اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-914: ETIKA DALAM BERPOLITIK: ELAKKAN MEMPERMAINKAN PERKARA SUCI DALAM AGAMA

2.jpg

Pendahuluan

Arena politik di Malaysia sering kali dikaitkan dengan pelbagai isu moral dan akhlak termasuk tuduhan fitnah, caci-mencaci, penipuan, rasuah dan sebagainya. Lebih membimbangkan lagi, ada kalanya isu-isu berkaitan agama turut diperkatakan secara sambil lewa, seolah-olah mempersendakan kesuciannya. Situasi ini amatlah tidak wajar, terutamanya dalam kalangan ahli politik muslim.

Ahli politik muslim seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan ucapan mereka, terutamanya yang berkaitan dengan agama. Implikasi daripada perbuatan yang tidak bermoral dan meremehkan agama boleh memberi kesan yang serius terhadap akidah seseorang. Justeru, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) akan mengupas isu ini dengan lebih mendalam dari perspektif syarak.

Mizan Politik berasaskan Syura, Amanah dan Maslahah

Menurut perspektif Islam, prinsip syura, amanah, dan menimbang maslahah adalah tiang seri dalam membentuk sebuah sistem pemerintahan yang adil, telus, dan bertanggungjawab. Ia merupakan kerangka utama bagi ahli politik dan pemimpin untuk menjalankan tugas mereka demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Dengan prinsip syura, seseorang ahli politik hendaklah meminta pandangan daripada orang yang berilmu sama ada dalam bidang agama atau apa-apa bidang sekalipun sebelum membuat sesuatu polisi atau memberi sesuatu kenyataan awam. Allah SWT menyebut bahawa berpegang dengan sistem syura merupakan salah satu sifat yang sabit dalam seseorang mukmin. Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.”

Surau al-Syura (38)

Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa mengamalkan sistem syura bermaksud umat Islam perlu sentiasa bermesyuarat dan berbincang dalam urusan-urusan mereka, sama ada yang bersifat peribadi mahupun awam. Mereka tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian dalam isu-isu besar yang melibatkan kepentingan umum. Isu-isu ini termasuk pelantikan pemimpin, pengurusan hal ehwal negara dan perancangan untuk kemaslahatan rakyat, pengisytiharan perang, pelantikan para pentadbir, pemerintah, hakim, dan lain-lain.[1]

Dalam konteks seorang ahli politik, setiap keputusan yang diambil dan setiap kenyataan yang dibuat secara umum hendaklah mendapat pandangan daripada mereka yang mengetahui dalam bidang tersebut. Lebih-lebih lagi, setiap kenyataan ahli politik dinilai oleh orang awam boleh memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Setiap keputusan juga mesti dibuat dengan penuh amanah serta menimbang tara maslahah dan mafsadah yang akan datang daripada keputusan tersebut. Firmah Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا        

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Surah al-Nisa’ (58)

Etika Dalam Berpolitik

Islam telah menetapkan batas-batas syarak dan akhlak yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim dalam apa jua keadaan. Berpolitik tidak menjadi tiket bagi sesiapa pun untuk melanggar batas-batas tersebut. Setiap muslim yang terlibat dalam politik sama ada pimpinan, ahli sesebuah parti mahupun rakyat yang menyokong wajib mematuhi etika-etika yang telah ditetapkan oleh syarak antaranya:

  1. Berkata dengan perkataan yang baik dan benar.

Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَقُولُواْ قَوۡلٗا سَدِيدٗا          

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”

Surah al-Ahzab (70)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan hamba-Nya yang beriman untuk bertakwa kepada-Nya dan menyembah-Nya seolah-olah mereka melihat-Nya. Allah juga memerintahkan mereka untuk mengucapkan perkataan yang lurus, iaitu perkataan yang benar, tepat dan tidak ada penyelewengan padanya.[2]

Dalam konteks politik, setiap ucapan, janji dan kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli politik mestilah berlandaskan kebenaran, bukan rekaan atau fitnah demi kepentingan peribadi atau parti. Menyampaikan maklumat yang sahih adalah teras kepada integriti politik.

2.  Bersikap Tenang dan Tidak Terburu-buru dalam Mengeluarkan Perkataan

Islam mengajar umatnya untuk bersikap tenang dan tidak terburu-buru dalam mengeluarkan perkataan. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Abd al-Qais:

إِنَّ فِيكَ خصلتين يحبهما الله: ‌الحلم ‌والأناة

Maksudnya: “Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dicintai oleh Allah SWT iaitu sifat lemah lembut (tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan) dan sifat sabar (tenang dan teliti).”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa الحلم dalam hadis ini bermaksud berakal dan الأناة pula teliti dan tidak terburu-buru.[3] Dalam hadis lain pula Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda

التأني من الله والعجلة من الشيطان

Maksudnya: "Ketenangan itu daripada Allah dan sikap terburu-buru itu daripada syaitan."

