اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #3: MAHKAMAH SYARIAH SARAWAK BOLEH KENDALIKAN KES MURTAD

ALHAMDULILLAH…

  1. Kami memanjatkan pujian dan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah SWT atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Kuching, Sarawak semalam yang memihak kepada pihak-pihak responden daripada Jabatan Agama Islam Sarawak, Majlis Agama Islam Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan bersejarah dalam semakan kehakiman yang menolak alasan peguam para perayu bahawa Mahkamah Syariah Sarawak tidak memiliki kuasa untuk mendengar kes permohonan murtad.
  2. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dalam penghakimannya di Kuching hari ini berkata Seksyen 68 dan 69 dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 boleh diguna pakai untuk sesi perdengaran kes murtad di Sarawak. Keputusan yang merupakan keputusan sebulat suara bersama empat orang hakim lain iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha menetapkan bahawa permohonan untuk keluar agama Islam oleh empat orang perayu tersebut hanya boleh dimulakan di Mahkamah Syariah, dan bukan Mahkamah Tinggi Sivil. Keputusan ini bagi kami adalah amat penting bagi memperbaiki persepsi dan mengiktiraf kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia yang dianggap oleh sebahagian pihak sebagai lebih rendah daripada Mahkamah Sivil, sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah menjamin bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah yang dilaksanakan mengikut negeri.
  3. Dengan keputusan ini, kami berharap sebelum pihak-pihak perayu meneruskan hasrat mereka untuk keluar Islam, pihak berkuasa agama Islam dan pihak-pihak terbabit seperti institusi zakat segera mengambil langkah proaktif untuk memahami dan menyelesai masalah sebenar yang dihadapi oleh para perayu sama ada berbentuk pendidikan, psikologi, dan kebajikan. Ini kerana kami yakin sekiranya agama Islam dipersembahkan dengan tepat dan bijaksana, tiada seorang pun yang akan sewenang-wenangnya meninggalkan agama ini. Tanggungjawab ini juga perlu dipikul oleh alim ulama dan para pendakwah untuk memastikan imej Islam sebagai agama rahmah dan mawaddah berjaya direalisasikan pada pandangan orang bukan Islam.
  4. Sesungguhnya keputusan ini bukanlah satu 'kemenangan' tetapi satu ruang masa yang diberikan-Nya untuk kita lebih menekuni tadbir urus Islam yang diamalkan dan memperkasa usaha dakwah dan penerangan kepada masyarakat Muslim dan juga bukan Muslim.
  5. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati netizen dan umat Islam khususnya untuk tidak bersikap provokatif dan emosional dalam mendepani isu ini. Zahirkan akhlak Muslim yang terpuji dan imej yang baik. Contohilah semangat muhibah dan kematangan masyarakat Sarawak yang cukup memelihara semangat perpaduan walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya. 
  6. Kami juga ingin menguar-uarkan program Klinik Hukum dan Fatwa di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang sudah dilancarkan lebih setahun lepas. Kami bersedia mendengar permasalahan atau persoalan berkenaan Islam yang dihadapi oleh masyarakat awam samada Muslim mahupun bukan Muslim. Program diadakan pada setiap hari Jumaat di masjid-masjid seluruh Wilayah Persekutuan, juga pada hari bekerja bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan WP Putrajaya. Sehingga kini, ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada Muslim dan bukan Muslim. Kami berharap usaha ini diterima Allah SWT sebagai bentuk dakwah kami menyebarkan Islam dengan aman dan harmoni di bumi Malaysia yang tercinta ini.
     

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan