Mukadimah
Sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu usul fiqh, apabila melalui perbahasan di dalam bab al-Qiyas khususnya berkenaan masalik al-illah (jalan-jalan untuk mengenalpasti illah), sudah pasti istilah tanqih al-manath, takhrij al-manath, dan tahqiq al-manath merupakan istilah yang biasa ditemui. Berikut kami perincikan berkenaan ketiga-tiga istilah tersebut berserta pengaplikasian setiap satu darinya.
Tanqih Al-Manath Dan Pengertiannya
Dari sudut bahasa, tanqih membawa maksud: Menyusun, membersihkan, atau membezakan. Lihat Irsyad al-Fuhul, al-Syaukani (2/641).
Manakala al-Manath adalah: ‘Illah.
Perkara pertama yang kita semua perlu fahami bahawa tanqih al-manath adalah merupakan suatu jalan daripada jalan-jalan untuk mengenalpasti illah sesuatu hukum. Ia agak berbeza dengan istilah al-Sabru wal-Taqsim yang mana ia juga merupakan di antara masalik al-illah (jalan-jalan untuk mengenalpasti illah).
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah ketika mendefinisikan tanqih al-manath: Syaari’ (Allah) telah menyandarkan hukum kepada suatu sebab dan turut disertai dengan beberapa ciri yang tidak ada kaitan dengan sandaran hukum. Maka wajib untuk dibuang ciri-ciri tersebut dari diambil kira. Lihat al-Mustasfa, al-Ghazali (3/488).
Manakala al-Imam al-Mawardi pula mentakrifkannya sebagai: Proses berijtihad dalam mendapatkan illah yang mana Syaari’ (Allah) mengikat hukum dengannya. Maka dikekalkan ciri-ciri yang sesuai dan dibuang ciri-ciri yang tidak sesuai. Rujuk Al-Tahbir Syarh al-Tahrir, al-Mawardi. (Hlm. 3333).
Imam Saifuddin al-Aamidi menyatakan: Tanqih al-Manath adalah proses penelitian dalam menentukan apa yang telah ditunjukkan oleh nas atas bentuk illah yang mana tidak ditentukan illah tersebut di dalam nas. Dengan cara membuang apa-apa yang tidak mempunyai kaitan untuk diambil kira daripada ciri-ciri lain yang turut terdapat di dalam nas. Lihat Muntaha al-Suul, Saifuddin al-Amidi. (Hlm. 218).
Kata Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullah: Tanqih dari segi bahasa bermaksud: Memperbetulkan atau membezakan. Manath pula membawa maksud: ‘Illah ataupun sebab. Manakala dari sudut istilah para usuliyyiin, tanqih al-manath membawa makna: Membersihkan illah daripada ciri-ciri atau sifat yang berkaitan dengannya yang mana ianya tidak termasuk/dikira sebagai illah. Lihat Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. (Hlm. 170).
Berdasarkan keempat-empat definisi di atas dapatlah kita fahami bahawa nas telah menunjukkan kepada hukum tertentu. Akan tetapi, turut terdapat bersama-sama hukum tersebut ciri-ciri yang banyak yang boleh dianggap sebagai illah hukum. Lalu seorang mujtahid melakukan proses pembuangan ciri-ciri yang tidak ada kaitan dengan illah.
Untuk memudahkan kefahaman, berikut merupakan contoh daripada hadis Nabi S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.anhu katanya:
أَتَى رَجُلٌ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ هَلَكْتُ وَقَعْتُ عَلَى أَهْلِي فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia berkata: “Binasalah aku, aku telah bersetubuh dengan isteriku pada bulan Ramadan”.
Sahih al-Bukhari (6164)
Di dalam hadis ini, seorang arab badwi telah bersetubuh dengan isterinya pada siang hari bulan Ramadhan secara sengaja. Lalu beliau datang dan mengkhabarkan hal tersebut kepada Nabi dan baginda memerintahkan kepadanya untuk melakukan kaffarah.
