Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #699 : MENCABUT TUDUNG KERANA INGIN MENJADI DIRI SENDIRI?

Soalan:

Apakah hukum seorang wanita yang awalnya memakai tudung disebabkan sesuatu tapi sampai satu masa dia membuka tudung kerana ia merasakan memakai tudung itu bukan dirinya yang sebenar, lalu dia buka tudung kerana merasakan isu dirinya yang sebenar.

 

Jawapan:

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Firman Allah dalam surah an-Nur, 24:31:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka (wanita Muslimah) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;”

Berkata Imam Ibn al-Jarir al-Tabari Rahimahullah dalam Jami` al-Bayan  (19/159): “Yakni hendaklah para wanita itu melabuhkan tudung kepala mereka menutup dada-dada mereka supaya tertutup juga dengan itu rambut, tengkuk dan telinga mereka.”

Berkata Syeikh al-Maraghi dalam Tafsir-nya (18/99) : “Wanita pada zaman dahulu menutup kepala mereka dengan khimar (tudung) dan melabuhkan hujung tudung itu ke belakang badan supaya terdedah leher dan dada mereka, seperti kebiasaan zaman Jahiliyyah, lalu mereka dilarang syarak daripada berbuat sebegitu lagi. Berkata Sayyidatuna Aisyah RA: “Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”

Ini merupakan dalil jelas tentang kewajipan menutup aurat dan inilah yang disepakati oleh para ulama.

Ucapan sebegini adalah berbahaya kerana ditakuti padanya mengandungi unsur kekufuran. Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah: “Jika seorang muslim mengingkari suatu hukum syarak yang sudah disepakati ke atasnya dan mudah diketahuinya dalam agama, maka dia sudah kafir.” Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/233). Justeru sewajarnya seorang Muslim itu mengelakkan sedaya mungkin menyebut “Ingin menjadi diri sendiri” sebagai justifikasi terhadap maksiat yang dia lakukan.

Adapun jika dia menyebut perkataan itu kerana dia tidak mahu menutup aurat tetapi dia mengiktiraf bahawa dia tertakluk kepada hukum syarat tersebut, maka hukumnya adalah fasiq dan kufur nikmat.

Sekiranya seseorang itu beri`tikad dan mengakui bahawa semua hukum syarak yang telah disepakati dan diketahui dalam agama secara darurat (mudah), tetapi tidak melakukan tuntutan itu, lalu melakukan perbuatan yang dilarang itu, maka orang itu adalah pelaku maksiat, fasiq dan bukannya kafir.” Lihat Ibid.

Begitu juga jika seseorang itu tidak memakai tudung atas alasan-alasan lain seperti kejahilan dan mendapat ancaman daripada sebahagian masyarakat bukan Islam seperti yang berlaku di negara-negara luar. Kes-kes seperti ini ulama telah berbincang panjang dan ramai dalam kalangan ulama yang membenarkan atas alasan darurat.

Sebenarnya, perintah untuk menutup aurat itu adalah datang daripada Pencipta diri manusia itu sendiri yakni Allah SWT. Justeru menjadi diri sendiri bererti menjadi seorang Muslim dan Muslimah yang soleh dan soleh. Sewajarnya manusia membenarkan ayat-ayat Allah dan melatih dirinya untuk mengikut hukum hakam yang telah Allah SWT tetapkan untuk bertanggungjawab ke atas amalannya di Hari Kiamat kelak. Firman Allah SWT:

نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ فَلَوْلَا تُصَدِّقُونَ

Maksudnya: “Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada - wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).”

(Surah al-Waqi`ah: 57)

Manusia-manusia yang melatih dirinya mengikut kehendak Allah SWT, mesti pun  penuh dengan dugaan dan rintangan, luar dan dalam, akhirnya akan sedar dan tenang tenteram hatinya kerana itulah acuan dirinya yang sebenar. Firman Allah SWT:

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Maksudnya: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah( yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".

(Surah al-Baqarah: 138)

Allah SWT mengetahui perkara ini kerana Dialah yang paling mengetahui masa lalu, masa sekarang, dan masa depan para hamba, lantas menerangkan kepada manusia keadaan mereka yang tenang dan pasrah apabila mengetahui perjuangan mereka selama ini berbaloi. Firman-Nya:

يَاأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً (28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي(30)

Mereka yang beralasan menjadi diri sendiri untuk tidak menutup aurat berkata mereka tidak mahu bersikap hipokrit atau munafik. Padahal berasa berat dan malas untuk melaksanakan syariat Allah itulah ciri munafik yang patut dijauhi. Firman Allah Taala:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

(Surah al-Nisa: 142)

Sememangnya jalan menuju kesempurnaan diri itu melalui pelaksanaan syariat itu akan bertemu pelbagai mehnah dan tribulasi khususnya daripada hawa nafsunya. Namun Allah SWT telah memberi jaminan bahawa Dia sendiri akan membukakan jalan kemudahan kepada mereka yang melatih dirinya untuk menjadi dirinya yang sebenar mengikut acuan Allah SWT. Firman-Nya:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

(Surah al-‘Ankabut: 69)

Semoga kita diberikan hidayah dan direzekikan kekuatan untuk mengikut hidayah itu.