اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-252: SEBAB BERLAKU PERSELISIHAN PENDAPAT

 

 

Soalan: Apakah sebab-sebab berlakunya perselisihan pendapat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Perbezaan yang berlaku di dalam memahami dalil-dalil syarak adalah satu lumrah di dalam kehidupan. Ini kerana, akal manusia itu berbeza-beza dari sudut tahapnya. Tambahan pula, perselisihan atau perbezaan pendapat ini telah berlaku pada zaman Nabi SAW dan juga para sahabat RA. Apatah lagi, pada zaman selepas daripada mereka, sudah pasti lebih banyak perselisihan yang berlaku sehingga munculnya pelbagai mazhab dan aliran.

 

Terdapat sebuah athar daripada salaf yang menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan menghukum seseorang itu pada permasalahan yang terdapat khilaf padanya iaitu:

 

لا يُعَذِّبُ اللَّه بِمَسْأَلَةٍ اخْتُلِفَ فِيهَا

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan mengazab (manusia) disebabkan perkara yang diperselisihi padanya.” [Imam al-Sakhawi (902 H) berkata aku merasakan ini adalah perkataan sebahagian para salaf. Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 731/1]

 

Adapun berkaitan sebuah lagi lafaz yang masyhur iaitu:

 

اخْتِلَافُ أُمَّتِي رَحْمَةٌ

Maksudnya: “Perselisihan (Perbezaa)n dalam kalangan umatku adalah rahmat.”

 

Kebanyakan para ulama’ menilai riwayat ini (riwayat di atas) tiada asal baginya dan ia bukanlah sebuah hadith Nabi SAW sebagaimana yang dikatakan oleh Mulla Ali al-Qari:

 

“Ramai para imam menyangka bahawa hadith ini tiada asal baginya. Akan tetapi, Imam al-Khattabi di dalam gharib al-Hadith menyebutnya dengan cara berpindah ke persoalan lain dan aku merasakan bahawa dia mempunyai asal bagi hadith ini. Imam al-Suyuthi berkata hadith ini telah dikeluarkan (ditulis) oleh Nasr al-Maqdisiy di dalam al-Hujjah dan al-Baihaqiy di dalam al-Risalah al-Asy’ariyyah secara tidak bersanad. Begitu juga, dinyatakan oleh al-Halimiy, al-Qadhi Husain, Imam al-Haramain dan ramai lagi. Ini menunjukkan berkemungkinan bahawa hadith tersebut telah ditakhrijkan di dalam kitab-kitab para huffaz yang mana ia (kitab tersebut) tidak sampai kepada kita. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 84/1]

 

Sebab-Sebab Berlakunya Perselisihan

Antara sebab-sebab atau punca berlakunya perselisihan adalah:

  • Pemahaman terhadap Bahasa Arab kerana bahasa arab ini kaya dengan kaedah-kaedah, uslub-uslub dan makna-maknanya.
  • Manhaj al-Quran di dalam menyatakan ayat sesuatu hukum seperti terdapat ayat mujmal mufassal dan sebagainya.
  • Sunnah Nabi SAW tidak menjelaskan keseluruhan kandungan ayat-ayat al-Quran.
  • Perbezaan para ulama’ dalam menentukan hukum terhadap sesebuah hadith serta perbezaan manhaj dalam menerima sesebuah hadith.
  • Dalil yang diperolehi bertentangan antara satu sama lain di dalam satu masalah.
  • Kefahaman dari sudut perbuatan atau perintah Rasulullah SAW sama ada ia berbentuk wajib, sunat, harus dan sebagainya.
  • Perbezaan dari sudut jenis dalil adakah ia bole dijadikan hujjah ataupun tidak.

 

Contoh-Contoh Perselishan Yang Berlaku

Antara contoh-contoh perselisihan yang pernah berlaku adalah:

 

  • Pada zaman Rasululllah SAW

Di dalam sebuah hadith yang sahih diceritakan bagaimana para sahabat Nabi SAW berbeza dalam memahami arahan Nabi SAW.

