Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1541

Soalan

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Saya ada kemusykilan mengenai umrah. Saya pernah mengerjakan umrah pada Februari 2019 dan bercadang untuk mengerjakan umrah sekali lagi pada tahun hadapan. Ketika mengerjakan umrah kali pertama saya membawa kasut dalam uncang setiap kali saya masuk ke masjidil haram sama ada untuk tawaf, saie, ataupun sekadar solat. Pendek kata saya membawa kasut (dalam uncang) ke mana-mana saya pergi sepanjang mengerjakan umrah. Adakah dibolehkan/ sahkah umrah saya kerana saya terlihat video yang menyatakan bahawanya ianya salah dan tidak sah? Namun ada juga artikel yang mengatakan ia dibolehkan. Terima kasih atas pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kaum kerabat, para sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kebersihan

Islam sangat mementingkan konsep kebersihan untuk dipraktikkan di dalam kehidupan harian. Kebersihan iaitu al-Taharah bermaksud menghilangkan hadas, najis atau apa yang bersangkutan dengannya. Allah SWT mensyariatkan al-Taharah bertujuan untuk menjaga kebersihan dalam melakukan ibadah.

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Salih bin Abi Hassan, Aku mendengar Said bn Musaib berkata:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ كَرِيمٌ يُحِبُّ الْكَرَمَ جَوَادٌ يُحِبُّ الْجُودَ فَنَظِّفُوا أُرَاهُ قَالَ أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (2799)

Begitu juga Baginda SAW menggambarkan bahawa kebersihan itu merupakan salah satu daripada ciri-ciri keimanan. Abu Malik al-Asy’ari RA meriwayatkan hadis daripada Baginda SAW, sabdanya:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Di dalam melakukan ibadah tawaf, saie dan solat ianya tidak terlepas daripada syarat bersuci daripada hadas serta menghilangkan najis yang terdapat pada badan. Allah SWT memerintahkan supaya membersihkan pakaian apabila ingin melakukan solat. Firman-Nya:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

(Surah al-Muddatsir, 4)

Solat Dengan Memakai Kasut

Para ulama membahaskan berkenaan dengan memakai kasut ketika solat adalah diharuskan. Ibnu Rejab menukilkan pendapat Imam Ahmad menyatakan, harus melakukan solat dengan memakai kasut sekiranya ia bersih. (Lihat Fathu al-Bari li Ibn Rejab, 3/42)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, Sabda Nabi SAW:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu

Sunan Abi Daud (650)

Imam al-San’ani dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan, hadis ini merupakan pensyariatan solat dengan memakai kasut atau selipar. Begitu juga, sapuan kasut atau selipar pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan secara zahir pada kedua-duanya adalah pada menentukan maksud najis, sama ada bersifat basah atau kering. (Lihat Subul al-Salam, 1/205)

Selain itu, bolehlah baca selanjutnya perbahasan berkenaan dengan hal ini di dalam artikel Al-Kafi #1235: Memakai Kasut Ketika Solat.

Syarat Wajib Melakukan Tawaf

Dalam melakukan ibadah tawaf, mestilah seseorang itu mengikut apa yang digariskan oleh syarak berkenaan dengan perkara yang disyaratkannya.

Di antara syarat wajib dalam mengerjakan ibadah tawaf ini adalah menutup aurat, suci daripada hadas, bermula di hajar Aswad, bahu disebelah kiri kaabah, tawaf diluar kaabah, tawaf sebanyak tujuh pusingan dan mengerjakan tawaf di dalam masjid. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e,2/243-246

Dan disyaratkan seseorang itu ketika hendak melakukan tawaf mestilah bersih daripada najis dan suci daripada hadas. Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan syarat sah tawaf adalah suci dan bersih daripada hadas dan najis pada baju, badan serta tempat yang hendak dilakukan tawaf. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/344)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan perbahasan yang diberikan dapat kami simpulkan disini,

  • Mesti memastikan kasut atau selipar yang hendak dibawanya itu tidak terdapat padanya najis
  • Sekiranya tidak pasti sama ada ia bernajis atau tidak, maka perhatikan padanya adakah terdapat ciri-ciri najis seperti bau, rasa dan warna padanya. Dan sekiranya tidak maka anggaplah ia suci. Ini kerana sapuan kasut itu pada tanah telah menyucikannya seperti pendapat Imam San’ani yang disebutkan di atas.

Selain itu, Hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Walad bahawa Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf bertanya kepada Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW, bahawa beliau RAnha berkata:

إِنِّي امْرَأَةٌ أُطِيلُ ذَيْلِي وَأَمْشِي فِي الْمَكَانِ الْقَذِرِ . فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : يُطَهِّرُهُ مَا بَعْدَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya aku adalah wanita yang labuh pakaiannya, dan aku berjalan melalui kawasan yang kotor. Lalu Ummu Salamah RAnha menjawab: Rasulullah SAW bersabda: Apa (iaitu tanah) yang selepasnya akan menyucikannya.

Hadith riwayat Abu Daud: (383)

Justeru, kami berpendapat sah solat atau tawaf seseorang itu sekiranya membawa beg berisi kasut atau selipar yang suci daripada najis padanya. Dan sekiranya terdapat kotoran atau najis pada kasut, maka hendaklah ia menghilangkan dan membersihkannya terlebih dahulu.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin. Amin.