اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-125: HUKUM MERUQYAH NON-MUSLIM DAN SEBALIKNYA

 

Soalan:

Apakah hukumnya seorang muslim meruqyah orang bukan Islam dan begitu juga sebaliknya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Ruqyah al-Syar’iyyah

Ibn Manzur Rahimahullah menyebutkan perkataan Ibn al’Athir Rahimahullah mengenai ruqyah yang mana membawa kepada maksud: Jampi perlindungan yang dijampi kepada orang yang sakit seperti demam dan sawan (epilepsy) dan jampi di sini bermaksud memohon perlindungan daripada Allah SWT. [Lihat Lisan al-‘Arab. Dar Sadir, 14/332]

Ruqyah boleh dilakukan dengan menulis kemudian menggantungkannya dan boleh juga dibacakan sesuatu daripada al-Quran, al-Mu’awwizat dan juga doa-doa yang ma’thur.

 

Meruqyah Non-Muslim

Tiada khilaf dikalangan para  ulama’ bahawa seorang muslim boleh meruqyah orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Al-Bukhari[1] dan Muslim[2] daripada Abu Sa’id al-Khudri RA yang mana secara ringkasnya terdapat sebahagian  sahabat Nabi SAW yang keluar bermusafir lalu apabila tiba di sebuah perkampungan Arab pada waktu malam, maka mereka meminta untuk bermalam namun ditolak permintaan mereka itu. Ketua kampung telah terkena patukan ular/disengat kala jengking dan orang kampung tersebut meminta bantuan dari kumpulan sahabat Nabi SAW tersebut dengan berharap mereka mempunyai sesuatu yang dapat menyembuhkan ketua kampung mereka namun ditolak sebaliknya mereka akan membantu sekiranya diberi upah. Kemudian salah seorang dari sahabat membacakan ruqyah iaitu Surah al-Fatihah dan dengan izin Allah SWT sembuhlah ketua kampung itu.

Kisah ini diceritakan kepada Rasulullah SAW sekembalinya mereka dan Rasulullah SAW tidak mengingkarinya dan ketua kampung yang dibacakan ruqyah kepadanya itu adalah dari kalangan orang yang bukan Islam.

 

Non-Muslim Meruqyah Orang Islam

Para ulama’ telah berkhilaf  mengenai permasalahan ini. Al-Imam al-Syafi’e membenarkannya manakala al-Imam Malik memakruhkan ahli kitab meruqyah orang Islam.

Pendapat yang membenarkan menggunakan dalil riwayat yang terdapat di dalam al-Muwatto’ yang mana menyebutkan:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ دَخَلَ عَلَى عَائِشَةَ وَهِيَ تَشْتَكِي. وَيَهُودِيَّةٌ تَرْقِيهَا. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: ارْقِيهَا بِكِتَابِ اللهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Abu Bakr RA telah menziarahi ‘Aisyah R.Anha dan beliau dalam keadaan sakit dan seorang perempuan Yahudi sedang meruqyahnya. Maka berkata Abu Bakar RA: Ruqyahlah dia dengan kitab Allah”.

Riwayat al-Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (3472)

 

Seterusnya daripada al-Rabi’ bin Sulaiman Rahimahullah telah berkata: Aku telah bertanyakan kepada al-Syafi’e mengenai ruqyah maka jawab al-Syafi’e: “Tidak mengapa dengan ruqyah itu sekiranya diruqyahkan dengan al-Quran dan apa yang diketahui daripada zikir”. Kemudian  aku bertanya lagi: “Adakah ahli kitab boleh meruqyah orang Muslim?”. Jawab al-Syafi’e: “Ya, sekiranya apa yang diruqyahkan itu sesuatu yang diketahui daripada al-Quran dan zikir.” [Lihat al-Umm. Dar al-Ma’rifah, 7/241]

Ini juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab sepertimana yang disebut di dalam kitab al-Umm. [Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 9/65-66]

 

Kesimpulan

Berdasarkan pendapat-pendapat yang ada di dalam isu ini, kami katakan bahawa hukum meruqyah orang bukan Islam adalah harus dan begitu juga harusnya untuk orang bukan Islam meruqyah orang Islam sekiranya menggunakan al-Quran dan juga zikir-zikir yang ma’thur.

Ini sepertimana yang dinukilkan melalui al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah melalui anak muridnya al-Rabi’ bin Sulaiman Rahimahullah dan begitu juga al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’.

Namun, perlulah dipastikan bahawa ruqyah itu sepertimana yang telah dianjurkan oleh syara’ dan tidak ada sebarang unsur penghinaan terhadap kitab Allah baik dari segi menambah maknanya ataupun menukar sebutannya. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1436 H

 

[1] Sahih al-Bukhari. Kitab al-Ijarah. Bab Ma Yu’ta fi al-Ruqyah ‘ala Ahya’ al-‘Arab bi Fatihah al-Kitab. No. Hadith: 2276

[2] Sahih Muslim. Kitab al-Salam. Bab Jawaz ‘Akhzil Ujrah ‘ala al-Ruqyah bi al-Quran wa al-Azkar. No. Hadith: 2201.