BAYAN LINNAS SIRI KE-243: ISU PENGGUGURAN KANDUNGAN KERANA BIMBANG DIJANGKITI COVID-19

bl243

PENDAHULUAN

Mutakhir ini, kita melihat banyak kematian ibu yang melahirkan anak disebabkan wabak Covid-19. Situasi sebegini sangat membimbangkan kerana sehingga kini terdapat lebih 70 kes kematian membabitkan ibu hamil kerana dijangkiti wabak Covid-19 yang dilaporkan dari Mac 2020 sehingga 8 Ogos lalu. Manakala peratus ibu hamil dijangkiti Covid-19 ialah hampir satu peratus, 1%. Peratusan ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan rapi pula ialah sebanyak 5.3% pada 7 Ogos lalu.[1]

Selain itu, wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 mengalami kadar kelahiran pra matang yang lebih tinggi dan terdapat juga risiko bayi mati dalam perut sebelum kelahiran.[2] Kebiasaannya apabila ibu mengandung dijangkiti wabak Covid-19 dan berada dalam situasi kritikal iaitu peringkat ke-4 atau ke-5 maka, doktor terpaksa mengeluarkan bayi melalui pembedahan kecemasan atau disebut sebagai emergency caesarean. Hal ini demi menyelamatkan nyawa ibu dan sekaligus nyawa bayi.

Oleh yang demikian, timbul saranan dan desas-desus daripada sesetengah pihak supaya wanita mengandung menggugurkan kandungan mereka sejak awal kehamilan lagi kerana bimbang risiko yang besar dan komplikasi yang teruk mereka sekiranya dijangkiti wabak Covid-19. Justeru, Bayan Linnas kali ini akan mengupas isu “Pengguguran Kandungan kerana Bimbang Dijagkiti Wabak Covid-19” menurut perspektif syarak.

HUKUM MENGGUGURKAN ANAK

Para fuqaha bersepakat mengatakan hukum menggugurkan kandungan yang berusia lebih 120 hari adalah haram kerana janin tersebut sudah ditiupkan roh. Manakala bagi kandungan yang berusia kurang 120 hari, para fuqaha berselisih pandangan dalam masalah ini. Majoriti ulama berpandangan hukumnya adalah haram menggugurkan kandungan tersebut. Namun, sebahagian daripada mereka mengatakan hukumnya adalah makruh. Sebahagian yang lain pula memperincikan bahawa hukumnya adalah harus sekiranya terdapat keuzuran (Rujuk: Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 2/56).[3]

Menurut pandangan Ibn Hajar al-Haitami dalam Mazhab Syafie, hukum menggugurkan janin sekalipun sebelum usia 120 hari adalah haram melainkan atas sebab darurat  (Rujuk: Tuhfah al-Habib, 4/83).[4] Pandangan inilah yang menjadi pengamalan di Malaysia yang mana perbuatan menggugurkan janin adalah diharamkan melainkan atas faktor-faktor tertentu seperti kehamilan tersebut boleh mengancam nyawa ibu atau perempuan yang mengandung akibat perbuatan rogol.

Hal yang demikian kerana perbuatan menggugurkan kandungan adalah suatu bentuk jenayah terhadap makhluk yang hidup yang mana perbuatan tersebut menyebabkan pelakunya dikenakan hukuman di dunia dan di akhirat (Rujuk: Fiqh al-Sunnah, 2/195).[5] Selain itu, Nabi SAW melarang kita daripada melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. Sabda Baginda SAW:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain”.

[Riwayat Ibnu Majah (1/313) dan Ahmad (2/784)]

Pengguguran adalah suatu perbuatan yang boleh memudaratkan janin kerana tindakan tersebut adalah bertujuan mematikannya. Ia juga boleh memudaratkan nyawa si ibu kerana dalam beberapa keadaan, perbuatan menggugurkan janin boleh menyebabkan pendarahan yang teruk pada ibu dan seterusnya mengancam nyawanya.

Hal ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 yang menyatakan berkaitan persoalan hukum mengugurkan kandungan di atas nasihat doktor disebabkan kecacatan. Secara ringkasnya, fatwa tersebut menyatakan:

  • Menurut Ijmak fuqaha, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
  • Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami isteri.
  • Ijmak fuqaha berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Justeru, hukum menggugurkan kandungan sekalipun ketika kandungan berusia kurang daripada 120 hari adalah tidak dibenarkan melainkan atas faktor kesihatan sehingga boleh membahayakan nyawa ibu sebagaimana yang telah disebutkan.

Di samping itu, menurut perspektif undang-undang, beberapa seksyen diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan (Pindaan) 1989 (Akta A727) jelas memperuntukkan hukuman bagi kesalahan yang berkait dengan jenayah pengguguran bayi. Antaranya seksyen 312 dengan jelas menyatakan hukuman bagi kesalahan menyebabkan keguguran. Seksyen ini memperuntukkan: “Barangsiapa dengan sengaja menyebabkan seorang perempuan yang hamil gugur hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, dan jika perempuan itu mengandung anak yang telah bersifat, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda” (Rujuk: Issue in Medical Law and Ethic, hlm. 205).

