اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1685 : TERSALAH LAFAZ NIAT KETIKA SOLAT

AK 1685 SALAH LAFAZ NIAT

 

Soalan:

Sahkah solat saya jika tersalah lafaz niat ketika solat? Contohnya saya memang yakin berniat dalam hati untuk solat Zohor, tapi tersalah melafazkan solat Asar. Atau saya berniat solat Maghrib di dalam hati, tapi tersilap melafazkan solat Isya’. Jazakallah khair.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Niat merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.

Sahih al-Bukhari (1) dan Sahih Muslim (1907)

Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji 1/129)

Di sisi mazhab Syafie, disunatkan disunatkan untuk mengucapkan atau melafazkan niat solat sebelum mengangkat takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.” (Rujuk Nihayah al-Muhtaj, 1/340)

Pendapat mu’tamad dalam mazhab Syafie juga menetapkan bahawa sah solat seseorang itu jika dia berniat di dalam hati tanpa melafazkan niat dengan lisan, dan inilah pandangan jumhur ulama’. Maka dalam hal ini menurut Imam al-Nawawi, jika seseorang itu berniat dalam hatinya untuk solat Zohor sedangkan lidahnya tersalah melafazkan solat Asar, maka solat Zohornya itu tetap dikira sah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 3/277

Imam Jalaluddin al-Suyuti ketika mensyarahkan qaedah fiqh al-umur bi maqasidiha (الأمور بمقاصدها) yang bermaksud ‘setiap perkara dikira berdasarkan niat’ menjelaskan bahawa tempat niat itu adalah di dalam hati. Maka terlahir daripada konsep ini dua kaedah, iaitu:

  • Tidak cukup sekadar melafazkan niat dengan lisan tanpa niat di hati
  • Tidak disyaratkan untuk melafazkan niat bersama-sama niat di dalam hati.

Berdasarkan kaedah yang pertama, maka lahir pula kaedah furu’ iaitu jika lafaz dengan lisan berbeza dengan niat di hati, maka yang diambil kira ialah niat di hati. Contohnya jika seseorang berniat di dalam hati untuk berwudhu, namun lisannya berkata untuk menyejukkan badan, maka wudhu tetap sah namun tidak sebaliknya. Begitu juga sekiranya hatinya berniat solat Zohor, namun lisannya menyebut solat Asar, maka yang dikira ialah solat Zohor. (Rujuk Al-Asybah wa al-Nazha’ir, hlm. 30)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa niat untuk ibadah itu dikira pada niat yang diqasadkan di dalam hati, bukannya niat yang dilafazkan melalui lisan. Maka jika niat di dalam hati berbeza dengan lafaz niat dengan lisan, maka yang di ambil kira ialah niat di dalam hati, dan ia tidak menjejaskan kesahihan ibadah.

Wallahu a’lam.