(Riwayat al-Baihaqi)

Hadis-hadis ini mengajar kita untuk bersabar dan berfikir sebelum bertindak atau berkata-kata. Dalam arena politik yang sering menjadi perhatian media dan seluruh masyarakat, sikap tenang dan tidak terburu-buru adalah sangat penting. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atau kenyataan yang dikeluarkan tanpa penelitian boleh membawa kepada kesilapan besar, salah faham, dan bahkan perpecahan dalam masyarakat. Ahli politik perlu bijaksana dalam meneliti setiap perkara yang akan diucapkan dan sentiasa merujuk kepada fakta serta prinsip syarak sebelum melakukan sesuatu pengucapan di khalayak ramai.

  1. Tidak Mempersendakan dan Mempermainkan Agama

Memperolok-olok dan bergurau senda dengan perkara yang mulia dalam agama ialah perbuatan yang dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ

Maksudnya:Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Surah At-Taubah (65)

Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam tafsirnya bahawa ayat ini menempelak sikap golongan munafik yang memperolok-olokkan perkara agama kemudian memberi alasan mereka hanya bergurau-senda. Dalam ayat ini, memperolok-olok dengan Allah bermaksud mempermainkan nama Allah dan sifat-Nya. Maksud ayat-ayat Allah pula ialah al-Quran dan seluruh hukum-hakam agama. Manakala maksud memperolok-olok dengan Rasul pula seperti mempertikai risalah mereka, akhlak mereka dan perbuatan-perbuatan mereka.[4] Seluruh perkara ini adalah suci dalam agama Islam. Umat Islam tidak boleh berkata-kata tentang perkara agama ini dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu, apatah lagi menjadikannya sebagai bahan bergurau senda.

Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk menjauhi dan tidak duduk bersama individu atau kumpulan yang memperolok-olok, mendustakan atau menyelewengkan ayat-ayat Al-Quran termasuk melalui tafsiran batil yang berpunca daripada bid'ah atau hawa nafsu.[5] Firman Allah SWT:

وَإِذَا رَأَيْتَ ٱلَّذِينَ يَخُوضُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ ٱلذِّكْرَىٰ مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).”

Surah al-An’am (68)

Oleh itu, setiap muslim wajib menghindari daripada sewenang-wenangnya menyebut menyebut atau memperkatakan berkenaan perkara-perkara yang dimuliakan dalam agama.

 

Implikasi Perkataan Yang Merendah-rendahkan Perkara Suci Dari Sudut Akidah

Menghina dan merendah-rendahkan perkara suci dalam agama seperti sifat-sifat Allah, kitab, para malaikat, para rasul dan sebagainya termasuk daripada perkataan kufur apabila seseorang melakukannya dalam keadaan sedar dan sengaja. Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Fisal fi al-Milal wa al-Ahwa' wa al-Nihal bahawa:

وَصَحَّ بِالنَّصِّ أَن كل ‌من ‌اسْتَهْزَأَ ‌بِاللَّه تَعَالَى أَو بِملك من الْمَلَائِكَة أَو بِنَبِي من الْأَنْبِيَاء عليهم السلام أَو بِآيَة من الْقُرْآن أَو بفريضة من فَرَائض الدّين فَهِيَ كلهَا آيَات الله تَعَالَى بعد بُلُوغ الْحجَّة إِلَيْهِ فَهُوَ كَافِر.

Maksudnya: Sah melalui nas wahyu bahawa sesiapa yang mempersendakan Allah SWT, para malaikat-Nya, para nabi-Nya, ayat al-Quran atau kefarduan dalam agama dimana semua itu merupakan ayat-ayat Allah SWT, selepas tertegak baginya hujah maka dia menjadi kafir.[6]

Walau bagaimanapun, perkataan kufur yang terbit daripada lisan seseorang tidak semestinya terus dihukum sebagai kafir, bahkan dilihat daripada pelbagai sudut seperti dipaksa, tidak sengaja dan sebagainya. Bagi keadaan yang dipaksa, maka ucapan seseorang terhadap perkataan yang kufur tidak diambil kira apabila hatinya masih tenang tenteram dalam keimanan berdasarkan firman Allah SWT:

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.

(Surah al-Nahl: 106)

Selain itu, jika seseorang tersalah dalam kata-kata disebabkan oleh keadaan dirinya yang tidak terkawal dan tidak sengaja menyebutkannya, maka ia tidak dihukum dengan ucapannya tersebut. Hal ini seperti Imam Ibn Hajar dalam mensyarahkan hadis berkaitan seorang hamba yang tersilap mengucapkan ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu’ kerana terlampau gembira menukilkankan bahawa:

قال عياض: فيه أن ما قاله الإنسان من مثل هذا في حال دهشته وذهوله لا يؤاخذ به

Maksudnya: ‘Iyadh berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa apa yang disebut oleh manusia daripada perkataan seperti dalam keadaan yang sangat terkejut dan kebingungan adalah tidak diambil kira .[7]

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang tersilap dan terlanjur dalam kata-katanya yang dia tidak maksudkan disebabkan situasinya yang tidak sedar sepenuhnya disebabkan emosi, tekanan atau seumpamanya, maka ia tidak diambil kira dan tidak dihukum atas keterlanjurannya tersebut. Namun begitu sebaiknya seseorang yang terlanjur tersebut mengucapkan istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT atas ucapannya tersebut, disamping berazam untuk tidak mengulanginya pada masa yang akan datang dengan berhati-hati dalam menggunakan perumpamaan berkaitan perkara suci dalam Islam.

