Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1609

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Saya sering melazimi sujud syukur setiap kali selepas solat. Hal ini adalah sebagai tanda saya berterima kasih kepada Allah yang masih mengizinkan saya untuk hidup di dalam iman dan islam. Namun begitu, saya ada terdengar bahawa tidak boleh melakukan sujud syukur kecuali ketika mendapat nikmat yang jarang-jarang berlaku sahaja. Mohon penjelasan Dr.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam Wrm W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُم وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan  (ingatlah  juga),  tatkala  Tuhanmu  mengatakan;  “Sesungguhnya  jika  kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih”. 

(Surah Ibrahim: 7)

Ayat di atas menerangkan bahawa Allah akan menambahkan nikmat bagi seseorang mukmin sekiranya dia bersyukur dengan nikmat tersebut. Justeru, di antara cara untuk menunjukkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T ialah dengan melakukan sujud syukur. Sujud syukur ialah sujud yang dilakukan kerana memperoleh sesuatu nikmat atau terselamat daripada sesuatu bencana. (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 1/208).

Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan mengenai perbahasan yang berkaitan dengan sujud syukur:

AL KAFI #1389: Hukum Melakukan Sujud Syukur di Dalam Solat http://bit.ly/2H15eaT

IRSYAD AL-FATWA KE-136: Sujud Syukur: Adakah Memerlukan Wudhu’ dan Menghadap Kiblat? http://bit.ly/2UANuef

Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi S.A.W daripada Abu Bakrah R.A:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi S.A.W ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah S.W.T”.

Riwayat Abu Daud (2774). Disahihkan oleh Al-Albaani.

Para ulama’ menyenaraikan beberapa keadaan yang disunatkan untuk melakukan sujud syukur. Di antaranya ialah:

Pertama : Ketika mendapat sesuatu nikmat (هجوم نعمة)

Iaitu mendapat nikmat yang tidak disangka-sangka samada nikmat tersebut nikmat zahir (yang dapat dilihat dengan mata kasar) seperti mendapat anak atau kepulangan seseorang yang telah lama menghilang atau sembuh daripada sesuatu penyakit, ataupun nikmat batin (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar) seperti memperoleh sesuatu ilmu atau kemuliaan dalam masyarakat.

Yang dimaksudkan dengan hujum al-ni'mah (mendapat sesuatu nikmat) ialah nikmat yang jarang-jarang berlaku, justeru keluar daripadanya nikmat kurniaan yang berterusan seperti mendapat kesihatan yang baik atau kekayaan kerana hal tersebut boleh menyebabkan kita berterusan dalam sujud sepanjang masa. Maka dalam keadaan tersebut (medapat nikmat berterusan) tidak disunatkan untuk melakukan sujud. (Rujuk: Busyra al-Karim Syarh Muqaddimah al-Hadhramiah, hlm. 336).

Kedua: Ketika terselamat daripada bencana (اندفاع نقمة)

Iaitu terselamat daripada bencana zahir yang tidak disangka-sangka, seperti terselamat daripada runtuhan bangunan atau terselamat dari banjir besar atau dari suatu kemalangan atau malapetaka. (Rujuk: Busyra al-Karim Syarh Muqaddimah al-Hadhramiah, hlm. 337).

Ketiga: Ketika melihat orang yang fasiq (رؤية فاسق)

Iaitu ketika melihat orang fasiq yang mempamerkan kefasiqannya atau orang kafir atau orang yang merompak di pertengahan jalan, maka disunatkan untuk melakukan sujud syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkannya daripada perkara tersebut. Hal ini kerana kefasiqan adalah suatu musibah di dalam agama sehingga Rasulullah S.A.W mengajarkan doa agar kita dijauhkan daripada musibah dalam urusan agama:

‎وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا، وَلَا تَجْعَلِ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا، وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا

Maksudnya: “Ya Allah janganlah engkau jadikan musibah yang menimpa kami dalam urusan agama kami dan jangan pula engkau jadikan (harta dan kemewahan) dunia sebagai cita-cita kami yang paling besar dan tujuan utama dari ilmu yang kami miliki.

