Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya pernah menyucikan najis di bulan puasa dengan menghalakan air dengan laju ke arah dubur. Saya tertanya-tanya adakah perbuatan saya itu boleh membatalkan puasa kerana mungkin boleh jadi air telah masuk ke dalam dubur saya? Mohon pencerahan terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Perbuatan menghalakan air ke arah lubang dubur ketika bersuci adalah tidak membatalkan puasa kerana kebiasaannya perbuatan tersebut tidak menyebabkan air masuk melebihi bahagian had wajib basuhan bagi dubur. Perkara ini berdasarkan kepada kenyataan Syeikh al-Bujairimi yang menyebutkan bahawa had masuk sesuatu ke dalam dubur ialah melebihi bahagian yang wajib dibasuh ketika beristinjak.
Huraian Jawapan
Berdasarkan kepada persoalan di atas, sebenarnya ia lebih menjurus kepada isu was-was individu. Hal ini kerana, telah menjadi kebiasaan masyarakat Islam bahawa apabila bersuci daripada najis mereka akan mencurahkan air ke bahagian tempat keluar najis sama ada qubul atau dubur dan perbuatan tersebut kebiasaannya tidak menyebabkan air masuk melebihi bahagian dalam dubur.
Syeikh al-Bujairimi telah menyebutkan berkenaan batasan had masuk sesuatu ke dalam dubur yang boleh menyebabkan batalnya puasa seseorang, kata beliau:
وَضَابِطُ الدُّخُولِ الْمُفْطِرِ أَنْ يُجَاوِزَ الدَّاخِلُ مَا لا يَجِبُ غَسْلُهُ فِي الاسْتِنْجَاءِ، بِخِلافِ مَا يَجِبُ غَسْلُهُ فِي الاسْتِنْجَاءِ فَلا يُفْطِرُ إذَا أَدْخَلَ أُصْبُعَهُ لِيَغْسِلَ الطَّيَّاتِ الَّتِي فِيهِ
Maksudnya: Had penentuan “masuknya sesuatu (pada dubur)” yang boleh membatalkan puasa apabila seseorang basuh melebihi bahagian yang bukan wajib dibasuh ketika beristinjak berbeza dengan bahagian yang wajib dibasuh ketika beristinjak. Oleh itu, sekiranya seseorang memasukkan jarinya untuk membasuh lipatan dubur (kotoran), ia tidak membatalkan puasa.[1]
Berpandukan kepada kenyataan di atas, had masuk sesuatu ke dalam dubur ialah melebihi bahagian yang wajib dibasuh ketika beristinjak. Oleh itu, perbuatan menghalakan air ke bahagian keluarnya najis ketika bersuci adalah tidak membatalkan puasa kerana kebiasaannya perbuatan tersebut tidak menyebabkan air masuk melebihi bahagian had wajib basuhan bagi dubur. Wallahuaʻlam.
[1] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ʻala al-Khatib (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 2: 380.