اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1923: HUKUM MELAFAZKAN NIAT WUDUK DALAM TANDAS

HUKUM MELAFAZKAN NIAT WUDUK DALAM TANDAS

 

SOALAN                    

Assalammualaikum. Saya nak tanya bolehkah lafazkan “basmallah” mahupun melafazkan niat wuduk di dalam tandas yang mana lafaz tersebut ada kalimah "Allah". Lebih-lebih lagi banyak hotel dan bangunan yang bilik air bercampur tandas. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Niat wuduk merupakan salah satu rukun yang menjadikan keabsahan wuduk. Adapun melafazkan niat wuduk adalah sunat bagi membantu hati menghadirkan niat. Namun sekiranya berada di tandas mahupun bilik air, memadai hanya berniat wuduk di dalam hati sahaja tanpa perlu melafazkan nama Allah seperti niat : “sahaja aku mengangkat hadas kecil”. Hal ini kerana lafaz "اللَّهِ تَعَالَى" tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum menyebut kalimah “Allah” di dalam tandas adalah makruh.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Niat merupakan salah satu rukun wuduk berdasarkan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ

Maksudnya:” Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Maidah : 6)

Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengunakan istilah  iradah (keinginan/kehendak)  dalam susunan tertib wuduk. Ayat “basuhlah muka kamu” menunjukkan Allah SWT berkehendak mewajibkan wuduk dilakukan secara tertib mengikut susunan dan kehendak ini dengan maksud keinginan (bermula dengan niat).[1] Bermula wuduk dengan membasuh muka disertakan niat, kemudian tangan, menyapu kepala dan membasuh kaki. [2]

Niat itu tempatnya dihati dan melafazkannya adalah sunat berdasarkan pandangan fuqaha mazhab Syafie.

Imam As-Syirazi menyatakan bahawa wajib berniat di dalam hati kerana niat adalah kehendak. Apabila dilafazkan dengan lisan dan hatinya berkehendak, maka ia lebih menguatkannya. Oleh itu, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa niat yang diwajibkan dalam wuduk adalah  berniat dengan hati sedangkan lafaz niat dengan lidah tidak wajib.

Apabila dihimpunkan niat dengan hati serta melafazkan dengan lisan, maka ia lebih kuat dan lebih baik  menurut kesepakatan ulama mazhab syafi’i.[3] Justeru, melafazkan niat  hanya sunat.  [4]

Sementara itu, niat wuduk tidak disyaratkan untuk menambah "اللَّهِ تَعَالَى" (kerana Allah) bahkan memadai berniat hanya “mengangkat hadas”.[5]  Hal ini kerana ibadah semestinya  khusus semata-mata kerana Allah SWT. Seterusnya, melafazkan “basmallah” adalah sunat dan sah wuduk tanpa menyebutnya. [6]

Seterusnya hukum berzikir menyebut nama Allah SWT di dalam tandas atau sedang menunaikan hajat adalah makruh. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam karya Raudhah al-Tolibin :

وَاسْتِصْحَابُ مَا عَلَيْهِ ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى عَلَى الْخَلَاءِ مَكْرُوهٌ، لَا حَرَامٌ. وَالسُّنَّةُ أَنْ يَقُولَ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلَاءِ: (بَاسِمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ) . وَيَقُولُ إِذَا خَرَجَ: (غُفْرَانَكَ، الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الْأَذَى وَعَافَانِي)

Menyebut zikirullah dalam tandas adalah makruh bukan haram. Oleh itu, disunatkan membaca doa ketika hendak masuk tandas (Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada gangguan Syaitan jantan dan Syaitan betina). Seterusnya, doa ketika keluar tandas (Aku memohon keampunan-Mu, Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kekotoran daripada tubuhku dan menyihatkan diriku”.[7]

Selain itu, apabila bersin tidak perlu menjawab “Alhamdulillah” ketika berada di dalam tandas, namun sekiranya hanya dalam hati tanpa menggerakkan lisannya, maka ia tidak haram.[8]

Penutup

Kesimpulannya, hukum melafazkan “basmallah” mahupun niat wuduk yang disertakan kalimah "اللَّهِ تَعَالَى" (kerana Allah) ketika berada di dalam tandas adalah makruh. Justeru itu, ketika berada ditandas, memadai niat wuduk di dalam hati tanpa menyebut nama Allah, sebagai   contoh “sahaja aku mengangkat hadas kecil”. Hal ini kerana lafaz "اللَّهِ تَعَالَى" tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum  melafazkan kalimah “Allah”  di dalam bilik air adalah makruh.

Wallahu A'lam

Rujukan:

[1]Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din.  al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr  J: 1 p: 317.

