Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum memakan probiotik atau bakteria yang diambil daripada usus manusia. Hal ini kerana, terdapat ubatan atau suplemen yang menggunakan probiotik bersumberkan usus manusia. Persoalannya, adakah makanan yang diambil daripada sumber badan manusia boleh diperluaskan dalam produk-produk kesihatan? Adakah ia halal dimakan? Mohon pencerahan SS Datuk.
Ringkasan Jawapan
Hukum memakan ubatan atau suplemen yang mengandungi sumber probiotik (bakteria) daripada badan manusia adalah haram kerana juzuk anggota anak Adam itu adalah sesuatu yang dimuliakan. Selain itu, masih terdapat alternatif probiotik lain yang boleh menggantikan probiotik daripada sumber badan manusia.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Lactobacillus acidophilus ialah sejenis bakteria baik (probiotik) yang terdapat dalam usus, mulut, faraj dan juga dalam makanan tertentu.[1] Pada zaman kini, sudah timbul usaha-usaha oleh syarikat pengeluar suplemen atau ubatan untuk mengguna pakai probiotik daripada sumber manusia dalam produk-produk mereka. Persoalannya, adakah tindakan tersebut bertepatan dengan kehendak syarak?
Secara umumnya, setiap anggota badan manusia tidak boleh diperdagangkan mahupun dimanfaatkan oleh orang lain kerana juzuk anggota anak Adam itu dimuliakan. Hal Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam…”
(Surah al-Isra’: 70)
Imam al-Syawkani mentafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT telah memuliakan anak-anak Adam dengan mengurniakannya berbagai bentuk nikmat. Antaranya, manusia itu sendiri diciptakan dalam rupa bentuk terbaik dan juga diberi keistimewaan yang tidak diberikan kepada ciptaan-ciptaan-Nya yang lain seperti makanan, minuman pakaian dan sebagainya.[2]
Dalil syarak yang mengharamkan sesuatu makanan untuk dimakan bukanlah disebabkan semata-mata kerana kotor dan jijik, bahkan disebabkan kemuliaan dan kehormatan yang terdapat padanya seperti juzuk anggota anak Adam.[3] Perkara ini telah dijelaskan oleh ulama ketika mensyarah hadis berkenaan larangan berubat dengan sesuatu yang bernajis dan haram. Diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA , bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اَللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu daripada sesuatu yang diharamkan ke atas kamu.”
(Riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan hadis ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa terdapat pengharaman yang jelas untuk berubat dengan sesuatu yang bernajis dan haram. Hal ini kerana, tiada keperluan untuk menggunakannya sekiranya sudah ada ubat-ubatan suci yang mencukupi dan boleh menggantikan benda-benda yang haram dan bernajis.[4]
Keharusan untuk berubat atau makan daripada yang sumber haram hanya dibenarkan ketika situasi darurat. Hal ini kerana, kemuliaan manusia ketika hidupnya adalah lebih utama berbanding ketika matinya, meskipun terdapat keharusan untuk memakan daging daripada mayat manusia dalam keadaan terpaksa dan tiada pilihan selain daripadanya pada ketika itu.[5]
Seterusnya, probiotik yang diambil daripada badan manusia hanyalah bersifat alternatif kerana masih terdapat sumber probiotik lain walaupun ia tidak menunjukkan kesan yang sama. Begitu juga, masih belum ada penemuan penyakit-penyakit berbahaya pada tahap darurat yang perlu kepada khasiat khusus daripada probiotik manusia.
Merujuk kepada Garis Panduan Bersama Kawalan Ubat-ubat dalam Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sumber ubat boleh dibahagikan kepada beberapa kelompok, iaitu sumber manusia, sumber haiwan, sumber tumbuhan, sumber tanah dan air. Ubat-ubatan yang diperbuat daripada sumber manusia adalah haram untuk digunakan kecuali dalam keadaan darurat serta tiada pilihan lain. Tambahan pula, melalui teknologi moden pada masa kini, kebanyakan ubat-ubatan dapat dihasilkan oleh bahan sintetik. Bahan-bahan yang terbit daripada sumber manusia selalunya melibatkan zat-zat tertentu seperti hormon, serum, imunoglobulin dan sebagainya yang diambil dari tubuh manusia.[6]
Kesimpulan
Hukum memakan ubatan atau suplemen yang mengandungi sumber probiotik (bakteria) daripada badan manusia adalah haram kerana juzuk anggota anak adam itu adalah sesuatu yang dimuliakan.
Hal ini kerana, masih terdapat alternatif probiotik lain yang menggantikan probiotik daripada sumber badan manusia serta bagi mengelakkan amalan eksploitasi terhadap kemuliaan tubuh badan manusia.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-790/lactobacillus-acidophilus
[2] Al-Syawkani, Muhammad bin Ali. Fath al-Qadir. (Beirut: Dar Ibn al-Kathir, 1414H). 3/290.
﴿ولَقَدْ كَرَّمْنا بَنِي آدَمَ﴾ هَذا إجْمالٌ لِذِكْرِ النِّعْمَةِ الَّتِي أنْعَمَ اللَّهُ بِها عَلى بَنِي آدَمَ أيْ: كَرَّمْناهم جَمِيعًا، وهَذِهِ الكَرامَةُ يَدْخُلُ تَحْتَها خَلْقُهم عَلى هَذِهِ الهَيْئَةِ الحَسَنَةِ وتَخْصِيصُهم بِما خَصَّهم بِهِ مِنَ المَطاعِمِ والمَشارِبِ والمَلابِسِ عَلى وجْهٍ لا يُوجَدُ لِسائِرِ أنْواعِ الحَيَوانِ مِثْلُهُ.
[3] Al-Khattabi, Ma’alim Sunan (Halb: al-Matma’ah al-Ilmiyah, 1932) 4/222
قال الشيخ: فكل منهي عن قتله من الحيوان فإنما هو لأحد أمرين اما لحرمته في نفسه كالآدمي وإما لتحريم لحمه كالصرد والهدهد ونحوهما
[4] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). 9/53.
وَحَدِيثِ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ مَحْمُولٌ عَلَى عَدَمِ الْحَاجَةِ إلَيْهِ بِأَنْ يَكُونَ هُنَاكَ مَا يُغْنِي عَنْهُ وَيَقُومُ مَقَامَهُ مِنْ الْأَدْوِيَةِ الطَّاهِرَةِ.
[5] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1994) 6/160.
(وَلَهُ) أَيْ الْمُضْطَرِّ (أَكْلُ آدَمِيٍّ مَيِّتٍ) إذَا لَمْ يَجِدْ مَيْتَةً غَيْرَهُ كَمَا قَيَّدَاهُ فِي الشَّرْحِ وَالرَّوْضَةِ؛ لِأَنَّ حُرْمَةَ الْحَيِّ أَعْظَمُ مِنْ حُرْمَةِ الْمَيِّتِ، وَيُسْتَثْنَى مِنْ ذَلِكَ مَا إذَا كَانَ الْمَيِّتُ نَبِيًّا فَإِنَّهُ لَا يَجُوزُ الْأَكْلُ مِنْهُ جَزْمًا
[6]https://www.islam.gov.my/ms/garis-panduan/462-garis-panduan-bersama-kawalan-ubat-ubat-dalam-islam