اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM #252: HUKUM MEMPELAJAR ILMU MANTIQ

MANTIQ

 

Soalan

Apakah hukum mempelajari ilmu mantiq atau ilmu logik?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sejarah Ringkas Ilmu Mantiq

Mantiq sebagai satu ilmu yang pertama kali disusun secara rapi oleh Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani. Ketika agama Islam telah tersebar ke Jazirah Arab dan dipeluk secara meluas sampai ke timur dan barat, perkembangan ilmu pengetahuan pun mengalami kemajuan yang pesat. Puncaknya terjadi pada zaman pemerintahan Khilafah ‘Abbasiyah. Sewaktu tempoh waktu inilah berlangsungnya usaha-usaha penterjemahan ilmu-ilmu falsafah Yunani secara intensif kedalam bahasa Arab, dan ini termasuklah ilmu mantiq.

Sejak itu, ilmu mantiq mulai mendapat perhatian oleh kalangan ahli falsafah Muslim seperti Abdullah Ibn Al-Muqaffa’, Yaqub Ibn Ishaq Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina, Imam al-Ghazali dan Ibn Rusyd.

Pengertian Ilmu Mantiq

Terdapat beberapa definisi ilmu mantiq yang disebut oleh para ulama, dan antara yang paling masyhur ialah:

آلة قانونية تعصم مراعاتها الذهن عن الخطأ في الفكر

Maksudnya: Wasilah dan qaedah yang sistematik yang memelihara seseorang daripada sebarang kesalahan berfikir.

(Rujuk Ahmad ibn ‘Umar al-Hazimi, Al-Syarh al-Mukhtasar li al-Sullam al-Munawraq, 1/12)

Manakala al-‘Atthar pula mentakrifkannya sebagai satu ilmu yang diketahui dengannya pemikiran yang benar dan yang salah. Maka ia merupakan qawaid dan usul yang membawa kepada pengetahuan tentang pemikiran yang benar dan pemikiran yang salah.

Ia juga turut dikenali dengan beberapa nama lain, seperti Mi’yar al-‘Ilm dan Mizan al-‘Uqul. Dan ia pada hakikatnya merupakan himpunan qanun-qanun ‘aqli yang jika dipatuhi akan memberi kemampuan kepada seseorang untuk sampai kepada natijah dan kesimpulan yang sahih dan bebas daripada kesalahan. (Rujuk Syeikh ‘Ali Jum’ah, al-Bayan lima Yushghilu al-Azhan, 1/59)

Secara ringkasnya, ia mempunyai beberapa perbahasan yang penting, dan ia terbahagi kepada dua bab besar iaitu tasawwur dan tasdiq. Tasawwur antaranya merangkumi kaedah pendefinisan dan pengkelasan sesuatu perkara, manakala tasdiq pula antara lain membicarakan tentang kaedah-kaedah qiyas.

 

Kepentingan Ilmu Mantiq

Ilmu mantiq merupakan salah satu ilmu alat yang amat penting bagi memahami ibarat-ibarat kitab-kitab turath, disamping nahu, sorof, balaghah dan lain-lain. Imam al-Akhdhari (1512-1575 M) dalam Matan Sullam al-Munawraq menekankan kepentingan ilmu mantiq melalui salah satu baitnya:

فَالمَنْطِقُ لِلْجَنَانِ** نِسْبَتُهُ كَالنَّحْوِ لِلِّسَانِ

فَيَعْصِمُ الأَفْكَارَ عَنْ غَيِّ الخَطَا** وَعَنْ دَقِيقِ الفَهْمِ يَكْشِفُ الغِطَا

Maksudnya: Ilmu mantiq bagi akal ibarat ilmu nahu bagi lisan;

Ia memelihara fikiran daripada kesalahan dan menyingkap kesamaran hasil kefahaman yang mendalam;

Kepentingan ilmu mantiq juga turut disebut oleh Imam Al-Ghazali melalui kata-katanya dalam muqaddimah kitab Al-Mustasfa:

وَمَنْ لَا يُحِيطُ بِهَا فَلَا ثِقَةَ لَهُ بِعُلُومِهِ أَصْلًا

Maksudnya: Dan barangsiapa yang tidak menguasainya (ilmu mantiq), maka ilmunya adalah diragukan dan tidak dipercayai keabsahannya.