Hadis ini menunjukkan bahawa hukum tersebut (dikenakan kaffarah) mempunyai illah atau sebabnya yang tertentu. Akan tetapi di dalam hadis ini tidak dinyatakan kepada sifat tertentu yang menunjukkan ianya merupakan illah sebenar bagi hukum tersebut.
Ini kerana ia masih belum disusun dan dibersihkan darinya sifat-sifat yang tidak berkaitan dengan illah. Lalu datanglah seorang mujtahid dan beliau akan mengeluarkan illah yang hakiki (sebenar) daripada sifat-sifat lain yang turut serta bersamanya.
Sifat-sifat/ciri-ciri dalam hadis tersebut adalah seperti berikut:
- Bersetubuh dengan isterinya. Ciri ini tidak sesuai dijadikan sebagai illah. Ini kerana tidak ada beza dari sudut hukuman jika dia bersetubuh dengan hamba perempuan yang dimilikinya.
- Dia seorang arab badwi. Ciri ini juga tidak sesuai dijadikan illah Kerana hukum tersebut terpakai bagi sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan ini baik seorang hamba mahupun yang merdeka.
- Dia bersetubuh dengan isterinya di dalam bulan Ramadan tahun tersebut dan hari tersebut. Ini juga tidak sesuai dijadikan sebagai illah kerana hukum tidak berubah semata-mata disebabkan perubahan hari dan juga tahun.
- Dia bersetubuh dengan isterinya pada siang hari bulan Ramadan dengan sengaja.
Justeru, seorang mujtahid melihat dan meneliti beberapa ciri tersebut lalu memilih salah satu daripada kesemuanya untuk dijadikan sebagai illah dan membuang ciri- ciri yang tidak berkaitan. Proses inilah yang dinamakan sebagai tanqih al-manath yang merupakan satu jalan atau proses mengenalpasti illah.
Para fuqaha berbeza pendapat dalam menentukan illah hukum bagi hadis di atas kepada dua pandangan:
Pertama: Imam al-Syafie dan Imam Ahmad serta ashab keduanya berpandangan bahawa illah bagi hukum dalam hadis di atas adalah perbuatan bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan. Justeru di sisi mereka, perbuatan makan dan minum di siang hari tidak dikenakan kaffarah kerana ‘illah bagi kaffarah hanyalah kerana perbuatan bersetubuh.
Kedua: Para ulama mazhab Hanafi dan sebahagian fuqaha mazhab Maliki mengatakan ‘illah dikenakan kaffarah adalah disebabkan mencemarkan kemuliaan bulan Ramadhan.
Autoriti Tanqih Al-Manath
Tanqih al-Manath dianggap sebagai di antara masalik al- illah (jalan-jalan untuk mengenalpasti illah) yang paling kuat. Bahkan Imam Abu Hanifah Rahimahullah turut menggunakannya di dalam permasalahan kaffarah dalam keadaan beliau melarang penggunaan qiyas. Majoriti ulama al-Hanafiyah pula menamakan tanqih al-manath sebagai istidlal (proses pendalilan). Imam al-Subki dan al-Barmawi pula mengatakan bahawa tanqih al-manath merupakan masalik al-illah yang paling baik. Lihat al-Mustasfa, al-Ghazali (3/490).
Pengertian Takhrij Al-Manath
Takhrij dari sudut bahasa adalah istikhraj (proses mengeluarkan) dan juga istinbath. Manakala dari sudut istilah ia bererti: Menyandarkan hukum yang tidak disebutkan oleh syarak akan illahnya kepada sifat/ciri yang dirasakan sesuai pada penelitian seorang mujtahid dengan menggunakan al-Sabru wal-Taqsim. Lihat Syarah Mukhtasar al-Raudhah (3/242).
Syeikh Saifuddin al-Aamidi mendefinisikan takhrij al-manath dengan katanya: Adapun takhrij al-manath adalah proses melakukan penelitian dalam mensabitkan illah hukum asal dengan menggunakan ra’yi dan juga ijtihad. Lihat Muntaha al-Suul, Saifuddin al-Amidi. (Hlm. 218).