 

Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لاَ يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ العَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ فَأَدْرَكَ بَعْضَهُمُ العَصْرُ فِي الطَّرِيقِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لاَ نُصَلِّي حَتَّى نَأْتِيَهَا، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ نُصَلِّي، لَمْ يُرَدْ مِنَّا ذَلِكَ، فَذُكِرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يُعَنِّفْ وَاحِدًا مِنْهُمْ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu solat asar melainkan apabila tiba di Bani Quraizhah”. Ibn Umar berkata: “Lalu tibalah waktu asar ketika sebahagian daripada mereka dalam perjalanan. Maka berkata sebahagian daripada mereka: “Jangan kita solat sehingga kita sampai di Bani Quraizhah”. Adapun telah berkata sebahagian mereka yang lain: “Bahkan, kami akan menunaikan solat kerana Nabi SAW tidak bermaksud demikian”. Maka kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW dan Baginda SAW tidak mencela salah seorang daripada mereka”. [Riwayat al-Bukhari (946 dan 4119)]

 

Di dalam hadith ini, sebahagian sahabat memahami secara hakikat lafaz larangan Nabi SAW tersebut dan dengan itu mereka melewatkan solat asar sehingga ke waktu Maghrib. Namun, sebahagian sahabat lagi memahami secara alasan atau mafhum di sebalik larangan Nabi SAW itu adalah Nabi SAW menyarankan agar mereka mempercepatkan perjalanan agar sempat solat asar dalam waktunya. Perbuatan sahabat ini sampai kepada Nabi SAW dan Nabi SAW mengakui atau mempersetujui kedua perbuatan tersebut tanpa Baginda SAW mengingkari salah satu perbuatan tersebut.  [Lihat: Fath al-Bari, 412/8]

 

  • Pada zaman khulafa’ al-Rashidin

Antara contoh perselisihan yang pernah berlaku adalah di antara Abu Bakar al-Siddiq dan juga Umar bin al-Khattab ketika Umar mencadangkan agar dihimpunkan al-Quran. Akan tetapi, pada awalnya Abu Bakar al-Siddiq tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW. Di akhirnya, Abu Bakar al-Siddiq bersetuju apabila mendengar kata-kata Umar yang mana perbuatan tersebut amat perlu kerana ia termasuk di dalam maslahah. Selain itu juga, Nabi SAW memerintah kepada penulis wahyu Baginda SAW agar ditulis setiap wahyu yang turunkan kepadanya. 

 

Berdasarkan dua contoh ini, maka jelaslah kepada kita bahawa perselisihan memang berlaku sejak daripada dahulu lagi. Akan tetapi, perselisihan atau perbezaan tersebut perlu diurus denganpu baik supaya tidak timbul perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

 

Penutup

Sebelum kami mengakhiri penulisan ini, suka bagi kami untuk menukilkan kata-kata khalifah umat Islam Umar bin Abd al-Aziz berkaitan perselisihan yang berlaku dalam kalangan umat Islam:

 

مَا سَرَّنِي لَوْ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا ، لأَنَّهُمْ لَوْ لَمْ يَخْتَلِفُوا لَمْ تَكُنْ رُخْصَةٌ

Maksudnya: “Aku tidak gembira jika para sahabat Muhammad SAW tidak berselisih pendapat sesama mereka. Ini kerana, jika mereka tidak berselisih pendapat maka tidak akan berlakunya rukhsah.” [Lihat: al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 116/2]

 

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan juga rasul-Nya perlulah mengutamakan adab-adab yang diajarkan oleh Islam dalam menguruskan setiap pesrselisihan dan perbezaan yang berlaku. Antara adab-adab yang boleh dipupuk di dalam diri kita adalah:

 

  • Ikhlas kerana Allah dalam mencari kebenaran.
  • Berlapang dada dalam masalah yang diperselisihi.
  • Tidak mengeluarkan kata-kata kesat.
  • Menghormati pihak yang berbeza.
  • Tidak menuduh pihak yang berbeza itu dengan tuduhan yang jahat seperti sesat.

 

Walaubagaimanapun, di dalam al-Quran ada dinyatakan perkara yang perlu dilakukan apabila timbul perselisihan atau perbezaan yang boleh menyebabkan pergaduhan. Firman Allah SWT:

 

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Al-Nisa’ : 59

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah)  jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat.”

 

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman di dalam agama ini serta diberikan sifat kesabaran dan adab-adab Islamiyyah dalam menguruskan perkara ini. Amin.

 

Wallahua’lam