اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-910: BOLEHKAH PEMIUTANG MENGHALALKAN HUTANG YANG BERBAKI SELEPAS KEMATIANNYA

 

PP_poster_21.jpg

Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya ada berhutang dengan kawan saya sejumlah wang yang agak besar yang saya bayar secara ansuran. Dia ada menyatakan bahawa jika hutang itu masih berbaki selepas kematiannya, maka baki hutang tersebut dia halalkan. Adakah perkara ini dibolehkan?

Ringkasan Jawapan:

  1. Menghalalkan hutang diikat selepas kematian pemiutang seperti apabila seseorang berkata “jika aku mati, baki hutang itu aku halalkan” dikira sebagai wasiat.
  2. Jika jumlah hutang yang dihalalkan tersebut tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah harta pemiutang selepas kematiannya, maka keseluruhan hutang itu dikira halal.
  3. Namun, jika jumlah hutang tersebut melebihi satu pertiga daripada hartanya, maka hutang yang melebihi satu pertiga itu tidak terus dikira halal, tetapi tertakluk kepada keizinan waris harta tersebut sama ada ingin menghalalkannya atau tidak.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, menghalalkan hutang dalam fiqh Islam dipanggil sebagai ibra’. Menurut Ensiklopedia Fiqh Kuwait (al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah), ibra’ bermaksud seseorang itu menggugurkan haknya yang terdapat pada orang lain.[1]

Pada asalnya, ibra’ yang diikat dengan syarat adalah tidak sah. Dr Muhammad al-Zuhaili menjelaskan bahawa antara syarat ialah ia mesti berlaku secara serta-merta dan tidak sah apabila diikat dengan syarat seperti apabila seseorang itu berkata “apabila tiba awal bulan, aku halalkan hutang kau”. Dalam keadaan ini, hutang tersebut tidak dikira halal walaupun perkara yang disyaratkan tersebut berlaku.[2]

Walau bagaimanapun, para ulama mengharuskan ibra’ yang diikat dengan kematian iaitu seperti apabila seseorang itu berkata “jika aku meninggal, maka hutang kau aku halalkan”. Namun, ia dikira sebagai wasiat dan tertakluk kepada perincian hukum-hakam dalam bab wasiat iaitu jumlah hutang yang dihalalkan tersebut mestilah tidak melebihi satu per tiga daripada keseluruhan harta si mati. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Shabramalisi ketika menjelaskan tentang ibra’:

أما المعلق به أي بالموت فهو وصية أي ففيه تفصيلها، وهو أنه إن خرج المبرأ منه من الثلث: برئ، وإلا، توقف على إجازة الورثة فيما زاد

Maksudnya: “(Ibra’) yang diikat dengan kematian ialah wasiat, maka ia tertakluk kepada perincian hukum wasiat iaitu jika jumlah yang dihalalkan itu kurang daripada satu per tiga (daripada keseluruhan harta), maka penghutang tersebut terlepas daripada hutang. Manakala jika jumlah yang dihalalkan tersebut melebihi satu per tiga, maka jumlah yang lebih itu bergantung kepada keizinan waris si mati (sama ada ingin mengizinkan atau tidak).”[3]

Justeru, menghalalkan hutang diikat selepas kematian pemiutang seperti apabila seseorang berkata “jika aku mati, baki hutang itu aku halalkan” adalah sah jika jumlah hutang yang dihalalkan tersebut tidak melebihi satu per tiga daripada jumlah harta pemiutang selepas kematiannya.

Namun, jika jumlah hutang tersebut melebihi satu per tiga daripada hartanya, maka hutang yang melebihi satu per tiga itu tidak dikira halal, tetapi tertakluk kepada keizinan waris harta tersebut sama ada ingin menghalalkannya atau tidak.

Kesimpulan

i. Menghalalkan hutang diikat selepas kematian pemiutang seperti apabila seseorang berkata “jika aku mati, baki hutang itu aku halalkan” dikira sebagai wasiat.

ii. Jika jumlah hutang yang dihalalkan tersebut tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah harta pemiutang selepas kematiannya, maka keseluruhan hutang itu dikira halal.

iii. Namun, jika jumlah hutang tersebut melebihi satu pertiga daripada hartanya, maka hutang yang melebihi satu per tiga itu tidak terus dikira halal, tetapi tertakluk kepada keizinan waris harta tersebut sama ada ingin menghalalkannya atau tidak.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

[1] Wizarah al-Auqaf wa al-Shu’un al-Islamiyyah, Al-Masu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dar al-Salasil: t.t), jld 1 hlmn 142.

وأما في الاصطلاح فهو إسقاط الشخص حقا له في ذمة آخر أو قبله.

[2] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Shafi‘i, (Beirut: Dar al-Qalam, 2011) jld 3, hlmn 458)

د- أن يكون الإبراء منجزأ، فلا يصح الإبراء المعلق كقوله إذا جاء رأس الشهر، أو إذا قدم فلان فأنت بريء من ديني، وإن وجد المعلق عليه لم يبرأ.

[3] Shamsuddin Muhammad bin Abi al-Abbas al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj ila Sharh al-Minhaj wa ma’ahu Hasyiat al-Shabramalisi wa Hasyiat al-Maghribi al-Rushaidi, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), jld 4 hlmn 442.