Manakala al-Imam al-Zarkasyi Rahimahullah pula menyebut dengan kata beliau: Adapun takhrij al-manath maka ia adalah proses ijtihad dalam mengeluarkan illah hukum yang tidak disebutkan illah tersebut di dalam nas ataupun ijma’ pada asalnya. Lihat Al-Bahru al-Muhiith, al-Zarkasyi (5/257).
Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullah mendefinisikan takhrij al-manath sebagai: Mengeluarkan illah hukum yang tidak ditunjukkan oleh nas dan juga ijma’ dengan melalui jalan-jalan untuk mengenalpasti illah seperti al-Sabru wal-Taqsim sebagai contoh. Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan. Hlm. 171.
Sebagai contohnya, ketika Rasulullah S.A.W bersabda:
الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ
Maksudnya: Emas dengan emas itu merupakan riba melainkan ia berlaku secara taqabudh (penyerahan di antara dua barang) dan juga sama berat atau setanding. Begitu juga barli dengan barli melainkan ia berlaku secara taqabudh (penyerahan di antara dua barang) dan juga sama berat atau setanding. Serta tamar dengan tamar melainkan ia berlaku secara taqabudh (penyerahan di antara dua barang) dan juga sama berat atau setanding.
Riwayat al-Bukhari (2174)
Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan perkara-perkara yang berlaku padanya riba. Maka menjadi peranan bagi seorang faqih mengeluarkan illah riba berlaku pada beberapa asnaf tersebut dan proses pengeluaran illah inilah yang dipanggil sebagai takhrij al-manath.
Dalam kata lain, proses untuk sampai kepada illah pengharaman arak adalah memabukkan, illah al-wilayah (wali) dalam pernikahan adalah kerana kecil, illah yang mewajibkan qisas di dalam pembunuhan secara sengaja adalah membunuh dengan alat yang cirinya boleh membunuh menurut kebiasaannya, inilah yang dinamakan sebagai takhrij al-manath.
Ataupun boleh juga kita nyatakan agar mudah untuk difahami, bahawa takhrij al-manath adalah: Terdapatnya hukum syarak yang telah dinaskan ke atasnya. Akan tetapi, illah pengharaman tidak dijelaskan bersama. Justeru, seorang mujtahid melakukan ijtihad untuk mengenalpasti illah hukum tersebut.
Contoh: Nas menyebut tentang pengharaman arak. Akan tetapi, illah pengharaman tidak dinyatakan bersama di dalam nas. Menjadi peranan bagi seorang faqih untuk mencari ‘illah pengharaman tersebut. Maka proses mengeluarkan illah hukum ini yang kita namakan sebagai takhrij al-manath.
Pengertian Tahqiq Al-Manath
Yang dimaksudkan dengan tahqiq al manath adalah proses meneliti, mengkaji, dan mengenalpasti dalam mentahqiqkan illah yang telah sabit dengan nas, atau ijma’, atau istinbath, pada kejadian atau permasalahan yang tidak terdapat padanya nas.
Contoh daripada hadis Nabi S.A.W adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah R.anhu berkenaan sabda baginda tentang kucing:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ
Maksudnya : “Sesungguhnya ia bukanlah najis. Ia adalah di antara haiwan yang selalu berlegar-legar di sekeliling kalian”.
Sunan al-Nasaie (340)
Hadis di atas jelas menunjukkan nas hukum bahawa sucinya kucing dan baki jilatannya. Juga jelas menunjukkan illah hukum iaitu ia merupakan haiwan yang sering berlegar-legar di sekeliling manusia.
Akan tetapi, adakah hukum ini juga terpakai kepada tikus ? Maka dalam hal ini seorang mujtahid perlu melakukan tahqiq al-manath dalam proses mengaplikasikan kewujudan illah pada furu’ (cabang).
Contoh lain adalah firman Allah S.W.T:
وَيَسَۡٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡمَحِيضِۖ قُلۡ هُوَ أَذٗى فَٱعۡتَزِلُواْ ٱلنِّسَآءَ فِي ٱلۡمَحِيضِ وَلَا تَقۡرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطۡهُرۡنَۖ
Maksudnya: Dan mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) berkenaan haid. Katakanlah bahawa ia merupakan satu kotoran maka asingkanlah diri dengan para isteri ketika mereka dalam haid dan janganlah kalian mendekati (untuk bersetubuh) mereka sehinggalah mereka suci.
