اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-14 : PERANAN MAJLIS RAJA-RAJA DALAM PENENTUAN AWAL BULAN HIJRI

BAYAN FALAK 08 01

 

Pengenalan

Pemerintahan beraja telah wujud dalam sistem sosial di negeri-negeri Melayu sejak berabad lamanya. Di dalam sistem beraja ini, raja mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik khususnya sebelum penjajahan inggeris[1].

Penubuhan Majlis Raja-Raja.

Pada tahun 1948, Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan secara formalnya apabila Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan. Ia bagi menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (durbar). Sebelum Persekutuan wujud, sembilan Negeri-negeri Melayu dan dua Negeri-negeri Selat (British Straits Settlements) telah ditadbir sebagai Malayan Union di bawah pemerintah tertinggi seorang Gabenor British, iaitu di antara 01.04.1946 dan 31.01.1948. Singapura yang juga adalah sebuah Negeri Selat telah dipisahkan sebagai Tanah Jajahan British (British Crown Colony). Malayan Union menggantikan Pentadbiran Tentera British (British Military). Administration (September 1945-April 1946) yang memerintah sementara selepas kekalahan Jepun yang menakluki Negara ini dari akhir 1941 hingga September 1945[2].

Apabila Negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Antara fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut[3] :
⮚ Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan - peruntukan Jadual Ketiga;
⮚ Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;
⮚ Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan ini memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-raja;
⮚ Melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;
⮚ Memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42

dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar Imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.

Apabila Majlis Raja-raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka.

Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-raja.

Pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dengan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Dalam urusan penentuan awal bulan hijri, Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat Kali Yang Ke-92 pada 15 dan 16 Mac 1972 telah bersetuju supaya penetapan tarikh permulaan Puasa, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji meliputi seluruh Malaysia. Sebelum tahun 1972, urusan penetapan Puasa, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing[4].

Bagi penentuan awal bulan hijri, tiga bulan penting bagi umat Islam iaitu bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah di Malaysia adalah berdasarkan satu kriteria kebolehnampakan hilal atau disebut sebagai imkan al-rukyah. Kriteria imkan al-rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan baru, apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang kemungkinan kenampakannya dan hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat[5] berikut :
a) Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung (bulan-matahari) tidak kurang daripada 3°.
ATAU
b) Ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku).

Namun, bermula pada tahun 2021 bersamaan 1443H kriteria imkan al-rukyah yang baru telah diimplementasi dengan menggunakan ketinggian bulan diatas ufuk adalah tidak kurang daripada 3 darjah, jarak elongasi bulan dan matahari adalah tidak kurang daripada 6.4 darjah dan umur bulan tidak lagi terpakai[6].

Justeru, bagi menetapkan penentuan awal bulan hijri tersebut Majlis Raja-Raja telah melantik satu jawatankuasa melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) iaitu Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya Puasa pada tahun 1970 yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah BAHEIS. Jawatankuasa ini telah ditubuh semula dalam bentuk baru pada tahun 1982 sepertimana yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-123 pada 18 Februari 1982. Ahli-ahlinya terdiri daripada:
1) SS Mufti negeri-negeri
2) Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)
3) Pakar-pakar dalam bidang ilmu falak.

Kemudian, nama jawatankuasa ini telah dipinda kepada Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa Dan Hari Raya selepas negara Malaysia menentukan Aidiladha berpandukan rukyah hilal Zulhijjah sendiri pada tahun 1994. Kini, jawatankuasa tersebut dikenali dengan nama Jawatankuasa Rukyah Negeri dan Jawatankuasa Falak Negeri.

Dalam konteks pengisytiharan tarikh melihat hilal, awal puasa dan awal raya, jawatankuasa tersebut bersama Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mendapatkan laporan keseluruhan cerapan yang dilaksanakan oleh semua pusat pencerapan pada tarikh melihat anak bulan (29hb) bulan sebelumnya.

Laporan yang diterima daripada pegawai pencerapan adalah meliputi fakta waktu mencerap dan keadaan cuaca ketika mencerap. Apabila selesai, laporan tersebut akan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenan. Setelah itu, pengisytiharan tarikh permulaan puasa dan hari raya akan dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen[7].

Kesimpulan
Institusi Majlis Raja-Raja di Malaysia adalah sebuah institusi yang memainkan peranan yang sangat penting dalam hal-hal pentadbiran negara khususnya dalam hal-hal pentadbiran yang berkaitan dengan agama Islam. Penentuan awal bulan hijri ini, ia dititikberatkan kerana ianya berkaitan dengan urusan agama serta ibadah bagi seluruh umat Islam di negara ini.

Rujukan

[1] Muslim, N. (2014). Institusi Raja-Raja Melayu: peranannya dalam memelihara kedudukan Islam dari sudut perlembagaan. Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu (Iman), 2(2), 121-127.
[2] Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan, Julai 2022
[3] Perlembagaan Persekutuan Malaysia, hlmn. 35-36.
[4] Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan, Julai 2022.
[5] Nawawi, M. S. A. M., Man, S., Zainuddin, M. Z., Wahab, R. A., & Zaki, N. A. (2015). SEJARAH KRITERIA KENAMPAKAN ANAK BULAN DI MALAYSIA. Journal of al-Tamaddun, 10(2).
[6] Zainuddin, M. Z., Nawawi, M. S. A. M., & dan Usul, J. F. KRITERIA IMKANUR RUKYAH YANG BARU 1443 HIJRAH.
[7] Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan, Julai 2022.