اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1779: BENARKAH NABI SULAIMAN AS DAN ʻABD AL-RAḤMĀN BIN ʻAUF MERUPAKAN NABI DAN SAHABAT YANG TERAKHIR MASUK KE DALAM SYURGA ALLAH SWT?

BENARKAH_NABI_SULAIMAN_AS_DAN_ABD_AL-RAHMAN.jpg

Soalan

Assalamualaikum, betulkah Nabi Sulaiman dan Abdul Rahman bin Auf merupakan nabi dan sahabat terakhir masuk ke dalam syurga? mohon jelaskan, Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hadith yang menyebutkan tentang Nabi Sulayman dan ʻAbd al-Raḥmān bin ʻAuf masuk syurga lewat berbanding nabi-nabi dan para sahabat yang lain adalah tertolak. Ini disebabkan dalam al-Quran menjelaskan tentang kedudukan Nabi Sulaymān di sisi Allah SWT adalah dekat lagi mulia. Selain itu, jika ʻAbd al-Raḥmān bin ʻAuf masuk ke syurga lambat kerana kekayaan yang dimilikinya maka ini sesuatu yang tidak masuk akal kerana bukan beliau sahaja sahabat Rasulullah SAW yang kaya bahkan ramai lagi dari kalangan para sahabat yang lain. Malahan beliau adalah salah seorang daripada sepuluh para sahabat yang dijamin memasuki syurga Allah SWT.

Huraian Jawapan

Al-Ṭabrānī meriwayatkan hadith ini berserta sanad di dalam Mu’jam al-Awsaṭ dan juga al-Muʻjam al-Kabīr dengan matan yang begitu panjang. Sebahagian daripada matannya menyebutkan seperti berikut,

الأنبياء كلهم يدخلون الجنة قبل سليمان بن داود بأربعين عاما، وإن فقراء المسلمين يدخلون الجنة قبل أغنيائهم بأربعين عاما

Maksudnya: Semua para nabi akan masuk ke syurga 40 tahun awal sebelum Sulaymān bin Dāwud, dan para fakir daripada kalangan orang Islam masuk ke syurga 40 tahun awal sebelum orang-orang kaya. [1]

Kemudian, Imam Al-Ghazālī meriwayatkan hadith ini dalam kitabnya ‘Iḥyā’ ʻUlūm al-Dīn pada bab kelebihan bersabar dan bersyukur. Imam Al-Ghazālī mendatangkan hadith ini tanpa sanad dengan matan seperti berikut,

آخر الأنبياء دخولاً الجنة سليمان بن داود لمكان ملكه وآخر أصحابي دخولاً الجنة عبد الرحمن بن عوف لمكان غناه

Maksudnya: Nabi terakhir yang masuk ke dalam syurga adalah Sulaymān bin Dāwud AS kerana kerajaannya di dunia dan sahabatku yang terakhir masuk ke syurga adalah ʻAbd al-Rahmān bin ʻAuf kerana kekayaannya. [2]

’Ihyā’ ʻUlūm al-Dīn (4/136)

Murtaḍā al-Zabīdī ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan terdapat riwayat lain yang menyebutkan bahawa “yang paling akhir masuk ke dalam syurga daripada kalangan mereka yang kaya adalah ʻAbd al-Raḥmān bin ʻAuf.” Namun pada sanad tersebut terdapat perawi bernama Aghlab bin Tamīm merupakan perawi yang daʻif. [3]

Al-Qurṭubī menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada Nabi Sulaymān tidak menyebabkan apa-apa kesan buruk kepadanya. Oleh itu, al-Ṭabrānī menyatakan bahawa hadith ini tertolak. [4] Al-Qurṭubī juga menukilkan pandangan pengarang kitab al-Qūt yang mengatakan bahawa hadith tersebut adalah Lā Aṣla Lahu (tidak mempunyai asalnya). [5] Hal ini kerana, jika Allah SWT memberikan nikmat kepada baginda adalah sebagai suatu bentuk penganugerahan. Bagaimana mungkin baginda merupakan nabi yang paling akhir masuk ke dalam syurga [6], sedangkan Allah SWT berfirman,

وَإِنَّ لَهُ عِنْدَنا لَزُلْفى وَحُسْنَ مَآبٍ

Maksudnya: Dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat lagi mulia di sisi kami, serta tempat Kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

