Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1401 : ADAKAH MEMASUKI PUSAT MEMBELI BELAH SAMA SEPERTI MASUK PASAR ?

AK1401

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah hukum masuk ke pusat membeli belah sama seperti memasuki pasar yang disifatkan sebagai seburuk-buruk tempat ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Isu pasar yang disifatkan sebagai seburuk-buruk tempat dan dibenci oleh Allah S.W.T memang ada disebutkan dalam beberapa nas yang sahih. Antaranya adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَحَبُّ الْبِلاَدِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلاَدِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا

Maksudnya: Tempat yang paling Allah suka adalah masjid-masjid manakala tempat yang paling Allah benci adalah pasar-pasar.

Riwayat Muslim (671)

Berdasarkan hadis di atas dapat kita fahami bahawa masjid disebutkan sebagai tempat yang paling disukai Allah kerana sifatnya yang merupakan tempat ibadah dan juga ketaatan. Di dalamnya didirikan solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, i’tikaf, sedekah, pembacaan Al-Quran, zikrullah, doa, dan pelbagai ibadah yang lain. Kerana itu Imam Al-Nawawi berkata:

وَالمَسَاجِدُ مَحَل نُزُول الرَّحْمَة

Maksudnya: Masjid-masjid adalah tempat turunnya rahmat.

Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (5/300)

Manakala pasar-pasar pula sinonim dengan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh syarak seperti penipuan dalam jual beli, riba, lagha, lalai dari mengingati, dan seumpama dengannya.

Meskipun begitu, ini adalah kenyataan yang dikeluarkan dalam menggambarkan situasi kebiasaan pada tempat tersebut. Ia bukanlah bermakna larangan yang membawa hukum haram memasuki pasar sama ada untuk berniaga atau membeli barangan. Bahkan sekiranya para peniaga menjadikan pasar sebagai tempat yang penuh dengan kebaikan seperti kejujuran dalam jual beli dan timbangan, tidak berlaku kelalaian dalam zikrullah, berniaga dengan maksud untuk mempertingkat ekonomi umat Islam, maka kesemuanya ini adalah kebaikan besar yang diperoleh pahala kepada para pelakunya.

Oleh kerana itulah Imam Ibn Bathhal Rahimahullah berkata:

وَأمَّا إِذَا ذُكِرَ اللهُ فِى السُّوقِ فَهُو مِنْ أَفْضَلِ الأعْمَال

Maksudnya: Adapun apabila dibacakan zikrullah di dalam pasar maka ia merupakan antara amalan yang paling afdhal. Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Bathhal (6/249).

Kenyataan beliau tersebut dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ دَخَلَ السُّوقَ فَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ حَسَنَةٍ وَمَحَا عَنْهُ أَلْفَ أَلْفِ سَيِّئَةٍ وَرَفَعَ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ دَرَجَةٍ

Maksudnya: Sesiapa yang masuk ke dalam pasar lalu dia membaca :

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maka Allah menetapkan satu juta kebaikan buatnya dan menghapuskan satu juta kejahatannya serta mengangkat kedudukannya sebanyak satu juta darjat.

Riwayat Al-Tirmizi (3428)

Justeru apabila kita meneliti dengan jelas, ia sama sahaja dengan seseorang yang menjadikan masjid sebagai tempat kelalaian. Dari sudut melakukan perbualan lagha, bercakap bohong atau kotor di dalam masjid, bermaksiat kepada Allah di dalam masjid, maka kesemuanya ini sama sekali tidak memberi mudarat kepada masjid dan tidak mengurangkan sedikit dari kelebihan masjid.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan adakah sama memasuki pusat membeli belah dengan memasuki pasar, maka berikut kami nyatakan definisi pasar dari sudut bahasa Arab. Kata Ibn Manzhur : Pasar adalah tempat berlakunya jual beli. Rujuk Lisan Al-Arab, Ibn Manzhur (10/167). Manakala dalam kitab Al-Mu’jam al-Wasith disebutkan: ‘’Pasar adalah tempat yang didatangkan kepadanya barangan dan dagangan untuk tujuan jual beli.’’ Rujuk Al-Mu’jam al-Wasith (1/464).

Maka berdasarkan definisi di atas, pusat membeli belah juga termasuk dalam istilah pasar ini kerana ia juga merupakan tempat jual beli pelbagai barangan seperti pakaian, makanan, alatan-alatan rumah, perabot, dan pelbagai lagi barangan. Justeru dibolehkan juga membaca doa yang telah kami kongsikan di atas apabila memasuki pusat membeli belah.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa pusat membeli belah yang merupakan tempat berlakunya jual beli dan perniagaan juga boleh disifatkan sebagai sama seperti pasar. Hukum memasukinya adalah sama seperti masuk ke dalam pasar iaitu harus. Meskipun begitu, seseorang yang memasukinya dituntut untuk tidak melakukan perkara yang lagha atau melalaikan dari mengingati Allah. Sebaliknya menyingkatkan tempoh masanya agar tidak mengambil masa yang lama melebihi kadar keperluan sahaja. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.