Soalan:
Apakah hukum memuji seseorang secara berlebihan ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta. Demikian juga pujian tersebut hendaklah dalam keadaan yang tidak mendatangkan fitnah kepada orang yang dipuji serta tidak menyebabkan insan tersebut berasa ‘ujub dan bermegah diri. Hal ini adalah berdasarkan ucapan-ucapan para Rasul kepada Rasulullah S.A.W semasa peristiwa mi’raj baginda ke sidrat al-muntaha:
مَرْحَبًا بِالأَخِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ
Maksudnya: Selamat datang kepada saudara yang soleh dan juga Nabi yang soleh.
Riwayat al-Bukhari (3393)
Daripada hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa:
وَفِيهِ جَوَازُ مَدْحِ الْإِنْسَانِ فِي وَجْهِهِ إِذَا أُمِنَ عَلَيْهِ الْإِعْجَابُ وَغَيْرُهُ مِنْ أَسْبَابِ الْفِتْنَةِ
Maksudnya: Dan pada hadis ini terdapatnya keharusan untuk memuji seseorang secara berhadapan, sekiranya dia berasa aman dari perasaan ‘ujub dan selamat bagi orang lain daripada sebab-sebab yang boleh mendatangkan fitnah. Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (2/357).
Kenyataan Imam al-Nawawi di atas dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.anh bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi S.A.W. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ مِرَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا صَاحِبَهُ لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ فُلاَنًا وَاللَّهُ حَسِيبُهُ وَلاَ أُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا
Maksudnya: Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memtong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah S.W.T lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah S.W.T”.
Riwayat Muslim (3000)
Fekah yang ditunjukkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini adalah, beliau meletakkan tajuk bab ini sebagai: Bab larangan memuji, sekiranya ia berlaku secara berlebihan serta ditakuti berlakunya fitnah ke atas diri orang yang dipuji.
Larangan memuji secara berlebihan ini terdapat padanya beberapa hikmah. Imam al-Ghazali Rahimahullah menyebutkan bahawa terdapat enam kerosakan yang akan masuk ke dalam pujian terhadap seseorang. Empat keburukan itu kepada orang yang memuji, manakala dua lagi kepada orang yang dipuji. Kami ringkaskan keenam-enam kerosakan itu dengan sedikit olahan seperti berikut:
Keburukan Kepada Orang Yang Memuji
Pertama: Seseorang yang memuji itu boleh menyebabkan dia melampau dalam melontarkan pujian, lalu ia akan berakhir dengan pembohongan. Ini biasanya berlaku dalam pujian kepada pemerintah ataupun kepada seseorang terhadap sesuatu yang dia tidak miliki.
Kedua: Pujian juga kadangkala boleh membawa kepada sifat riya’ dengan cara dia menzahirkan kecintaan kepada orang yang dipuji, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Maka jadilah dia sebagai seorang yang riya’ lagi munafik.
Ketiga: Pujian juga boleh berlaku dalam keadaan pemuji tidak mengenalpasti keadaan sebenar orang yang dipuji. Terutamanya pada sifat-sifat yang mutlak seperti warak, zuhud, bertakwa, dan seumpamanya kerana kesemuanya ini tidaklah boleh dilihat melalui mata kepala.
Keempat: Melalui pujian juga boleh menyebabkan orang yang zalim dan fasiq berasa gembira tatkala dipuji. Sedangkan hal ini tidak boleh kerana keduanya ini sekiranya dipuji sudah pastilah akan kekal berterusan dalam kefasikan dan kezaliman mereka.
Keburukan Kepada Orang Yang Dipuji
Pertama: Melalui pujian, boleh menyebabkan seseorang itu berasa takbur dan ‘ujub terhadap diri sendiri. Yang mana kedua sifat ini boleh menghancurkan diri seseorang.
Kedua: Seseorang yang dipuji, akan merasa gembira dan merasa cukup dan berpuas hati dengan apa yang sudah ada pada dirinya. Maka sesiapa yang merasa kagum dengan diri sendiri, akan berkuranglah kesungguhannya dalam beramal. Ini kerana, orang yang bersungguh dalam amalan ini adalah mereka yang merasakan diri mereka penuh kekurangan.
Namun, perlu juga dijelaskan di sini bahawa Imam al-Ghazali apabila menyebutkan beberapa perkara di atas ini beliau berkata:
أمَّا إِذَا سَلِمَ المَدْح مِنْ هَذهِ الآفَات فِي حَقِّ المَادِحِ وَالمَمْدُوحِ لَمْ يَكُنْ بِهِ بَأسٌ ، بَلْ رُبَّمَا كَانَ مَنْدُوبًا إِلَيهِ
Maksudnya: Adapun sesekiranya seseorang itu berasa selamat daripada beberapa keburukan di atas ini, sama ada pada yang memuji atau dipuji, maka tidak ada masalah pada pujian bahkan boleh jadi ia dituntut untuk melakukannya. Lihat Ihya’ Ulum al-Din, al-Ghazali (3/233).
Kesimpulan
Akhir kalam, kami berpandangan bahawa hukum asal memuji itu adalah harus. Ini kerana, boleh jadi pujian seseorang itu berlaku kerana dia melihat orang yang dipuji adalah dari kalangan orang soleh yang banyak melakukan amal ibadah, maka hal ini disifatkan sebagai ‘aajil busyhra mu’min’ (berita gembira segera buat orang beriman). Namun, jauhi dan elakkanlah pujian yang dusta serta boleh menyebabkan fitnah berlaku kepada diri orang yang dipuji dan sifat ‘ujub berlaku pada dirinya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.