Muhammad SAW. Dan dalam mentafsirkan ayat (ثُلَّةٌ مِنَ الْأَوَّلِينَ. وَثُلَّةٌ مِنَ الْآخِرِينَ) iaitu dikhususkan kepada golongan ashab al-Yamin, mereka adalah golongan umat terdahulu yang beriman dan golongan umat Nabi Muhammad SAW. Dan sesungguhnya tidak dikurangkan ganjaran amalan yang dilakukan oleh mereka (ahli al-Yamin) sepertimana ganjaran yang diberikan kepada golongan al-Sabiqun.

(Lihat Tafsir al-Maraghi, 27/139)

Dr Wahbah Zuhaili menyatakan, (ثُلَّةٌ مِنَ الْأَوَّلِينَ، وَقَلِيلٌ مِنَ الْآخِرِينَ) adalah golongan al-Sabiqun, iaitu mereka adalah golongan umat terdahulu yang dekat kepada Allah SWT dan tidak terhitung bilangan mereka. Mereka adalah dari umat Nabi Adam AS sehinggalah umat Nabi Muhammad SAW dan sedikit bilangannya dari umat ini. Dan disebut sedikit kerana dibandingkan dengan umat terdahulu kerana bilangan golongan terdahulu termasuk dengan bilangan para Anbia’ AS seluruhnya.

Di dalam ayat (ثُلَّةٌ مِنَ الْأَوَّلِينَ، وَثُلَّةٌ مِنَ الْآخِرِينَ) Dr Wahbah Zuhaili menyebut ayat ini untuk golongan ramai dari ashab al-Yamin dikalangan golongan terdahulu yang beriman dan golongan yang ramai dari golongan al-Akahrin ialah golongan yang beriman daripada umat Baginda Nabi SAW sehingga ke hari Kiamat.

Selain itu, tidak terdapat perbezaan di dalam konteks ayat (وَثُلَّةٌ مِنَ الْآخِرِينَ) dan ayat (وَقَلِيلٌ مِنَ الْآخِرِينَ) ini kerana ayat (وَقَلِيلٌ مِنَ الْآخِرِينَ) ditujukan kepada golongan al-Sabiqin dan ayat (وَثُلَّةٌ مِنَ الْآخِرِينَ) adalah untuk golongan ashab al-Yamin.

(Lihat al-Tafsir al-Munir, 27/256)

Syeikh al-Syanqiti menyebut di dalam tafsirnya, bahawa yang dimaksudkan dengan golongan al-Awwalin dan al-Akhirin adalah dari umat ini iaitu umat Nabi Muhammad SAW. Mereka yang digelar sebagai al-Awwalin adalah golongan sahabat Nabi SAW. Ini seperti yang disebut di dalam hadis Nabi SAW (خَيْرُ الْقُرُونِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ) yang bermaksud “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun-kurun yang berikutnya”.

Selain itu Syeikh al-Syanqiti menyatakan, menurut pandangan sesetengah ulama yang lain, yang dimaksudkan dengan golongan al-Awwalin adalah golongan umat yang terdahulu, dan golongan al-Akhirin adalah golongan umat Baginda Nabi SAW. Ayat (ثُلَّةٌ مِنَ الْأَوَّلِينَ وَقَلِيلٌ مِنَ الْآخِرِينَ) dikhususkan kepada golongan al-Sabiqun manakala ayat (ثُلَّةٌ مِنَ الْأَوَّلِينَ وَثُلَّةٌ مِنَ الْآخِرِينَ) dikhususkan kepada golongan ashab al-Yamin. (Lihat Adwa’ al-Bayan fi Bayan al-Quran al-Karim 7/515)

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa pandangan ulama tafsir di dalam hal ini, dapat disimpulkan bahawa

  • golongan al-Awwalin adalah mereka yang tergolong daripada umat terdahulu bermula dengan umat Nabi Adam AS sehinggalah umat sebelum umat Baginda Nabi SAW. Dan golongan al-Akhirin adalah khusus kepada golongan umat Nabi Muhammad SAW.
  • Selain itu, menurut pandangan yang lain al-Awwalin adalah golongan sahabat Nabi SAW pada permulaannya. Manakala golongan al-Akhirin merupakan golongan umat Nabi SAW pada pengakhirannya.

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW