Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK1612

 

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ingin bertanya tentang hukum penggunaan anjing pengesan atau cadaver dogs untuk mencari mayat yang hilang atau mengesan anggota tubuh mayat yang terpisah seperti contoh apabila berlakunya kemalangan dan seumpamanya ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya, Islam amat menghormati jasad atau batang tubuh seseorang manusia sama ada semasa hayatnya atau sesudah meninggal dunia. Justeru, disyariatkan proses pengurusan jenazah di dalam Islam sebagai penghormatan terakhir buat seseorang anak Adam yang meliputi proses pemandian, pengkafanan, disolatkan ke atas jenazahnya, serta proses pengkebumian. Ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam.

Surah Al-Isra’ (70)

Menurut Imam al-Thabari ayat ini menjelaskan bahawa Allah S.W.T memuliakan anak-anak Adam dari sudut menjadikan mereka (golongan manusia) sebagai makhluk yang menguasai ke atas makhluk-makhluk yang lain. Rujuk Tafsir Al-Thabari (15/5).

Manakala Syeikh Al-Maraghi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan : Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam dengan sebaik-baik kejadian, lurus dan tegak serta diberikan akal fikiran. Lalu dia mendapat petunjuk untuk mencipta binaan serta mempelajari pelbagai bahasa. Demikian juga kebagusan dalam berfikir tentang wasilah-wasilah kehidupan. Serta penguasaan ke atas apa yang terdapat di atas muka bumi dan mengurus tadbir alam ini bahagian atas dan juga bawahnya. Rujuk Tafsir al-Maraghi (15/75).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa cadaver dog merujuk kepada anjing yang dilatih untuk menggunakan deria baunya bagi mencari anggota tubuh yang hilang khususnya tubuh manusia. Justeru, hakikatnya ia sama cirinya dengan anjing yang digunakan untuk memburu atau di dalam bahasa arab disebut sebagai الكلْبُ المُعَلَّم (anjing yang dilatih).

Nas syarak ada menyebutkan tentang anjing yang dilatih ini dan ia digunakan dengan tujuan untuk memburu. Ini seperti yang disebutkan oleh firman Allah S.W.T :

قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) telah dihalalkan buat kamu makanan-makanan yang baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya).

Surah Al-Ma’idah (4)

Imam Al-Thabari menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan وما علمتم من الجوارح مكلبين adalah kesemua haiwan yang diajar (dilatih) lalu ia memburu, daripada anjing, helang, harimau kumbang, dan selainnya. Rujuk Tafsir al-Thabari (9/547).

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Adi bin Hatim R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا أَرْسَلْتَ كِلاَبَكَ الْمُعَلَّمَةَ وَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا فَكُلْ مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكَ وَإِنْ قَتَلْنَ

Maksudnya : Apabila kamu melepaskan anjing kamu yang telah dilatih dan kamu menyebutkan nama Allah semasa melepaskannya maka makan lah kamu dari buruan yang telah ditangkapnya sekalipun ia (haiwan buruan) telah mati.

Riwayat Muslim (1929)

Justeru, dapat difahami daripada dua nas di atas ini bahawa mengambil manfaat dari anjing yang telah diajar dan dididik untuk melakukan sesuatu tugasan adalah dibenarkan di sisi syarak. Bahkan ia merupakan sebahagian dari rahmat Allah S.W.T untuk memudahkan urusan sekalian hamba-Nya.

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa hukum menggunakan cadaver dogs oleh anggota penyelamat adalah diharuskan. Ini kerana terdapatnya maslahah dan keperluan untuk ia digunakan bagi membantu mempercepatkan proses pencarian para anggota penyelamat. Meskipun begitu, kami menyatakan bahawa adalah lebih baik cadaver dogs tersebut diuruskan oleh individu yang bukan beragama Islam. Sekiranya anjing-anjing tersebut diuruskan oleh seorang muslim, maka dia perlu melakukan sertu jika menyentuh anjing tersebut.

Akhir kalam kami berdoa kepad Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.