Penutup

Berdasarkan perbahasan di atas, kami menegaskan bahawa mempermainkan atau merendah-rendahkan perkara suci dalam agama ialah perbuatan yang dilarang keras dan boleh membawa kepada implikasi akidah yang serius, bahkan hingga tahap kufur jika dilakukan secara sedar dan sengaja. Perkataan yang melibatkan penghinaan terhadap Allah, Rasul, malaikat, dan syariat-Nya adalah sangat berat di sisi syarak, walau dengan niat bergurau sekalipun.

Di samping itu, perkataan dan ucapan seseorang yang terlanjur kata dalam menyebutkan perkara-perkara kufur disebabkan situasi yang dihadapi ketika mengucapkan hal itu, maka tidak diambil kira dan tidak dihukum atas perbuatan tersebut. Namun begitu, hendaklah kita lebih berhati-hati dalam membicarakan berkaitan perkara agama khususnya tentang perkara-perkara yang suci seperti Allah SWT, Nabi SAW, para malaikat, kitab-kitab suci dan seumpamanya.

Akhir kata, setiap umat Islam wajib menjaga etika dan batas-batas yang telah digariskan oleh syarak. Ahli politik dan masyarakat umumnya perlu berpegang teguh kepada prinsip syura berkata benar, bersikap tenang, tidak terburu-buru serta berlaku adil dan saksama dalam setiap tindakan dan ucapan. Mengabaikan etika ini bukan sahaja boleh menjejaskan maruah diri, malah turut membawa kepada perpecahan dan kemudaratan kepada agama dan negara.

WaAllahu’alam.

[1] Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-Shari’at wa al-’Aqidat wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1991), 25:81.

الأخذ بنظام الشورى: {وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ} أي يتشاورون فيما بينهم في الأمور الخاصة والعامة، ولا ينفردون برأي في كل أمر من القضايا العامّة، كتولي الحكم (أو الخلافة) وشؤون تدبير الدولة والتخطيط لمصالحها، وإعلان الحرب، وتولية الولاة والحكام والقضاة وغيرهم..

[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-’Azhim, (Arab Saudi:Dar Ibn al-Jauzi, 1431H), 6:253.

يقول تعالى آمرًا عباده المؤمنين بتقواه وأن يعبدوه عبادة من كأنه يراه وأن يقولوا {قَوْلًا سَدِيدًا} أي: مستقيمًا لا اعوجاج فيه ولا انحراف

[3] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabiy, 1392), 1:189.

وَأَمَّا الحلم فهو العقل وأما الأناة فهي التثبت وَتَرْكُ الْعَجَلَةِ

[4] Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-Shari’at wa al-’Aqidat wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1991), 10:290.

ثم يقسم الله بأنه إن سألتهم أيها الرسول عن أقوالهم هذه وهزئهم، لاعتذروا عنها بأنهم لم يكونوا جادّين فيها، بل هازلين لاعبين خائضين في اللغو بقصد التسلي واللهو، فوبخهم الله وأنكر عليهم بقوله: {أَبِاللهِ وَآياتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِؤُنَ} أي إن هذا ليس مجال استهزاء، ألم تجدوا ما تستهزئون به غير ذلك؟ فإن الاستهزاء بالله وآياته ورسوله كفر محض، وشر مستطير. والمراد بالاستهزاء بالله: الاستهزاء بذكر الله وصفاته، وتكاليف الله تعالى. والمراد بآيات الله: القرآن وسائر أحكام الدين، والاستهزاء بالرسول معلوم كالطعن برسالته وتطلعاته وأخلاقه وأعماله.

[5] Ibid, 7:247.

وإذا رأيت يا محمد وكل سامع مسلم الذين يخوضون في آيات القرآن بالتكذيب والاستهزاء، فانصرف عنهم ولا تجالسهم، حتى يخوضوا في غير حديث الكفر والاستهزاء والتكذيب. ومثلهم من يخوض في القرآن بتأويله تأويلا باطلا نابعا من البدع والأهواء والآراء الفاسدة، لا تجالسهم واتركهم

[6] Ibn Hazm, al-Fisal fi al-Milal wa al-Ahwa' wa al-Nihal, (Kaherah: Maktabah al-Khanji, t.t), jld. 3, hlmn. 142.

[7] Ibn Hajar al-’Asqalani, Fath al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari, (Kaherah: al-Maktabah al-Salafiah, 1390h), jld. 11, hlmn. 108.