Soalan:
Rakan saya selalu memuji saya di hadapan saya. Kadang-kala timbul juga sedikit rasa bangga secara tidak sengaja. Adakah ada doa khusus yang diajarkan Nabi SAW yang perlu dibaca ketika kita dipuji?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.
Pertamanya, perlu diingatkan bahawa memuji-muji seseorang secara berlebihan di hadapannya dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. [1]
Terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.anh bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi S.A.W. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ مِرَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا صَاحِبَهُ لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ فُلاَنًا وَاللَّهُ حَسِيبُهُ وَلاَ أُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا
Maksudnya: Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memtong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah S.W.T lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah S.W.T”.
Sahih Muslim (3000)
Puji-pujian sesama manusia secara sederhana tidaklah dilarang, bahkan ia merupakan salah satu bentuk muamalah yang baik sesama manusia. Namun orang yang dipuji hendaklah berhati-hati dan memelihara hatinya daripada merasa riya’, ujub dan takabbur apabila mendengar pujian yang dilontarkan kepada dirinya.
Terdapat satu doa yang baik yang diamalkan oleh seorang sahabat Baginda SAW, di mana diriwayatkan bahawa Adi bin Arthah –rahimahullah – (seorang ulama tabi’in) meriwayatkan:
كَانَ الرَّجُلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذَا زُكِّيَ قَالَ: اللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dahulu ada seorang sahabat Nabi SAW, yang apabila dia dipuji mengucapkan: “Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui”.
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (761)
Terdapat juga riwayat daripada sebahagian ulama salaf yang berpesan dengan doa:
اللهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ بِي مِنْ نَفْسِي، وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِي مِنَ النَّاسِ، اللهُمَّ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan diriku lebih dari aku sendiri, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding orang lain. Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang mereka ucapkan, ampunilah aku atas kekurangan yang tidak mereka ketahui. Dan jadikan aku lebih baik dari pada penilaian yang mereka berikan untukku.”
Dalam riwayat yang lain, terdapat tambahan lafaz:
وَاجْعَلْنِي خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّونَ
Maksudnya: Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4524 dan 4534)
Doa ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى
Maksudnya: Jangan kalian memuji-muji diri kalian sendiri, Kerana Dia-lah yang paling tahu siapa yang bertaqwa.
Surah al-Najm (32)
Sufyan bin Uyainah pernah berkata,
قالت العلماء المدح لا يغر من عرف نفسه
Maksudnya: Para ulama mengatakan: pujian tidak akan menipu orang yang mengenali dirinya sendiri (dia tahu bahawa ia tidak sebaik itu dan sedar akan banyaknya dosa yang dilakukan). (Rujuk Hilyatul Auliya’ 7/302)
Wallahu a’lam.
[1] Rujuk artikel kami berkenaan pujian berlebihan pada pautan: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2205-al-kafi-683-hukum-memuji-secara-berlebihan