اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-133: HUKUM MENINGGALKAN PUASA RAMADHAN DENGAN SENGAJA?

 

Screen Shot 2019 05 21 at 11.38.02 AM

SOALAN

Saya pernah meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan dengan sengaja memakan pada waktu siang. Bagaimanakah cara saya menebus dosa meninggalkan puasa tersebut?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Maka jelaslah puasa Ramadhan ini adalah perkara utama di dalam Islam yang tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran.

Imam Ibn Hajar al-Haithami menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadhan. Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau:

الْكَبِيرَةُ الْأَرْبَعُونَ وَالْحَادِيَةُ وَالْأَرْبَعُونَ بَعْدَ الْمِائَةِ: تَرْكُ صَوْمِ يَوْمٍ مِنْ أَيَّامِ رَمَضَانَ، وَالْإِفْطَارُ فِيهِ بِجِمَاعٍ أَوْ غَيْرِهِ بِغَيْرِ عُذْرٍ مِنْ نَحْوِ مَرَضٍ أَوْ سَفَرٍ

Maksud: Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadhan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir. Lihat al-Zawajir (1/323).

Namun begitu, Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang telah terlanjur meninggalkan puasa dengan sengaja dan mempunyai kesedaran untuk bertaubat kepada Allah SWT. Maka, para fuqaha’ membahaskan hal ini di dalam perbahasan bab mengqada’ puasa bagi mereka yang meninggalkan puasa secara sengaja.

Kesalahan berbuka dengan sengaja ini sangat berat sehinggakan mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Abu Hanifah mewajibkan kafarah dan qada’ kepada orang yang makan dan minum secara sengaja pada bulan Ramadhan.

Mazhab Imam al-Syafie dan Mazhab Imam Ahmad pula berpandangan orang yang meninggalkan puasa dengan makan atau minum secara sengaja tidak dikenakan kafarah, kerana kafarah hanya khusus kepada orang yang melakukan persetubuhan pada siang hari dalam bulan Ramadhan sahaja. Namun kedua mereka seiring bahawa puasa tetap wajib diqada’kan. Lihat Mausuah al-Fiqhiyah (28/60).

Hal ini turut dinyatakan oleh para fuqaha’ kontemporari tentang apa yang perlu dilakukan bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, atau melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan puasa terbatal selain daripada persetubuhan di siang hari. Antaranya disebutkan oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

من أفطر في رمضان بغير جماع، بأن أكل أو شرب، أو استعط ، أو باشر فيما دون الفرج فأنزل، أو استمني فأنزل، وكان يمكنه الصوم، وجب عليه قضاؤه قبل حلول شهر رمضان من العام الذي يليه،

Maksudnya: Sesiapa yang berbuka puasa ketika Ramadhan selain daripada jima’ dengan makan atau minum, atau memasukkan sesuatu (cecair atau ubat) ke dalam hidung, atau bersentuhan selain pada kemaluan kemudian terkeluar mani, atau melakukan onani, kemudian keluar mani. (Ketika melakukan semua perbuatan ini) dia berkemampuan untuk berpuasa, maka wajib qada’, sebelum masuk bulan Ramadhan tahun seterusnya. Lihat al-Mu’tamad (2/200).

Syeikh Ibn Baz pula dalam menjawab persoalan yang diajukan kepada beliau daripada seseorang yang sengaja berbuka puasa ketika Ramadhan beberapa tahun sebelumnya, menekankan bahawa berbuka puasa dengan makan atau minum atau apa-apa yang membatalkan selain jima’ adalah perkara mungkar yang diharamkan. Beliau menyatakan bahawa orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja hendaklah bertaubat kepada Allah, dan menyesal di atas perbuatan tersebut. Seterusnya mengqada’kan hari-hari yang ditinggalkan dan inilah kewajipan untuknya kerana berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran merupakan perkara mungkar yang diharamkan[1].

Kesimpulan

 

Melihatkan kepada nas dan hujah di atas, kami nyatakan bahawa orang yang sengaja berbuka puasa di dalam bulan Ramadhan adalah berdosa besar kerana meninggalkan salah satu daripada rukun Islam.

Namun begitu, Allah SWT sangat mengasihani hamba-hambanya dengan memberi peluang untuk menebus kembali dosa tersebut. Maka kami katakan bahawa, orang yang meninggalkan puasa di dalam bulan Ramadhan dengan apa cara sekalipun selain daripada jima’ di siang hari hendaklah menggantikan puasa tersebut secepatnya sebelum datang Ramadhan pada tahun berikutnya.

Bagi mereka yang gagal menggantikan puasa sebelum datang Ramadhan berikutnya, hendaklah membayar fidyah mengikut kadar yang telah ditentukan.

Semoga kita semua mendapat hidayah dan taufiq untuk mengamalkan segala titah perintah-Nya.

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/16982/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D9%81%D8%B7%D8%A7%D8%B1-%D8%A8%D8%BA%D9%8A%D8%B1-%D8%B9%D8%B0%D8%B1-%D9%81%D9%8A-%D9%86%D9%87%D8%A7%D8%B1-%D8%B1%D9%85%D8%B6%D8%A7%D9%86