Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #107 : NIKMAT MELIHAT ALLAH SWT DI SYURGA

afkar 107 melihat allah

 

Soalan:

Adakah kita boleh melihat Allah SWT di syurga kelak? 

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Nikmat melihat Allah SWT di syurga

Ulama Ahlussunnah wal Jamaah telah bersepakat bahawa melihat Allah SWT adalah suatu yang tidak mustahil dari sudut aqal, dan wajib pula melalui dalil-dalil sam’iy. Mereka juga bersepakat bahawa orang-orang mu’min akan melihat-Nya di akhirat kelak. Adapun pandangan sebahagian golongan Muktazilah, Khawarij, Jahmiyyah dan Murji’ah yang mendakwa Allah SWT tidak boleh dilihat di syurga, ia merupakan dakwaan batil yang bercanggah dengan dalil al-Qur’an, al-Sunnah, ijma’ para sahabat R.’Anhum serta para salafussoleh. (Rujuk Syarh al-‘Aqidah al-Tohawiyyah oleh Imam Ibn Abi al-‘Izz hlm. 188; Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim oleh al-Imam al-Nawawi 3/15; Syarh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Imam al-Taftazani hlm. 77-79 dan Majmu’ al-Fatawa Ibn Taimiyyah 3/389)

Antara dalil yang paling jelas lagi nyata ialah firman Allah SWT:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ﴿٢٢﴾ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ ﴿٢٣﴾

Maksudnya: Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; (22) Melihat kepada Tuhannya. (23)

Surah al-Qiyamah (22-23)

Begitu juga dengan firman-Nya:

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ

Maksudnya: Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia

Surah Yunus (26)

Daripada Suhaib R.A, bahawa Rasulullah SAW membaca ayat surah Yunus ini lalu bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ - قَالَ - يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ - قَالَ - فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?” Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla.

Sahih Muslim (181) dan Sunan Ibn Majah (187)

Allah SWT juga berfirman di tempat yang lain:

لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ

Maksudnya: Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

Surah Qaf (35)

Begitu dengan firman-Nya:

كَلَّا إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ

Maksudnya: Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dan terhalang daripada Tuhan mereka.

Surah al-Mutoffifin (15)

Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa menurut Imam al-Syafi’e, ayat ini menjadi dalil bahawa  para wali Allah SWT akan melihat-Nya dalam keadaan Dia redha kepada mereka. (Rujuk Ma’rifah al-Sunan wa al-Atsar 1/191)

Selain itu, tsabit juga hadith riwayat Jarir bin Abdillah R.A:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ قَالَ ‏ "‏ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ

Maksudnya: Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah SAW dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: “Kalian akan melihat Tuhan kalian sepertimana kalian melihat bulan ini, dan kalian tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.

Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)

Begitu juga dengan hadith riwayat Abdullah bin Umar R.’Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا أَنَّهُ لَنْ يَرَى أَحَدٌ مِنْكُمْ رَبَّهُ حَتَّى يَمُوتَ

Maksudnya: Ketahuilah, bahawa tiada seorangpun dari kalian yang akan melihat Tuhannya sehinggalah setelah dia meninggal dunia.

Sahih Muslim (2930)

Nikmat melihat Allah SWT ini menurut beliau merupakan sebesar-besar kelazatan (al-lazzah al-kubra) yang akan menyebabkan sekalian ahli syurga lupa kepada nikmat-nikmat yang lain. Oleh kerana inilah beliau menyeru kepada sekalian Muslimin untuk menjadikan nikmat melihat Allah SWT ini sebagai dorongan utama untuk memasuki syurga. Nikmat melihat Allah SWT ini merupakan sebesar-besar nikmat berbanding nikmat-nikmat material yang lain. (Rujuk Ihyaa’ Ulum al-Din 4/543)

Berkenaan dengan cara atau kaifiat melihat Allah SWT, ia merupakan perkara ghaib dan sayugia untuk tidak dibahaskan disini. Cukuplah dengan keyakinan bahawa Allah SWT tidak serupa dengannya walau apa pun, sepertimana firman-Nya:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ

Maksudnya: Tiada suatupun yang sama dan sebanding dengan-Nya

Surah al-Syura (11)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa nikmat melihat Allah SWT di syurga merupakan satu perkara yang telah disepakati oleh seluruh ulama Ahlussunnah wal Jamaah berdasarkan dalil yang amat banyak daripada al-Quran dan al-Sunnah. Tiada yang menyanggahi pegangan ini melainkan golongan bida’ah dari kalangan Muktazilah, Khawarij, Jahmiyyah dan Murji’ah.

Wallahu a’lam.