Ini kerana ilmu mantiq menurut beliau merupakan pengantar kepada semua ilmu, dan bukan semata-mata pengantar kepada ilmu usul fiqh sahaja. (Lihat Al-Mustasfa, 1/10)

Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami pula menukilkan pandangan Imam al-Qarafi yang menjadikan penguasaan ilmu mantiq sebagai salah satu syarat untuk berijtihad. (Lihat Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/51)

Hukum Mempelajari Ilmu Mantiq

Namun begitu terdapat khilaf dalam kalangan ulama pada hukum mempelajari ilmu mantiq yang telah bercampur dengan unsur-unsur falsafah yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Imam al-Akhdhari menulis lagi:

وَالخُلْفُ فِي جَوَازِ الاِشْتِغَالِ ** بِهِ عَلَى ثَلاَثَةٍ أَقْوَالِ

فَابْنُ الصَّلاَحِ وَالنَّوَاوِي حَرَّمَا ** وَقَالَ قَوْمٌ يَنْبَغِي أَنْ يُعْلَمَا

وَالقَوْلَةُ المَشْهُورَةُ الصَّحِيحَةْ ** جَوَازُهُ لِكَامِلِ القَرِيحَةْ

مُمَارِسِ السُّنَّةِ وَالكِتَابِ ** لِيَهْتَدِي بِهِ إِلَى الصَّوَابِ

Maksudnya: Adapun terdapat khilaf pada hukum menyibukkan diri dengan ilmu mantiq (yang bercampur dengan ilmu falsafah) dan ia terbahagi kepada 3 pandangan;

Imam Ibn Solah dan Imam al-Nawawi mengharamkannya, dan sebahagian ulama lain mewajibkannya;

Adapun pandangan yang masyhur dan paling sahih ialah keharusan mempelajarinya bagi yang mempunyai kesempurnaan akal;

Dan juga harus bagi yang mengetahui al-Qur’an dan al-Sunnah bagi membolehkannya sampai kepada kebenaran;

Frasa يَنْبَغِي أَنْ يُعْلَمَا dalam matan di atas boleh difahami dengan dua makna, iaitu wajib secara kifayah (bukan wajib / fardhu ‘ain) sepertimana pandangan Imam al-Ghazali, ataupun sunat.

Satu hal yang perlu diberi perhatian ialah perbezaan pendapat ulama-ulama di atas hanyalah pada mantiq yang telah diresapi oleh unsur-unsur falsafah dan pemikiran yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. (Rujuk Syeikh ‘Ali Jum’ah, al-Bayan lima Yushghilu al-Azhan, 1/60). Kerana itulah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah telah mengarang kitab Al-Raddu ‘ala al-Manthiqiyyin bagi menangkis ilmu mantiq yang menyeleweng.

Adapun ilmu mantiq yang tidak diresapi pemikiran falsafah, maka keharusan mempelajarinya disepakati oleh para ulama bahkan dinukilkan ijmak tentangnya. (Rujuk Ahmad ibn ‘Umar al-Hazimi, Al-Syarh al-Mukhtasar li al-Sullam al-Munawraq, 1/17). Ini seperti mempelajari kitab-kitab dan matan-matan penting ilmu mantiq seperti Mukhtashar karya al Sanusi, Syamsiyah karya Abi al Hasan al Qazwini, Matan Isaghuji, Matan Sullam al-Munawraq dan Tahzib al-Mantiq karya Imam Sa’duddin al-Taftazani.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan hukum mempelajari ilmu mantiq yang tidak diresapi fahaman falsafah ialah harus, bahkan disunatkan sepertimana pandangan-pandangan para ulama muktabar terdahulu dan juga kontemporari.

Adapun bagi ilmu mantiq dan falsafah yang diresapi fahaman-fahaman falsafah yang meragukan dan menyeleweng, maka ia hanya dibenarkan kepada mereka yang mempunyai kecerdasan aqal yang kuat dan pengetahuan yang mendalam tentang al-Qur’an dan al-Sunnah bagi membolehkannya membezakan antara elemen haq dan bathil dalam ilmu tersebut. Wallahu a’lam.