Oleh yang demikian, tidak dibolehkan bagi seorang wanita menggugurkan kandungan kerana bimbang sekiranya dijangkiti wabak Covid-19 yang mana boleh membawa kepada implikasi kesihatan yang serius. Hal ini disebabkan perkara tersebut adalah sangkaan yang belum berlaku. Oleh yang demikian, sangkaan sebegini tidak boleh mengharuskan perbuatan menggugurkan kandungan yang dilarang oleh agama. Dalam hal ini para ulama menjelaskan sesuatu syariat tidak boleh dibina di atas perkara sangkaan semata-mata. Antaranya Sheikh Ibn Asyur menjelaskan:

فعلمنا أن البناء على الأوهام مرفوض في الشريعة إلا عند الضرورة، فقضينا بأن الأوهام غير صالحة لأن تكون مقاصد شرعية

Maka kita telah mengetahui bahawa syariat yang terbina dengan jalan sangkaan adalah ditolak dan tidak diterima melainkan dalam keadaan darurat, maka kita menghukumkan bahawa sangkaan itu tidak boleh dijadikan sebagai tujuan syarak (maqasid syariah) kecuali dalam keadaan darurat. (Rujuk: Ibn Asyur, Maqasid al-Syariah, hlm. 255).

Sebagai contoh, satu permasalahan yang dinyatakan oleh Imam al-Mazari dalam kitabnya: Seseorang lelaki takut untuk menikah kerana merasakan semua wanita di dunia ini adalah saudara perempuaan susuannya. Bahkan akal turut mengiktiraf kemungkinan ini kerana boleh sahaja dia disusukan oleh mana-mana ibu susuan sewaktu dia kecil. Maka hal tersebut menyebabkan dia menjauhi semua wanita atas sangkaan ini. Oleh yang demikian, sangkaan sebegini adalah tertolak dan tidak boleh diterima di sisi syarak (Rujuk: al-Mazari, al-Mu’lim bi Fawaid Muslim, 2/204).[6]

Begitu juga sekiranya perempuan yang hamil ingin menggugurkan kandungan kerana menyangka dirinya akan dijangkiti Covid-19 maka hal tersebut menyebabkan semua perempuan yang hamil ketika ini ingin menggugurkan kandungan sekalipun perkara tersebut belum berlaku.

MENGAMBIL VAKSINASI DAN MERANCANG KEHAMILAN

Namun, kami memahami kebimbangan para ibu hamil di luar sana tentang kesihatan diri mereka pada musim Covid-19 ini. Justeru, kami mencadangkan para ibu hamil sentiasa meminta nasihat doktor untuk memastikan kesihatan mereka dan kandungan berada dalam keadaan yang baik. Di samping itu, mereka boleh berusaha membendung jangkitan yang serius akibat Covid-19 dengan mengambil suntikan vaksinasi. Hal ini adalah sejajar dengan usaha dan saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Di samping itu, bagi ibu-ibu yang belum mengandung dan bimbang kesihatan mereka pada musim sekarang, bolehlah mereka merancang kehamilan sehingga suatu tempoh yang dirasakan agak selamat. Langkah-langkah sebegini adalah suatu ikhtiar yang diharuskan di sisi syarak.

KESIMPULAN

Hukum menggugurkan kandungan sekalipun ketika kandungan berusia kurang daripada 120 hari adalah haram melainkan atas faktor kesihatan sehingga boleh membahayakan nyawa ibu sebagaimana yang telah disebutkan. Perbuatan pengguguran ini jelas bertentangan dengan agama, fatwa dan undang-undang di Malaysia. Begitu juga syariat tidak membenarkan seorang wanita menggugurkan kandungan kerana bimbang sekiranya dijangkiti wabak Covid-19. Hal ini disebabkan perkara tersebut adalah sangkaan yang belum berlaku. Sangkaan sebegini tidak boleh mengharuskan perbuatan menggugurkan kandungan yang ditegah dalam agama.

Justeru, kami menasihatkan ibu hamil mengambil langkah pencegahan yang lain seperti mengambil suntikan vaksinasi, menjaga SOP dan merancang kehamilan bagi yang belum bersedia untuk hamil. Langkah-langkah pencegahan sebegini adalah suatu ikhtiar yang diharuskan di sisi syarak dan selari dengan saranan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Rujukan

Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad bin Umar, Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1996).

Al-Mazari, Muhammad bin Ali bin Umar, al-Mu’lim bi Fawaid Muslim (Tunisia: Dar al-Hikmah, 1987).

Al-Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah (Mesir: Dar al-Hadis, 2004).

Ibn Asyur, Muhammad al-Tahir, Maqasid al-Syariah (Amman: Dar al-Nafais, 2001).

Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah (Mesir: Dar al-Safwah, 2007).

Puteri, N.J.K, & Abu Haniffa Mohamed Abdullah (Eds), Issue in Medical Law and Ethic (Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia, 2007).

https://www.utusan.com.my/berita/2021/08/covid-19-ibu-hamil-terancam-78-meninggal-dunia-sejak-januari/

https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2020/09/732818/wanita-hamil-dijangkiti-covid-19-lebih-berisiko-berdepan-komplikasi


طباعة   البريد الإلكتروني