اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1801: HUKUM MENUNTUT GANTI RUGI MELEBIHI KOS SEBENAR BAIK PULIH

car 2

Soalan

Salam tuan, saya ada satu soalan. Saya ada pinjam van peninggalan arwah paksu saya daripada anak dia untuk buat sewa. Nak dijadikan cerita, van tu kemalangan. Saya minta ganti rugi RM200 daripada penyewa. Saya dah beli dan pasang lampu baru kos kesemuanya berharga RM90. Soalan saya baki lebihan RM110 tu adakah hak sepupu saya atau hak saya ? Mohon penjelasan.

 

Jawapan Ringkas

Sekiranya terdapat lebihan wang selepas membaiki kerosakan yang berlaku, ia wajib dipulangkan semula kepada penyewa berkenaan. Hal yang demikian kerana hakikat disyariatkan ganti rugi bertujuan menghilangkan mudarat yang telah berlaku. Sekiranya harga RM90 yang dibelanjakan sudah menghilangkan darurat, maka pemilik van atau wakilnya tidak berhak menuntut lebih daripada itu melainkan penyewa menghalalkan dan meredainya.

 

Huraian Jawapan

Pertamanya, majoriti para ulama menetapkan bahawa pemilik harta tidak berhak menuntut ganti rugi terhadap kerosakan yang berlaku dalam tempoh barangannya disewa oleh orang lain melainkan kerosakan tersebut disengajakan atau lalai. Hal ini kerana kedudukan penyewa dalam akad sewaan dianggap sebagai pemegang amanah.

Oleh itu, tuntutan ganti rugi hanya layak dituntut dalam hal penyewa sengaja merosakkan barang tersebut atau lalai seperti membawa kereta melebihi had laju, melalui jalan yang tidak dibenarkan oleh pemilik dan lain-lain.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/233-234)

Selain itu, terdapat suatu kaedah fiqh yang masyhur menyebut,

الأجر والضمان لا يجتمعان

Maksudnya: “Pembayaran sewa dan membayar ganti rugi tidak berkumpul”.

Kaedah ini memberi maksud bahawa pembayaran sewa atau upah tidak diwajibkan kepada seseorang yang perlu membayar ganti rugi, begitu juga sebaliknya. Contohnya, seseorang menyewa sebuah kenderaan lalu kenderaan tersebut rosak atau berlaku kemalangan tanpa disengajakan, maka dia hanya perlu membayar kadar sewa sahaja tanpa perlu menanggung kerugian akibat kerosakan yang berlaku.

(Rujuk: Durar al-Hukkam fi Syarh Majallah al-Ahkam, 1/89)

Walaupun begitu, sebahagian ulama berpandangan bahawa pemilik kereta berhak menuntut ganti terhadap penyewa akibat kerosakan yang berlaku walaupun dilakukan tanpa sengaja ataupun lalai. Antara hujah yang digunakan adalah sekiranya perkara tersebut disyaratkan ketika permulaan akad dan penyewa dengan rela hati bersetuju dengan syarat tersebut, maka menjadi kewajipan ke atas dirinya untuk mengotakan janji yang telah dibuat.

Imam Ahmad dalam satu riwayatnya ketika ditanya berkenaan adakah boleh meletakkan syarat wajib ganti rugi bagi perkara yang tidak diwajibkan ganti rugi:

وعن أحمدَ، أنَّه سُئِلَ عن ذلك، فقال: ‌المُسْلِمُونَ ‌على ‌شُرُوطِهِم. وهذا يَدلُّ على نَفْىِ الضَّمَانِ بشَرْطِه، ووُجُوبِه بِشَرْطِه

Maksudnya: Dalam satu riwayat Ahmad, apabila ditanya soalan sedemikian, beliau menjawab: “Orang Muslim perlu berpegang kepada syarat yang telah ditetapkan”. Hal ini menunjukkan bahawa ganti rugi wajib dibayar atau tidak bergantung kepada syarat yang telah dipersetujui bersama.

(Rujuk: al-Mughni, 8/115)

Selain itu, Imam al-Syatibi menerangkan secara terperinci bahawa maslahah dan kepentingan yang ingin dicapai ini perlu diambil berat kerana pemilik barangan kebiasaannya tidak melihat dan mengetahui apa yang terjadi terhadap barangan yang disewakan atau dipinjam. Kemungkinan besar boleh jadi penyewa atau peminjam mengambil sikap acuh tak acuh dalam menjaga barangan tersebut. Lalu, apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini, mereka sewenang-wenangnya menggunakan alasan seperti barang tersebut hilang dicuri, dirosakkan dan sebagainya.

(Rujuk: al-I’tishom, 2/616)

Tambahan pula, banyak negara yang mengamalkan polisi dan ketetapan tersebut iaitu penyewa kereta perlu membayar ganti rugi di atas segala kerosakan yang berlaku tidak kira sama ada dilakukan secara sengaja mahupun tidak.

Melihat kepada pandangan sebahagian ulama dan pengamalan masa kini, pemilik van tersebut boleh menuntut ganti rugi atas kerosakan yang berlaku namun hanya berhak menuntut kos kerosakan sebenar sahaja.

Imam al-Syafie menerangkan kadar ganti rugi yang perlu dibayar oleh orang yang bertanggunggjawab terhadap sesuatu barang dengan menyatakan:

وَإِذَا غَصَبَ رَجُلٌ مِنْ رَجُلٍ طَعَامًا حَبًّا أَوْ تَمْرًا أَوْ أُدْمًا فَاسْتَهْلَكَهُ فَعَلَيْهِ مِثْلُهُ إنْ كَانَ يُوجَدُ لَهُ مِثْلٌ بِحَالٍ مِنْ الْحَالِ وَإِنْ لَمْ يُوجَدْ لَهُ مِثْلٌ فَعَلَيْهِ قِيمَتُهُ

Maksudnya: “Sekiranya seseorang merampas sesuatu barangan makanan daripada orang lain sama ada sebutir bijian, sebiji tamar atau barang masakan, kemudian dia memakannya, maka dia perlu membayar ganti rugi dengan sesuatu yang sejenis dengannya. Sekiranya dia tidak memperoleh ganti yang sejenis, maka perlu membayar dengan nilai yang setara dengannya”.

(Rujuk: al-Umm, 3/259)

Sebagai kesimpulan, lebihan kos selepas membaiki kerosakan yang berlaku tidak boleh diambil oleh peminjam mahupun pemilik asal van, sebaliknya perlulah dipulangkan semula kepada penyewa berkenaan.

Hal ini kerana hakikat disyariatkan ganti rugi adalah menghilangkan mudarat yang telah berlaku. Sekiranya harga RM90 yang dibelanjakan sudah menghilangkan darurat, maka pemilik van atau wakilnya tidak berhak menuntut lebih daripada itu melainkan penyewa menghalalkan dan meredainya. Pendirian sebegini ditetapkan agar hak semua pihak terjamin dan penganiayaian tidak berlaku.

Wallahu a’lam.