بَلْ أَرَادَ الْإِرَادَةَ وَقَدْ اسْتَعْمَلَ الْمُصَنِّفُ قَصَدَ فِي حَقِّ اللَّهِ تَعَالَى فَقَالَ فِي فَضْلِ تَرْتِيبِ الْوُضُوءِ الدَّلِيلُ عَلَيْهِ قَوْلُهُ تَعَالَى (فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وأيديكم) الْآيَةَ: فَأَدْخَلَ الْمَسْحَ بَيْنَ الْغَسْلِ فَدَلَّ عَلَى أَنَّهُ قَصَدَ إيجَابَ التَّرْتِيبِ وَمُرَادُهُ بِالْقَصْدِ الْإِرَادَةُ: وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

المجموع شرح المهذب (1/ 313)

وَاحْتَجَّ أَصْحَابُنَا بِقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى (إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ) لِأَنَّ مَعْنَاهُ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ لِلصَّلَاةِ وَهَذَا مَعْنَى النِّيَّةِ:

[2] Tuhfah al Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa-Al ‘Ibadi   (1/ 211)

الْبُدَاءَةِ بِغَسْلِ الْوَجْهِ مَقْرُونًا بِالنِّيَّةِ ثُمَّ الْيَدَيْنِ ثُمَّ مَسْحِ الرَّأْسِ ثُمَّ غَسْلِ الرِّجْلَيْنِ اهـ

[3] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din.  al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr  J: 1 p: 317.

قال المصنف رحمه الله* (يجب أن ينوى بقلبه لان النية هي القصد: تَقُولُ الْعَرَبُ نَوَاك اللَّهُ بِحِفْظِهِ أَيْ قَصَدَك الله بحفظه: فان تلفظ بلسانه وقصد بقلبه فهو آكد) النِّيَّةُ الْوَاجِبَةُ فِي الْوُضُوءِ هِيَ النِّيَّةُ بِالْقَلْبِ وَلَا يَجِبُ اللَّفْظُ بِاللِّسَانِ مَعَهَا: وَلَا يجزئ وحده وان جمعها فَهُوَ آكَدُ وَأَفْضَلُ هَكَذَا قَالَهُ الْأَصْحَابُ وَاتَّفَقُوا عَلَيْهِ

[4]  Al-Zuhaili, 2011.  al-Muktamad fi Fiqh Syafie Damsyik : Dar al-Qalam J:1 P:  70

يشترط في الوضوء النية، لأنه عبادة محضة وهو فعل لا يصح بغير نية تميزه عن العادة، لما رواه عمر بن الخطاب رضي الله عنه، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : إِنَّمَا الأعْمَالُ بالنِّيَّاتِ ، وإِنَّما لِكُلِّ امْرِئ مَا نَوَى » (١)

والنية لغة : هي القصد، تقول العرب : نواك الله بحفظه، أي: قصدك بحفظه وإرادته وهي في الشرع : قصد الشيء مقروناً بفعله، ومحلها القلب، ولا يجب اللفظ باللسان معها ، لكن يسن التلفظ بها ، لأنه أكد وأفضل .

[5] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din.  al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr  J: 1 p: 321.

(وَصِفَةُ النِّيَّةِ أَنْ يَنْوِيَ رَفْعَ الْحَدَثِ أَوْ الطَّهَارَةَ مِنْ الْحَدَثِ وَأَيُّهُمَا نَوَى أَجْزَأَهُ لِأَنَّهُ نوى المقصود وهو رفع الحدث)321

ذَكَرَ الْمَاوَرْدِيُّ فِي صَاحِبِ طَهَارَةِ الرَّفَاهِيَةِ أَنَّهُ لَوْ كَانَ مُحْدِثًا الْحَدَثَ الْأَصْغَرَ كَفَاهُ نِيَّةُ رَفْعِ الْحَدَثِ وَإِنْ كَانَ جُنُبًا أَوْ حَائِضًا كَفَاهُ أَيْضًا نِيَّةُ رَفْعِ الْحَدَثِ مُطْلَقًا:  322

هَلْ يُشْتَرَطُ الْإِضَافَةُ إلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي نِيَّةِ الْوُضُوءِ وَسَائِرِ الْعِبَادَاتِ فِيهِ وَجْهَانِ حَكَاهُمَا إمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَالْغَزَالِيُّ وَمَنْ تَابَعَهُمَا أَصَحُّهُمَا لَا يُشْتَرَطُ لِأَنَّ عِبَادَةَ الْمُسْلِمِ لَا تَكُونُ إلَّا لِلَّهِ تَعَالَى وَمُقْتَضَى كَلَامِ الْجُمْهُورِ الْقَطْعُ بِأَنَّهَا لَا تُشْتَرَطُ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ: 344

[6] Al-Baghawi Al-Syafie.  Abu Muhammad al-Husin bin Muhammad al-Farra' .1997. Al-Tahzib Fi Fiqh Imam Syafie. Dar Kitab al-Ilmiyah. J: 1 P: 232.

والتسمية سنةٌ، لو تركها يصح وضوؤه

[7] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Mahya Ad-Din. 1991.  Raudhah at-Tolibin wa Umdatun Muftin. Bayrut : al-Maktabah al-Islamiy. J: 1 P66

[8] Ibid

وَيُكْرَهُ أَنْ يَذْكُرَ اللَّهَ تَعَالَى، أَوْ يَتَكَلَّمَ بِشَيْءٍ قَبْلَ خُرُوجِهِ، إِلَّا لِضَرُورَةٍ. فَإِنْ عَطَسَ حَمَدَ اللَّهَ تَعَالَى بِقَلْبِهِ، وَلَا يُحَرِّكُ لِسَانَهُ،