Riwayat al-Tarmizi (3502)

Dan disunatkan untuk menzahirkan perbuatan (sujud syukur) itu kepada orang yang fasiq supaya mudah-mudahan dia bertaubat, sekiranya hal tersebut aman daripada sebarang fitnah dan mudarat, adapun sekiranya tidak aman daripada fitnah atau terdedah kepada ancaman maka tidak disunatkan. (Rujuk: Busyra al-Karim Syarh Muqaddimah al-Hadhramiah, hlm. 337).

Seterusnya, sekiranya dia melihat ramai orang fasiq, maka cukuplah baginya untuk melakukan sekali sujud sahaja. (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal, 1/476).

Keempat: Ketika melihat orang yang diuji dengan kesakitan (رؤية مبتلى)

Iaitu orang yang diuji dengan kesakitan pada tubuh badan atau akal fikiran maka disunatkan untuk melakukan sujud syukur kerana mengikut sunnah nabi S.A.W yang melakukan sujud ketika melihat orang yang sakit sebagaimana hadis nabi S.A.W:

أَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - سَجَدَ لِرُؤْيَةِ زَمِن

Maksudnya: “Bahawasanya Rasululullah S.A.W telah bersujud ketika melihat orang yang sakit kerana penyakit zamin (sakit yang berpanjangan atau sakit kerana tua)”.

Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (1/276)

Dan disunatkan untuk menyembunyikan (tidak menzahirkan) perbuatan (sujud syukur) itu di hadapan pesakit kerana hal itu boleh menyinggung perasaannya.

Selain itu, disunatkan bagi orang yang melihat mereka yang diuji dengan kesakitan membacakan doa sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab R.A:

الحمد لله الذي عافاني مما ابتلاك به وفضّلني على كثير ممن خلق تفضيلا

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah mengafiatkan (melindungi) aku dari musibah yang kamu hadapi dan melebihkanku ke atas kebanyakan orang yang diberikan kelebihan”.

Riwayat al-Tarmizi (3431)

Para ulama’ mengatakan barangsiapa yang membaca doa ini maka dia tidak akan ditimpa bala atau penyakit tersebut selama mana dia hidup. (Rujuk: Busyra al-Karim Syarh Muqaddimah al-Hadhramiah, hlm. 338).

Justeru, berbalik kepada persoalan di atas, adalah boleh kita melakukan sujud syukur setiap kali selepas solat kerana mendapat nikmat berterusan?

Para ulama’ mazhab Syafie menyatakan bahawa disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mendapat nikmat yang tidak disangka-sangka atau nikmat yang baru kunjung tiba sahaja. Justeru tidak disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mendapat nikmat yang berterusan seperti nikmat kesihatan atau nikmat hidup di dalam iman dan islam atau nikmat menghirup udara setiap hari.

Berkata Imam Al-Nawawi: “Dan tidak disunatkan untuk bersujud ketika mendapat nikmat yang berterusan kerana nikmat tersebut tidak akan habis”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 4/68).

Berkata Imam Mustofa al-Suyuti : “Dan orang-orang yang berakal berasa bersyukur ketika terselamat daripada perkara bahaya atau malapetaka yang mendatang dan mereka tidak melakukannya (sujud syukur) setiap saat”. (Rujuk: Matholib Uli al-Nuha, 1/950).

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Dan terkeluar daripada keadaan yang disunatkan untuk sujud syukur ketika mendapat nikmat ialah ketika mana mendapat nikmat yang berterusan kerana hal tersebut boleh membawa kepada menghabiskan umurnya di dalam sujud sepanjang waktu”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 2/216).

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, secara ringkasnya kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

  • Hukum melakukan sujud syukur ialah disunatkan pada keadaan-keadaan tertentu seperti mendapat nikmat yang baru mendatangatau terselamat daripada bala atau ketika melihat orang yang fasiq, kafir atau seumpamanya atau ketika melihat orang yang diuji dengan kesakitan tubuh badan atau akal fikiran.
  • Justeru, hukum melakukan sujud syukur adalahtidak disunatkanketika mendapat nikmat yang berterusan seperti nikmat iman dan islam, nikmat kesihatan dan nikmat keselesaan hidup. Hal ini disebabkan nikmat tersebut tidak akan habis dan boleh menyebabkan seseorang menghabiskan umurnya dalam keadaan sentiasa bersujud. Oleh itu, tidak disunatkan melakukan sujud syukur kecuali ketika mendapat nikmat yang mendatang atau tidak disangka-sangka sahaja. Wallahu a’lam.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.