اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-16 : HADIS TENTANG MUJADDID (REFORMIS) AGAMA

 
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
 
Hadith ini begitu masyhur dan sering kita dengar apabila masyarakat berbicara berkenaan transformasi untuk sesuatu perkara sehinggakan para ulama’ mengarang beberapa karya bagi menentukan siapakah tokoh yang digelar sebagai mujaddid atau reformis. Hadith di bawah yang sering digunakan adalah seperti berikut, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
 
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)" 
 
Riwayat Abu Daud (3740) dalam Kitab al-Malahim, Bab Apa yang Disebut pada Kurun ke-100,  dan al-Hakim (4:522) dalam al-Mustadrak. Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani (599) dalam Silsilah-nya, .
 
Makna al-Hadith
 
• Daripada hadith ini, kita memahami bahawa Allah SWT akan mengutuskan kepada umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan membantu masyarakat agar mereka tidak tersesat dan terpesong daripada agama ini dan dalam masa yang sama akan menjaga kesucian agama ini daripada unsur-unsur yang boleh mencemarkan ketulenan agama ini. Oleh itu, setiap orang muslim yang mengaku beriman perlu mempercayai hadith ini.
 
• Maksud al-Tajdid atau reformasi ialah mengembalikan dan melihat sudut feqah, Iman, amal dan dakwah dengan cara dan nafas yang baru dan bersesuaian dengan keadaan semasa selagimana ia tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Hadith. Untuk itu, maksud tajdid bukanlah mencipta sesuatu perkara atau agama yang baru sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.
 
• Jika kita melihat kepada zaman para sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada tabi’in, kita dapat melihat bahawa ketika zaman itu terdapat sikap meraikan, kemudahan dan terbuka dalam memahami nas-nas bagi menyesuaikan dengan maslahat atau tuntutan pada waktu itu.
 
Makna Lafaz “ مَن ” di dalam hadith ini.
 
Para ulama’ dan ahli ‘ilmu berpendapat ketika menafsirkan hadith ini, lafaz “man” (من) itu adalah “isim mausul” (اسم موصول) yang membawa maksud itlaq (إطلاق) samada seorang atau lebih. Ini kerana, terdapat golongan yang mengatakan hanya seorang yang akan menjadi reformis setiap seratus tahun. Pendapat yang mengatakan bahawa lafaz “man” itu menunjukkan lebih daripada seorang disokong oleh beberapa ulama’ hadith yang terkenal, antaranya ialah:
 
• Ibn Hajar : "Tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan." [Fath al-Bari, 13:295]
• Ibnu Kathir : "Hadith ini meliputi setiap individu pada masa kini yang melaksanakan fardhu kifayah iaitu dengan menunaikan amanah ilmu." [al-Bidayah wa al-Nihayah, 9:303]
• Al-Zahabi : "Aku berpendapat lafaz “man” di dalam hadith tersebut menunjukkan jama’ dan bukannya mufrad”.[Tarikh al-Islam, 7:99]
 
Tarjih
 
Setelah kami nyatakan bahawa para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan lafaz “man” di dalam hadith. Untuk itu, kami berpendapat bahawa “man” di dalam hadith ini bermaksud lebih daripada seorang sebagaimana yang difahami oleh dahulu dan masa kini.
 
Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita dan ahli keluarga kita daripada segala fitnah yang melanda umat Islam pada masa kini. Amin.
 
 
Wallahua`lam.