Surah al-Baqarah (222)
Di dalam ayat ini terdapat nas hukum larangan menjauhi isteri untuk bersetubuh dengan mereka dalam tempoh haid mereka. Illah menjauhi isteri ketika haid adalah disebabkan kotoran.
Lalu seorang mujtahid melakukan penelitian untuk mentahqiqkan illah ini kepada nifas pula. Jika dia mendapati illah yang sama iaitu kotoran terdapat pada nifas maka dia melakukan qiyas padanya dan mengambil hukum yang asal kepada furu’ (cabang) iaitu kewajipan menjauhi isteri ketika nifas.
Contoh lain: Illah pengharaman arak adalah memabukkan. Lalu seorang mujtahid mengkaji dan meneliti untuk tahqiqkan illah ini kepada setiap nabiz yang lain. Sekiranya dia mendapati bahawa illah itu terpakai padanya maka dia mengembalikan hukum asal kepada furu’ (cabang) iaitu keharaman meminumnya.
Persamaan Dan Perbezaan Di Antara Tanqih, Takhrij, Dan Tahqiq Al-Manath
Persamaan di antara ketiga tiga ini adalah: Ketiga-tiganya ini merupakan proses yang berkaitan dengan al-manath ataupun nama lainnya adalah illah.
Manakala perbezaan di antara ketiga-tiga proses tersebut adalah seperti berikut:
- Tanqih al-Manath adalah pembersihan illah daripada sebarang perkara yang bercampur dengannya yang mana perkara tersebut bukan darinya serta tidak memberi kesan terhadap illah.
- Takhrij al-Manath adalah proses mengeluarkan illah yang tidak dinaskan ke atasnya dan tidak berlaku ijmak terhadapnya dengan mana-mana cara yang dapat membantu kita mengenalpastinya.
- Tahqiq al-Manath pula adalah proses penelitian dan pengkajian terhadap kewujudan illah asal pada furu’ (cabang).
Perbezaan Di Antara Illah, Sebab Dan Hikmah.
Kedua-duanya sekalipun dilihat hampir sama di antara satu sama lain, akan tetapi terdapat perbezaan di antaranya seperti berikut:
Illah: Di antara illah dengan hukum terdapat kemunasabahan dari sudut akal. Sebagai contoh: Illah pengharaman arak adalah memabukkan. Akal dapat mencapai relevannya di antara memabukkan dengan hukum haram.
Sebab: Munasabahnya dengan hukum telah diletakkan oleh syarak dan bukannya dari sudut akal. Sebagai contoh, tergelincirnya matahari merupakan sebab wajibnya solat zohor. Sebab ini tidak dapat dicapai oleh akal akan tetapi ianya merupakan sebab yang telah ditetapkan oleh syarak. Contoh lain adalah kefardhuan berpuasa Ramadhan disebabkan kelihatannya hilal iaitu anak bulan.
Hikmah: Ia merupakan suatu yang dapat difikirkan kemunasabahannya menggunakan akal. Dari sudut ini, ia sama seperti ‘illah. Akan tetapi, yang membezakan di antara keduanya adalah hikmah tidak berkaitan dengan hukum. Sebagai contohnya: Di antara hikmah pensyariatan puasa adalah untuk menyelami keadaan dan perasaan orang miskin serta untuk mengekang hawa nafsu. Hikmah sebegini tidak berkaitan dengan hukum.
Penutup
Akhir kalam, perbahasan mengenai qiyas adalah sangat penting untuk difahami. Ini kerana, begitu banyak isu-isu semasa yang berlaku yang berhajat kepada hukum. Dengan menekuni isu illah, banyak hukum semasa yang dapat diselesaikan. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar kita semua diberikan kefahaman yang baik dalam mendalami isu ini dengan lebih lanjut. Ameen.