SOALAN
Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Boleh terangkan antara kelebihan besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia? Mohon pencerahan. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
(Surah al-Tin: 4)
Allah SWT selaku pencipta yang Maha Mengetahui segala-galanya telah menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling dimuliakan berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Surah al-Isra’: 70)
Syeikh al-Maraghi menyatakan Allah SWT telah memuliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi dan berakal sederhana sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan mengetahui pelbagai bahasa, dapat berfikir dengan baik tentang cara-cara mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi serta menundukkan segala yang ada di alam atas mahupun alam bawah. Kami mengangkat mereka di atas haiwan, kereta, kapal terbang, belon dan kapal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3996-3997)
Tuntasnya, kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini adalah lantaran akal fikiran yang diberikan oleh Allah SWT supaya manusia dapat berfikir tentang sesuatu perkara, mampu membezakan antara yang hak dan batil dan antara yang sesat dan hidayah. Ayat ini juga menuntut manusia agar bersyukur dan tidak menyekutukan Allah SWT dengan suatu apapun. Hal ini kerana, Allah SWT telah menundukkan bagi manusia segala yang ada di darat mahupun di laut, bahkan memeliharanya dalam perhatianNya yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3997)
Justeru, nikmat akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT ini wajib digunakan untuk memikirkan sesuatu kebesaran Allah SWT dalam mentaati setiap suruhan dan perintahnya. Dalam al-Quran Allah SWT berfirman:
قُلِ انظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).”
(Surah Yunus: 101)
Ayat ini menjelaskan: “Lihatlah dengan mata dan mata hatimu, apa yang terdapat di langit dan di bumi seperti bintang-bintang yang bersinar, sama ada bintang-bintang tetap atau bintang-bintang pelayar, matahari dan bulan, awan dan hujan, angin dan air, malam dan siang, serta masuknya salah satu antara kedua-duanya pada yang lain, sehingga yang satu lebih panjang sedangkan yang lain lebih pendek. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3121)
Betapa hinanya manusia apabila dicela oleh Penciptanya sendiri sebanyak sebelas kali di dalam al-Quran dengan ungkapan “أَفَلَا تَعْقِلُونَ” disebabkan tidak mahu menggunakan akalnya untuk berfikir. Celaan itu sampai kepada tahap menurunkan kedudukan mereka lebih rendah dan lebih hina dari binatang ternak
أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ ۚ إِنْ هُمْ إِلَّا كَالْأَنْعَامِ ۖ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلًا
Maksudnya: “Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.”
(Surah al-Furqan: 44)
KESIMPULAN
Dalam isu ini, kami nyatakan bahawa manusia itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan diberikan akal fikiran yang mampu untuk berfikir mengatasi setiap ciptaan makhluknya yang lain. Sekalipun mempunyai anggota tubuh kecil dan lemah berbanding ciptaan Allah yang lain, namun dengan akal fikiran yang diberikan ini menjadikan manusia mampu untuk mengawal selia serta terkehadapan berbanding yang lain. Sebagai contoh, kekuatan menghidu yang dimiliki oleh anjing jauh mengatasi kekuatan menghidu pada deria hidu manusia sehingga anjing ini digunakan dalam operasi mengesan dadah dan lain-lain. Namun begitu, haiwan seperti ini adalah bertindak di bawah penyeliaan serta arahan daripada manusia. Begitu juga, dengan kebijaksanaan manusia dan akalan yang dikurniakan, maka mereka dapat merekacipta alatan yang canggih sehingga menemukan sesuatu jauh lebih baik daripada anjing.
Semoga apa yang disampaikan ini memberi kesedaran dan kefahaman kepada manusia secara umumnya untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikuriakan oleh Allah SWT. Amin.
Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat kepad kita:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh."
(Surah al-Naml: 19)