Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1163: BERDOA KEPADA SESEORANG DENGAN MELETAK TANGAN DI UBUN ATAU DADA

 DOA KEPADA SESEORANG.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah ketika berdoa untuk seseorang, tangan diletakkan ke dada atau kepalanya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Doa adalah satu ibadah menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah SWT. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395)

Imam al-Khattabi berkata: “Doa adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikat doa itu adalah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya terpateri pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya.” (Lihay Sya’n al-Dua’, hln. 4)

Ia juga diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah SWT dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul. (Lihat Jawami' al-Du'a min al-Qur'an wa al-Sunnah oleh Muhammad Sayyid Tantawi, hlm. 5)

Kami nyatakan bahawa, doa adalah ibadat, bahkan dianggap sebagai otak bagi ibadat. Ini berdasarkan hadis:

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ

Maksudnya: “Doa ialah otak bagi ibadat.”

Riwayat al-Tirmizi (3371) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (3324)

Oleh kerana doa sebagai ibadah, maka kebanyakan ulama menganggap, ibadat terhenti kepada nas dalam pelaksanaannya. Inilah yang disebut oleh ulama’ usul:

الأَصْلُ فِي العِبَادَةِ التَّوَقُّف

Kaedah ini telah disebut oleh ramai ulama, antaranya Ibn Hajar dalam Fath al-Bari. Begitu juga dalam Syarh Zaid Ibn Ruslan, dalam Syarh al-Zurqani terhadap al-Muwatta', juga dalam al-Adab al-Syar'iyyah oleh Ibn Muflih dan Nail al-Autar oleh Imam al-Syaukani.

Kaedah ini dari segi makna adalah jelas bahawa tidak harus bagi sesiapa pun melaksanakan ibadah sehingga dia mengetahui bahawa Allah SWT yang mengizinkan demikian itu. Kaedah ini juga dinisbahkan kepada Imam Ahmad dan fuqaha' ahli hadis.

Melihat kepada beberapa hadis berkaitan isu ini, kami dapati terdapat beberapa nas. Antaranya:

  • Diletakkan pada ubun

Ini terkenal dalam doa pengantin selepas berlaku akad nikah oleh suami terhadap isterinya. Daripada Abdullah Ibn Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَفَادَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً ، أَوْ خَادِمًا ، أَوْ دَابَّةً ، فَلْيَأْخُذْ بِنَاصِيَتِهَا ، وَلْيَقُلِ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا ، وَخَيْرِ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا ، وَشَرِّ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ.

Maksudnya: Apabila seseorang kamu berkahwin dengan seorang perempuan atau memiliki seorang khadam atau mendapat seekor haiwan yang menjadi tunggangan, maka hendaklah kamu pegang pada ubunnya seraya berdoa: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.

Riwayat Ibn Majah (1918) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14211)

Ini menunjukkan bahawa boleh tangan diletakkan pada ubun atau kepala.

  • Meletak pada dada.

Ketika Rasulullah SAW melakukan tawaf di Ka’bah ketika Hajjatul Wada’, seorang lelaki cuba membunuh Rasulullah SAW dengan berselindung di penjuru Ka’bah, lantas Nabi SAW menegurnya dan bertanyakannya. Beliau akhirnya menjawab dalam keadaan serba salah. Kemudian Nabi SAW meletakkan tangan pada dadanya dan berdoa. Selepas peristiwa tersebut, beliau amat mencintai Rasulullah SAW.

Nama lelaki tersebut ialah Fudhalah bin Umair al-Laithi. Kisahnya terdapat dalam banyak kitab-kitab Sirah dan Tarikh. Namun kedudukannya adalah amat dha'if. Antara kitab-kitab tarikh yang boleh dirujuk adalah al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam (5/80), Zad al-Ma'ad (3/361), al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir (3/584) al-Raudh al-Unf (4/176), al-Iktifa' bima Tadammanahu min Maghazi Rasulillah (2/190) dan sebagainya.

Justeru, kami berpendapat bahawa dibolehkan meletakkan tangan pada tempat tertentu, tetapi mestilah meraikan hukum jika antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau bukan suami isteri.

Kami menutup perbincangan ini dengan mengemukakan hadis Nabi SAW dan sunnahnya ketika menziarahi pesakit atau pesakit datang kepadanya dari kalangan sahabat. Antaranya Aisyah R.Anha berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَوِّذُ بَعْضَهُمْ يَمْسَحُهُ بِيَمِينِهِ أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW apabila menziarahi pesakit lantas dia memohon perlindungan kepada sebahagian mereka dengan menyapu dengan tangan kanannya seraya berdoa: "Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit."

Riwayat al-Bukhari (5750) dan Muslim (2191)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Battal yang berkata, meletak tangan pada pesakit adalah untuk melegakannya dan mengetahui betapa sakitnya seseorang itu untuk dia berdoa agar diberi afiat mengikut apa yang diketahuinya. Dan boleh jadi Baginda SAW meruqyah dengan tangannya dan menyapu pada tempat yang sakit dengan memberi manfaat dan kesan kepada pesakit yang boleh membawa kepada penyembuhan. (Lihat Fath al-Bari, 10/126)

Imam al-Nawawi berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila seseorang daripada kalangan sahabat mengadu sakit kepadanya, maka Baginda menyapunya dengan tangan kanannya seraya membaca doa seperti di atas. Justeru ia adalah sunat menyapu orang yang sakit dengan tangan kanan dan berdoa kepadanya. (Lihat Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, 15/351)

Kami akhiri perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”