اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1664: ADAKAH SETIAP PEMBUNUH TIDAK BOLEH MEWARISI HARTA?

alkafi1664

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Datuk Mufti, saya ada soalan berkenaan harta pusaka. Saya pernah mendengan sepotong hadith bahawa pembunuh tidak boleh mewarisi harta pusaka, bolehkah saya mengetahui adakah mutlak terhadap semua pembunuh atau pembunuh pemberi warisan sahaja? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا ﴿٧

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

Surah al-Nisa’ (7)

Melalui ayat ini, Allah S.W.T jelas menyatakan bahawa setiap waris mempunyai hak ke atas harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat mereka. Imam al-Tabari menukilkan bahawa Abu Ja’far berkata yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah bagi anak-anak lelaki ada bahagian mereka dari harta warisan tersebut, dan bagi anak-anak perempuan ada bahagian juga dari sumber yang sama, sama ada sedikit atau banyak, bahagian yang difardhukan, wajib, sedia maklum dan juga tertentu ke atas mereka (berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah). [Lihat: Tafsir al-Tabari; 7/597].

Namun, dalam hal perwarisan ini, terdapat juga beberapa perkara yang perlu diambil perhatian, antara ialah penghalang kepada perwarisan. Sebagaimana maklum, banyak disebutkan di dalam kitab-kitab Fiqh, bahawa penghalang kepada perwarisan adalah sebanyak tiga perkara iaitu:

  • Pembunuhan
  • Perbezaan Agama
  • Perhambaan

[Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/354-358]

Imam al-Rahabi menyatakan hal ini melalui matannya yang terkenal dalam bab faraid:

ويمنع الشخص من الميراث ... واحدة من علل ثلاث

رق وقتل واختلاف دين ...

Maksudnya: Dan menghalang seseorang itu daripada perwarisan, salah satu daripada tiga sebab, perhambaan dan pembunuhan dan perbezaan agama,

[Lihat: Matan al-Rahabiyyah; hlm.3]

Maka, berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, dalam hal pembunuhan menghalang kepada perwarisan, adakah ia mutlak kepada semua pembunuh sama ada pembunuh pemberi warisan atau pembunuh orang lain yang tiada hubungkait dengan harta warisan.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mengatakan di dalam kitabnya bahawasanya pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuh sama ada seseorang itu membunuh dengan niat atau sebaliknya, sama ada dengan hak atau tidak. Ini termasuklah jika beliau menjatuhkan hukuman bunuh ke atas si mati ataupun beliau memberi sokongan (tazkiah) kepada saksi tersebut.

Hal ini bersandarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

«القَاتِلُ لَا يَرِثُ»

Maksudnya: Pembunuh tidak akan mewarisi (harta pusaka)

Riwayat Tirmizi (2109)

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa hadith ini merupakan dalil kepada bahawasanya pembunuh tidak mewarisi harta orang yang dibunuh sama ada pembunuhan tersebut dari jenis tidak القتل الخطأ (pembunuhan tidak sengaja) atau القتل عمدا (pembunuhan secara sengaja) dan ini merupakan pegangan ramai ulama’. [Lihat: Tuhfat al-Ahwazi; 6/242].

Dalam riwayat yang lain pula, Nabi S.A.W bersabda:

لَيْسَ لِلْقَاتِلِ شَيْءٌ

Maksudnya: “Pembunuh tidak layak menerima apa-apa (harta pusaka).”

Riwayat Abu Daud (4564)

Hadith ini juga menjadi dalil kepada penyataan bahawa pembunuh tidak boleh mewarisi harta si mati (orang yang dibunuh). Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut di dalam kitabnya, sekiranya seorang waris membunuh pewarisnya maka dia terhalang daripada menerima harta pusaka, sama ada pembunuhan tersebut secara sengaja atau tidak sengaja, secara langsung atau tidak langsung (penyebab) seperti menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya, atau menjadi saksi ke atasnya sehingga menyebabkan hukuman bunuh berlaku ke atasnya, sama ada secara pilihan atau terpaksa, sama ada pembunuh tersebut mukallaf ataupun tidak, berdasarkan keumuman hadith yang kami telah nyatakan di atas. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/355-356].

Antara sebab dan juga hikmah halangan perwarisan harta terhadap pembunuh adalah pembunuhan dianggap sebagai memutuskan hubungan persaudaraan dan hubungan ini merupakan salah satu sebab yang membolehkan pewaris mewarisi harta. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/78].

Selain itu, ia juga berdasarkan kepada satu kaedah yang masyhur:

مَنْ تَعَجَّلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوْقِبَ بَحُرْمَانِهِ

Maksudnya: “Siapa yang gopoh dalam sesuatu sebelum tiba masanya maka dihalang untuk mendapatkannya”

Kaedah ini menjelaskan bahawa oleh kerana pembunuh ingin segera mendapatkan harta warisannya, melalui cara pembunuhan ini, maka dia dihalang daripada menerimanya.

Pewaris Boleh Mewarisi Harta Si Pembunuh

Dalam hal ini, seorang pewaris (orang yang dibunuh) boleh mewarisi harta si pembunuh. Sebagai contohnya, seseorang itu (waris) melukakan atau mencederakan pewarisnya, kemudian si pelaku (yang mencederakan) meninggal, kemudian kecederaan yang dilakukannya sebelum ini membawa kepada kematian pewaris, maka dalam hal ini orang yang dicederakan (pewaris) mewarisi harta orang yang mencederakannya (yang kemudiannya diisytihar sebagai pembunuh). Ini kerana tidak wujud sebarang halangan yang menghalang orang yang dicederakan daripada harta pewarisan selagimana dia hidup sebelum kematian si pencedera.

Penutup

Kesimpulannya, pembunuhan yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah pembunuhan yang terkhusus kepada pembunuhan yang mempunyai hubungkait dengan harta pewarisan yang boleh menyebabkan terputusnya hubungan. Maka, sekiranya seseorang itu digelar pembunuh atas sebab selain pembunuhan kaum kerabat, maka dia masih boleh mewarisi harta kaum kerabatnya sendiri. Lantaran itu, pembunuhan yang dimaksudkan dalam hadith ini mutlak kepada semua jenis pembunuhan sama ada secara sengaja atau tidak yang mempunyai hubungkait terhadap perwarisan harta. Akhir kalam, kami mendoakan semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, memberikan keringanan dan keikhlasan kepada kita dalam beribadah, dan juga memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.