اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 441 : PRODUK MUSLIM YANG TIADA STATUS HALAL

halal

 

SOALAN:

Saya ingin bertanya berkaitan keutamaan  membeli produk makanan Muslim yang tiada status logo halal (JAKIM) atau produk bukan Muslim yang telah mendapat status logo Halal (JAKIM)? Saya bertanya kerana rata-rata produk makanan IKS Muslim masih banyak yang belum mendapat atau masih proses mendapat status Halal (JAKIM). Di harap Tuan memberi pencerahan.

JAWAPAN :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Dalam Islam setiap perkara yang halal mahupun haram telah ditetapkan dalam nas-nas syarak. Hal ini  telah dinyatakan  dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas

Riwayat  al-Bukhari  (52)

Selain itu,  pengguna muslim dituntut untuk memilih makanan yang memenuhi dua kriteria halal dan baik,  hal  ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

Surah al-Baqarah  (168)

Syeikh as-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat : Tafsir as-Sa’di, (1/80)

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkaitan  mana yang perlu diutamakan sama ada  membeli produk bukan Muslim yang telah mendapat status logo Halal (JAKIM) ataupun  produk Muslim yang rata-rata tiada logo halal (JAKIM). Oleh itu, kami merungkaikan bahawa semua produk IKS Muslim yang tiada logo halal (JAKIM)  tidak boleh dianggap tidak halal mahupun haram. Hal ini kerana status halal tertakluk pada pada bahan-bahan yang digunakan serta teknik penyediaan yang menepati syarak. Produk makanan umat Islam mestilah daripada sumber bahan mentah yang halal lagi suci. Sebaliknya, sumber bahan mentah  daripada haiwan haram mahupun haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak, maka jelaslah produk makanan tersebut daripada sumber yang haram.Sehubungan itu, pengguna Muslim perlu bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan-bahan yang dibeli sama ada bebas daripada unsur haram mahupun sebaliknya.

Memang tidak dapat dinafikan,  pengguna Muslim  mempunyai  satu  hak untuk memilih barangan yang bermutu, berkualiti dan lebih-lebih lagi memilih produk yang terdapat logo halal daripada  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).   Sehubungan itu, kami  berpendapat bahawa  pengguna  Muslim perlu  berpegang pada prinsip yakini  produk Muslim  IKS halal sekiranya telah jelas  produk tersebut bebas daripada unsur haram serta teknik penyediaan yang menepati kehendak syarak. Panduan tersebut terbina atas dasar  kaedah  fiqh berikut:

اليقين لا يزول بالشكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak terluput dengan syak.

Namun, sekiranya ragu-ragu terhadap  sebarang produk makanan Muslim yang tiada logo halal yang diiktiraf  mahupun melihat  cara penyediaan yang tidak  menepati  kehendak syarak  seperti  penyediaan makanan daripada telur ayam  yang tidak dibasuh  dan dikhuatiri  masih melekat  najis maka perlu ditinggalkan.  Panduan tersebut terbina  berdasarkan  hadis berikut:

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah ﷺ bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

 

Selain itu, kami turut sarankan kepada semua pihak pengusaha Muslim IKS untuk membuat permohonan persijilan halal. Selain itu, pengusaha Muslim perlu  perlu peka bagi memastikan rantaian produk halal lagi tayyib (suci)  dengan meneliti  setiap proses pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan pemprosesan, pembungkusan sehinggalah penghantaran produk agar tidak tercemar daripada najis. Hal tersebut memudahkan lagi urusan mendapatkan sijil halal sekaligus dapat memberikan keyakinan kepada pengguna Muslim dengan adanya logo halal  daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Bahkan,  satu taklifan bagi pengusaha Muslim  untuk  menyediakan  produk yang halal lagi suci kepada masyarakat Islam.    Hal ini kerana pengusaha Muslim lebih jelas serta faham terhadap perkara yang telah diharamkan dalam Islam. 

الْأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ

Maksudnya: Asal seseorang  bebas daripada sebarang tanggungan

Berdasarkan kaedah ini, asal  pengusaha Muslim itu dianggap bebas daripada sebarang perkara yang haram dan najis kecuali terdapat bukti sebaliknya. Seterusnya, pengusaha produk Muslim perlu terus memasarkan produk - produk yang terdapat logo  halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Implikasinya,  barangan yang terdapat logo halal akan terus menjadi pilihan utama untuk kegunaan seharian para pengguna Muslim.

Penutup  

Tuntasnya,  berdasarkan hujah yang dikemukan, kami berpendapat bahawa  produk Muslim IKS halal sekiranya  yakin produk tersebut bebas daripada unsur haram. Namun, sekiranya ragu-ragu  terhadap sebarang produk IKS mahupun melihat sendiri teknik penyediaan yang terjejas dengan najis maka perlu ditinggalkan. Walaubagaimanapun, kami turut menasihatkan agar semua pihak pengusaha produk Muslim  bertindak segera memohon persijilan halal (JAKIM). Hal tersebut memberi keyakinan kepada pengguna Muslim untuk  mencari  produk  yang  terdapat  logo halal tanpa syak dan ragu.  Selain itu, membeli produk Muslim  merupakan tanggungjawab umat Islam  selain  dapat membantu sesama  Islam  selagi  mempunyai pilihan.  Hal ini bersesuaian dengan firmanNya :

ﻮَالمُؤمِنُونَ وَالمُؤمِنَاتُ بَعْضَهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.      

                                              Surah al-Taubah (71)

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرّ وَالتّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan

Surah al-Maidah (2)

Konsep ta'awun  (tolong-menolong) merupakan perkara asas dalam agama Islam termasuklah  membantu  memperkasakan ekonomi umat  Islam. Tambahan pula, sekiranya pengusaha Muslim menyediakan produk-produk makanan yang halal lagi suci, maka mereka  telah melaksanakan tuntutan fardhu kifayah selain dapat melunaskan zakat perniagaan kepada asnaf-asnaf yang layak.

Kami turut sarankan  bagi mendapatkan penjelasan  isu-isu halal, sebaiknya merujuk pada badan yang berautoriti iaitu   Bahagian Halal  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  Akhir kalam, semoga kita terhindar daripada perkara yang haram mahupun syubhah. Ameen