اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-288 : BAWA DOMPET KULIT DI DALAM SOLAT

 

if 288 compressed

Soalan :

Assalamualaikum, nak pastikan adakah sah solat dengan adanya di poket dompet kulit yang berjenama Kickers.Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum samak adalah satu proses di mana kulit haiwan disucikan dan dibersihkan yang pada asalnya adalah najis.Selepas Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya :” Jika disamak kulit maka ia menjadi bersih.”

Riwayat Muslim (838)

Di dalam satu riwayat, Ibnu Abbas pernah menyebut :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَرَّ بِشَاةٍ مَطْرُوحَةٍ أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ فَقَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- أَلاَّ أَخَذُوا إِهَابَهَا فَدَبَغُوهُ فَانْتَفَعُوا بِهِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah pernah melalui satu kawasan yang mana ada seekor kambing yang dibuang. Ia diberikan oleh hamba kepada Maimunah yang diperoleh daripada sedekah. Maka Nabi SAW bersabda : Adakah kamu tidak mahu mengambil kulitnya. Kemudian mereka menyamak kulit tersebut dan mengambil manfaat daripadanya .”

Riwayat Muslim (835)

Jumhur para ulama bersepakat bahawa kulit haiwan yang dagingnya halal dimakan adalah suci sebelum dan selepas disembelih. Sama ada disamak atau tidak ianya tetap suci.Seperti contoh lembu, unta, kambing dan lain-lain.

Begitu juga mereka bersepakat bahawa daging manusia sama muslim atau kafir tidak boleh sama sekali digunakan apatah lagi disamak. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ

Maksudnya :” Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

(Surah Al-Isra’: 70)

Akan tetapi, para ulama berselisih berkenaan status kesucian kulit bangkai haiwan yang dibersihkan menggunakan proses samak. Berikut adalah ringkasan pandangan para ulama berkenaan isu ini :

1. Ulama syafi’iyah, hanafiah dan sebahagian ulama hanabilah mengatakan bahawa antara cara untuk menyucikan kulit bangkai haiwan adalah dengan proses samak. Kulit bangkai haiwan yang halal dimakan dagingnya atau yang tidak halal dimakan dagingnya akan menjadi suci dengan proses samak kecuali kulit khinzir dan anjing. Ini berdasarkan beberapa dalil daripada hadith. Antaranya :

Daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya :” Jika kulit telah disamak maka ia menjadi bersih.”

Riwayat Muslim (838)

Daripada Salamah Bin Al-Muhabbak Al-Huzali :

أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ دَعَا بِمَاءٍ مِنْ عِنْدِ امْرَأَةٍ فَقَالَتْ مَا عِنْدِي إِلاَّ فِي قِرْبَةٍ لِي مَيْتَةٍ ، فَقَالَ : أَلَيْسَ قَدْ دَبَغْتِهَا ؟ قَالَتْ : بَلَى قَالَ فَإِنَّ دِبَاغَهَا ذَكَاتُهَا

Maksudnya :” Sesungguhnya Nabi SAW ketika perang Tabuk memohon air daripada seorang wanita. Wanita itu berkata : Tiada apa pada aku melainkan ada bekas air yang dibuat daripada kulit bangkai. Nabi SAW bertanya : bukankah engkau telah menyamaknya? Wanita itu menjawab :Ya, aku telah menyamaknya. Nabi SAW bersabda : Sesungghnya samak itu sama seperti menyembelihnya (iaitu menjadi suci dan boleh digunakan).”

Riwayat Al-Nasaie (4555)

Kata Imam Al-Nawawi :

“Setiap daripada kulit haiwan yang menjadi najis disebabkan mati (iaitu bangkai) boleh disucikan dengan samak.Kecuali khinzir dan anjing atau apa yang lahir dari kedua-duanya. Inilah yang disepakati dalam mazhab kami.”

