اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-412: PERBEZAAN AL-GHUFRAN DAN AL-MAGHFIRAH DI DALAM AL-QURAN

 

ih412_15291523.png

 

Soalan: Apakah perbezaan di antara al-Ghufran (الغفران) dan al-Maghfirah (المغفرة)?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalam al-Quran juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya. Antaranya adalah rahsia dari sudut penggunaan kalimah di dalam al-Quran itu sendiri.

Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan perbezaan di antara al-Ghufran (الغفران) dan al-Maghfirah (المغفرة) di dalam al-Quran. Sebelum kita melihat kepada perbezaan penggunaan dua kalimah ini di dalam al-Quran, Imam al-Raghib al-Ashbahani menyatakan al-Ghufran dan al-Maghfirah membawa maksud pemeliharaan Allah terhadap hamba-Nya daripada terkena azab-Nya. [Lihat: Mufradat Alfaz al-Quran, 609] Di samping itu juga, kalimah al-Ghufran (الغفران) disebutkan sekali sahaja di dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Baqarah:

 

Firman Allah SWT:

وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

al-Baqarah: 285

Maksudnya: “Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan), keampunan-Mu wahai Tuhan kam, dan kepada-Mu jualah tempat kembali.”

 

Manakala kalimah al-Maghfirah (المغفرة) pula disebutkan sebanyak 28 kali di dalam al-Quran. Antaranya:

 

Firman Allah SWT:

وَاللَّـهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ

al-Baqarah: 221

Maksudnya: “Sedangkan Allah mengajak ke Syurga serta memberi keampunan dengan izin-Nya.”

 

Menurut Dr. Fadhil Soleh al-Samira’iy di dalam bukunya ada menyebutkan perbezaan di antara kedua lafaz ini walaupun keduanya membawa maksud keampunan. Terdapat dua perbezaan dalam penggunaan al-Quran terhadap dua kalimah ini, iaitu: [Lihat: Min Asrar al-Bayan al-Qur’ani, 19]

  • Pertama: Kalimah al-Ghufran ini digunakan dalam menuntut keampunan iaitu di dalam bab berdoa dan tidak digunakan kalimah al-Maghfirah di dalam berdoa.
  • Kedua: Kalimah al-Ghufran hanya milik atau bagi Allah sahaja. Adapun, kalimah al-Maghfirah lebih umum dan ia meliputi sama ada daripada Allah ataupun daripada selain daripada Allah SWT. Antara buktinya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 

Firman Allah SWT:

 

وَاللَّـهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا

al-Baqarah: 268

Maksudnya: “Sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaan-Nya.”

 

Ayat ini menunjukkan keampunan itu datangnya daripada Allah SWT. Adapun ayat yang seterusnya ini menunjukkan bahawa keampunan itu juga datang selain daripada Allah SWT:

Firman Allah SWT:

 

قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى

al-Baqarah: 263

Maksudnya: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik serta memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.”

 

Untuk itu, kedua kalimah ini membawa maksud yang sama iaitu keampunan. Akan tetapi, dari sudut penggunaan berbeza iaitu kalimah al-Ghufran lebih khusus iaitu hanya untuk Allah. Manakala, kalimah al-Maghfirah itu lebih umum penggunaannya bukan hanya terhada kepada Allah semata-mata, bahkan ia juga digunakan kepada selain daripada Allah.

 

Penutup

Kesimpulannya, di dalam al-Quran terdapat banyak rahsia-rahsia yang menunjukkan kehebatan al-Quran yang merupakan Kalam Allah SWT. Ini kerana, setiap perkataan atau kalimah yang digunakan ada rahsia-rahsianya yang tersendiri dan hanya orang yang betul-betul mentadabbur makna-makna di dalam al-Quran mengetahui akan hakikat ini Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Amin.

 

Wallahua’lam