اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1909: BOLEHKAH SUAMI MEMBERI PILIHAN KEPADA ISTERI UNTUK MENCERAIKAN DIRINYA SENDIRI?

 

Screenshot 2022 12 23 at 11.17.15 AM min

SOALAN:

Bolehkah seorang suami memberi pilihan kepada isteri untuk menceraikan dirinya sendiri? 

RINGKASAN JAWAPAN

Persoalan berkenaan suami memberi pilihan kepada isteri untuk menceraikan diri sendiri ini dibahaskan oleh para ulama dalam bab tafwidh al-talaq (تفويض الطلاق). Perbuatan ini adalah diharuskan berdasarkan ijmak para ulama, dan ia boleh berlaku melalui dua bentuk, iaitu secara lafaz soreh (jelas dan terang) atau kinayah (kiasan). 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut hukum Islam, kuasa menjatuhkan talak pada asalnya berada pada tangan suami, berdasarkan firman Allah SWT

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri kamu, maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddah mereka, dan hitunglah masa iddah itu dengan betul.

Surah al-Talaq (1)

Menurut para ulama mazhab Syafie seperti Imam al-Khatib al-Syarbini dan Imam Syamsuddin al-Ramli, para ulama telah bersepakat bahawa diharuskan bagi suami untuk memberi pilihan kepada isteri untuk menceraikan dirinya sendiri, contohnya jika dia berkata kepada isterinya: “Talaklah diri kamu sendiri ( طَلِّقِي نَفْسَكِ ).”

Persoalan ini dibahaskan oleh para ulama dalam bab tafwidh al-talaq (تفويض الطلاق). Hal ini berdasarkan perbuatan Rasulullah ﷺ sendiri yang telah memberi pilihan kepada isteri-isteri Baginda, sama ada untuk memilih dunia atau memilih untuk hidup bersama Baginda, seperti firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.

Surah al-Ahzab (28)

Maka berdasarkan hal ini, suami boleh menyerahkan hak talak kepada isteri, dan si isteri mestilah terus membuat keputusan pada waktu itu juga. Hal ini kerana ia merupakan satu bentuk tamlik (pemilikan talak) yang memerlukan kepada qabul (lafaz menerima akad) seperti dalam jual beli. Jika isteri tersebut menangguhkan keputusan, atau waktu di antara lafaz tafwidh dan tamlik itu diisi dengan banyak percakapan tentang perkara lain, kemudian barulah dia menceraikan dirinya, maka talak tidak jatuh.[1] Namun jika suami berkata: “Talaklah diri kamu sendiri pada bila-bila masa yang kamu mahu”, maka isteri boleh berbuat demikian pada masa yang dia mahu, dan talak akan jatuh selagi suami tidak menarik kembali pilihan tersebut.[2]

Terdapat juga perincian hukum lain yang berkaitan yang dinyatakan oleh para ulama, iaitu:

i) Talak juga akan jatuh jika lafaz suami dan isteri itu diucapkan dalam bentuk lafaz soreh, contohnya suami berkata “talakkanlah dirimu sendiri” atau secara lafaz kinayah jika disertai dengan niat, contohnya suami berkata "Pisahkanlah dirimu daripadaku."[3]

ii) Tidak sah meletakkan taklik pada tafwidh talak tersebut, contohnya jika suami berkata: “Jika tiba Ramadhan” atau “jika tiba hari esok” atau “jika Zaid datang”, maka talaklah diri kamu sendiri.[4]

iii) Selain itu, suami juga berhak untuk menarik kembali pilihan yang yang diberikan sebelum isterinya membuat keputusan, dan dalam keadaan tersebut batallah tafwidh talak tersebut.[5]

KESIMPULAN

Tuntasnya, suami berhak untuk memberi pilihan kepada isteri untuk menceraikan dirinya sendiri, dan perkara tersebut diharuskan melalui ijmak oleh para ulama. Talak akan jatuh jika isteri terus membuat keputusan setelah diberi pilihan oleh suami tanpa selang masa yang lama atau percakapan yang banyak tentang perkara lain, kecuali jika suami memberi kebebasan kepada isteri untuk memilih talak pada bila-bila masa. Talak juga akan jatuh jika lafaz suami dan isteri itu diucapkan dalam bentuk lafaz soreh, atau secara lafaz kinayah jika disertai dengan niat.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk Al-Syarbini, Syamsuddin al-Khatib (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Pertama, 4/465; Al-Ramli, Syamsuddin Abu al-‘Abbas (1984) Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Beirut: Dar al-Fikr, 6/438, dan Al-Zuhaili, Muhammad (2007), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, Damsyik: Dar al-Qalam, Cetakan Pertama, 4/161.

[2] Rujuk Ibn al-Naqib al-Misri, Syihabuddin Abu al-‘Abbas (2016) ‘Umdah al-Nasik wa ‘Uddah al-Nasik, Kaherah: Syarikah al-Quds, Cetakan Pertama, tahqiq: Muhammad Samir Salamah dan Husam Samir Salamah, hlm. 252.

[3] Rujuk Mughni al-Muhtaj 4/466.

[4] al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/161.

[5] Rujuk Al-Nawawi, Abu Zakariyyah Muhyiddin (t.t) Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr, 17/93 dan al-‘Imrani, Abu al-Husain al-Yamani (2000) Al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Pertama, tahqiq: Qasim Muhammad al-Nuri, 10/83-84.