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (4/382)

Ibnu Abidin menyebut bahawa samak adalah antara cara untuk menyucikan najis seperti mana yang disebutkan oleh Al-Quhustani di dalam kitabnya Jami al-Rumuz. (Rujuk Rad Al-Mukhtar ‘ala Durr Al-Mukhtar Syarh Tanwir Al-Absar, 1/203).

Akan tetapi, di dalam mazhab Abu Hanifah menyebut bahawa kulit anjing menjadi suci dengan proses samak.Ini kerana di sisi mereka anjing tidak dianggap sebagai najis ‘ain. (Rujuk Rujuk Rad Al-Mukhtar ‘ala Durr Al-Mukhtar Syarh Tanwir Al-Absar, 1/204)

Kesan daripada pandangan ini, maka jika seseorang solat dalam keadaan dia membawa bekas atau barang yang diperbuat daripada kulit haiwan maka sah solatnya. Ini kerana kulit tersebut telah pun menjadi suci dengan sebab proses samak itu tadi. Inilah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi. Kata beliau :

“Jika kulit telah suci dengan samak maka diperbolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya.Sama ada dalam keadaan basah atau kering dan boleh dibawa ketika solat.”

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (1/227)

2. Para ulama dari kalangan Mazhab maliki dan sebahagian pandangan di dalam mazhab hanbali mengatakan bahawa kulit bangkai haiwan tidak menjadi suci dengan proses samak.Mereka berlandaskan kepada beberapa hadith. Antaranya :

Daripada Abdullah Bin ‘Ukaim :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَتَبَ إِلَى جُهَيْنَةَ قَبْلَ مَوْتِهِ بِشَهْرٍ : أَلاَّ تَنْتَفِعُوا مِنَ الْمَيْتَةِ بِإِهَابٍ وَلاَ عَصَبٍ

Maksudnya : Sesungguhnya Rasullullah SAW menghantar surat kepada kabilah Juhainah sebulan sebelum kematian Baginda : Jangan kalian mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulitnya atau tulangnya.”

Riwayat Al-Baihaqi (42) di dalam Al-Sunan Al-Kubra

Di dalam riwayat lain, Nabi SAW pernah mengutus surat kepada satu kabilah. Sabda Baginda :

أني كنت رخصت لكم في جلود الميته فلا تنتفعوا من الميتة بجلد ولا عصب

Maksudnya :” Aku pernah memberi rukhsah kepada kalian berkenaan kulit haiwan yang menjadi bangkai. Maka (sekarang) jangan mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulit atau tulangnya.”

Riwayat Al-Tabarani (104) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat

 Abu Barakat al-Dardir menyebut :

“Walaupun kulit bangkai haiwan itu disamak, ia tetap tidak menyucikannya zahir mahupun batin.” (Rujuk Al-Syarh Al-Kabir, 1/54)

Ibnu Qudamah Al-Maqdisi menyatakan bahawa kulit bangkai haiwan tidak boleh disucikan dengan samak. Akan tetapi ada riwayat daripada Imam Ahmad berkenaan perkara ini. Jika kulit itu adalah daripada bangkai haiwan yang suci dan halal dimakan dagingnya seperti lembu, kambing atau unta, maka proses samak akan menyucikan kulit tersebut. (Rujuk Al-Muqni’ , hlm 25).

Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Ibnu Al-Muflih Al-Maqdisi di dalam karyanya iaitu Al-Mubdi’ ketika mensyarahkan apa yang telah disebutkan oleh Ibnu Qudamah.(Rujuk Al-Mubdi’ Syarh Al-Muqni’, 1/44)

Kesimpulannya, kami lebih cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa kulit bangkai haiwan kecuali kulit khinzir dan anjing ,jika disamak maka ianya menjadi suci dan boleh dimanfaatkan untuk kegunaan manusia seperti dibuat beg, dompet dan sebagainya. Oleh kerana ianya menjadi suci setelah disamak, maka tiada masalah jika dibawa ke dalam solat.

Wallahu’alam.