Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #495: ADAKAH TERDAPAT LARANGAN UNTUK MAKAN DI DALAM RUMAH YANG KEMATIAN AHLINYA?

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI #495: ADAKAH TERDAPAT LARANGAN UNTUK MAKAN DI DALAM RUMAH YANG KEMATIAN AHLINYA?

19 DISEMBER 2016 BERSAMAAN 19 RABI' AL-AWWAL 1438 H.

 

Soalan:

Saya ingin bertanyakan mengenai amalan isi rumah yang kematian ahlinya, dan ahli yang lain tidak boleh makan dan minum di dalam rumah melainkan di luar rumah sahaja, adakah ianya sebagai adat atau penghormatan kepada jenazah? Dan bolehkah diamalkan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perlu diingatkan bahawa segala larangan ataupun halangan yang bersifat agama perlulah mempunyai dalil bagi membenarkan kenyataan tersebut. Dalam permasalahan di atas, kami dapati tidak terdapatnya dalil baik dari al-Quran mahupun hadis berkenaan larangan untuk isi rumah yang kematian ahlinya untuk makan di dalam rumah.

Maka kami katakan di sini bahawa tiada masalah untuk ahli rumah makan di dalam rumah yang berlakunya kematian bahkan tiada masalah juga untuk bukan ahli keluarga si mati untuk makan di dalam rumah tetapi mestilah mendapatkan keizinan tuan rumah terlebih dahulu.

Adapun yang disunatkan bagi masyarakat sekeliling adalah dengan membantu keluarga si mati dalam menguruskan jenazah bagi meringankan beban keluarga si mati. Kaum kerabat si mati dan juga jirannya juga boleh membantu dalam menyediakan makanan kepada ahli si mati pada siang dan juga malamnya. Ini berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW mengarahkan agar dibuatkan makanan kepada keluarga Ja’far R.Anha:

اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ

Maksudnya: Buatkan untuk keluarga Ja’far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.

Riwayat Abu Daud (3132)

 

Begitu juga dengan mengucapkan takziah serta mendoakan bagi si mati agar mendapat keampunan serta rahmat daripada Allah SWT. Wallahu a’lam.