Surah Sad (38: 40)

Al-Ṭabrānī menyebutkan bahawa tiada perawi yang meriwayatkan hadith ini daripada al-Zuhrī melainkan Syuʻayb, dan tiada perawi yang meriwayatkannya daripada Syuʻayb melainkan ʻAmr, dan tiada perawi yang meriwayatkannya daripada ‘Amr melainkan Hārūn, dan tiada perawi yang meriwayatkannya daripada Rasulullah SAW melainkan dengan jalur sanad ini. [7]

Al-ʻIrāqī turut menyandarkan sumber hadith ini kepada al-Ṭabrānī dan menyebutkan Syuʻayb bin Khālid merupakan seorang yang thiqah daripada kalangan ahli kufah. [8] Al-Haythamī mengatakan bahawa al-Ṭabrānī meriwayatkan daripada gurunya iaitu ʻAlī bin Saʻīd al-Rāzī dan beliau dikiritik sebagai layyin al-ḥadīth (perawi yang meriwayatkan sebilangan kecil hadith, yang tidak mempunyai sokongan daripada riwayat yang lain serta tidak dapat dipastikan kredibiliti perawi tersebut yang menyebabkan riwayatnya ditolak). [9]

Kesimpulan

Berdasarkan penelitian, hadith yang menyebutkan tentang Nabi Sulayman dan ʻAbd al-Raḥmān bin ʻAuf masuk syurga lewat berbanding nabi-nabi dan para sahabat yang lain adalah tertolak. Kerana terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kedudukan Nabi Sulaymān di sisi Allah SWT adalah dekat lagi mulia. Manakala, riwayat yang menyebutkan tentang ʻAbd al-Raḥmān bin ʻAuf tersebut diriwayatkan oleh perawi yang daʻif. Jika, ʻAbd al-Raḥmān bin ʻAuf paling akhir masuk ke syurga kerana kekayaan yang dimiliki maka ini sesuatu yang tidak masuk akal kerana bukan beliau sahaja sahabat Rasulullah SAW yang kaya bahkan ramai lagi dari kalangan para sahabat yang lain. Malahan beliau adalah salah seorang daripada sepuluh para sahabat yang dijamin memasuki syurga Allah SWT. Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Sulaymān bin Aḥmad bin Ayyūb al-Ṭabrānī, al-Mu’jam al-Awsaṭ, ed. Ṭāriq bin ʻIwaḍullāh (Kaherah: Dār al-Ḥaramayn), 4/251.

[2] Abū Ḥāmid Muḥammad bin Muḥammad al-Ghazālī, ’Iḥyā’ ʻUlūm al-Dīn (Bayrūt: Dār al-Maʻrifah, t.t), 4/136.

[3] Murtaḍā al-Zabīdī, Itḥāf al-Sādah al-Muttaqīn bi Syarḥ ’Iḥyā’ ʻUlūm al-Dīn (Bayrūt: Dār al-Kutub al-ʻIlmiyyah, t.t), 11/300.

[4] Muḥammad bin Aḥmad bin Abū Bakr al-Qurṭubī, al-Jāmiʻ li Aḥkām al-Qur’ān, ed. Aḥmad al-Bardūnī dan Ibrāhīm Aṭfīsy (Kaherah: Dār al-Kutub al-Miṣriyyah, 1964), 15/204.

[5] Ibid.

[6] Ibid.

[7] Sulaymān bin Aḥmad bin Ayyūb al-Ṭabrānī, al-Mu’jam al-Awsaṭ, ed. Ṭāriq bin ʻIwaḍullāh, 4/251.

[8] ʻAbd al-Raḥīm bin al-Ḥusayn al-ʻIrāqī, al-Mughnī ʻan Ḥamal al-Asfār fī al-Asfārfī Takhrīj mā fī al-’Iḥyā’ min al-Akhbār (Bayrūt: Dār Ibn Ḥazm, 2005), 1/1482.

[9] Nūr al-Dīn ʻAlī bin Abū Bakr al-Haythamī, Majmaʻ al-Zawā’id wa Manbaʻ al-Fawā’id, ed. Ḥisām al-Dīn al-Qudsī (Kaherah: Maktabah al-Qudsī, 1994), 8/105.