اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Perutusan Mufti

 

muftiwp

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين والعاقبة للمتقين ولا عدوان الا على الظالمين وأشهد ألا اله الا الله وحده لا شريك له وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وعلى آله وصحبه وسلم تسليما كثيرا

Alhamdulillah, dikesempatan ini saya mengucapkan selamat datang ke portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang melayari portal ini. Seiring dengan kemajuan era globalisasi dan perkembangan teknologi yang memerlukan capaian maklumat hanya di hujung jari, PMWP tidak ketinggalan dalam arus semasa menggunakan medium ini. Portal yang sebelum ini memberikan kemudahan dan impak positif kepada masyarakat dan pemegang taruh dalam mencari maklumat khususnya berkaitan hukum-hakam agama akan sentiasa ditambah baik demi penyampaian maklumat dan perkhidmatan dengan lebih sempurna. PMWP yang diamanahkan untuk mengurus hal-hal yang berkaitan dengan hukum dan fatwa serta juga beberapa aspek pentadbiran agama Islam di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) akan berusaha memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan sebaiknya. Sebahagian perkhidmatan itu dapat diakses melalui portal PMWP.

Justeru, dalam meneruskan Visi dan Misi PMWP pembangunan laman portal ini akan menjadi saluran lebih mudah dan cekap dalam penyampaian ilmu dan perkongsian maklumat seterusnya dapat membantu menyelesaikan persoalan yang timbul khususnya di kalangan masyarakarat Islam di Wilayah Persekutuan. Penampilan imej baru portal ini, membolehkan PMWP menyampaikan penerangan dan kefahaman Islam kepada masyarakat dengan lebih efektif dan mesra pengguna.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan kali ini ialah pengaktifan dwi bahasa ke dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Ini adalah dalam rangka usaha PMWP untuk melebar luaskan akses kepada capaian yang lebih luas dan juga dikenali di persada antarabangsa.

PMWP memberi komitmen yang tinggi untuk mengemaskini portal ini dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatannya dapat disalurkan dengan cekap. Bagi memastikan kejayaan komitmen ini PMWP bersikap terbuka untuk menerima sebarang komen yang membina melalui saluran-saluran yang disediakan.

Akhir kalam, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pembangunan dan penambahbaikan portal ini. Semoga usaha ini diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sekian.

S.S. Datuk Prof Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah
Mufti Wilayah Persekutuan